| MyGamanBorneo: Eksplorasi Pena & Lensa | Alternatif Gaya Penulisan Bebas Tanpa Batasan |

Tuesday, 7 August 2012

Mereka Ini Nila Setitik

Berulang-alik melawat dan membantu menjaga ibu mertua di hospital dalam seminggu ni membuatkan saya belajar banyak perkara.  Dalam tempoh tersebut saya berpeluang melihat dan mengalami sendiri karenah tidak menyenangkan daripada dua tiga orang jururawat dan doktor muda yang pada pendapat saya mereka ini tidak sepatutnya berada dalam bidang ini.  "Mereka ini nila setitik yang merosakkan susu sebelanga".

Petang semalam, saya berpengalaman melihat sendiri bagaimana seorang doktor muda di klinik pakar tertawa dan mempersenda-sendakan seorang pesakit warga emas di hadapan jururawat-jururawat pelatih.  Warga emas itu ibu mertua saya sendiri.  Siapa saya untuk menegur sikap doktor tersebut?, apa yang saya lakukan ialah bertanyakan soalan-soalan secara serius berkaitan kesihatan mertua saya sehingga dia berhenti ketawa.

Petang semalam, satu lagi pengalaman menyedihkan dan menyakitkan hati apabila, saya, suami, ibu mertua, bapa mertua, beberapa pesakit dan beberapa pelawat lain melihat sikap seorang dua jururawat yang ketawa terkikik-kikik ketika dalam proses membantu para doktor menyelamatkan nyawa seorang pesakit yang kembali tidak sedarkan diri selepas pembedahan berikutan masalah pernafasan.

Hairan betul ... mereka ini manusia atau apa?  Boleh-bolehnya mereka ketawa-ketawa dan bergurau-senda.  Kelakar sangatkan melihat keadaan orang hampir-hampir mati. Tiada self-empathy langsung! Mereka langsung tidak menghormati perasaan anak-anak dan suami pesakit yang berada di situ sedang bersedih dan membaca surah yassin. 

Lagi menyampah bila melihat sikap salah seorang jururawat bersikap berlengah-lengah selepas menerima arahan doktor membawa pesakit ke ICU.  Saya yang berada di situ pada ketika itu rasa mau menengking saja supaya mereka ini bergegas ... bayangkan ini soal nyawa orang dan bukannya nyawa ikan! 

Layanan sikap sombong dan garang daripada doktor dan jururawat mungkin sudah menjadi perkara biasa dan pengalaman biasa ramai pesakit.  Pada saya kedua-dua sikap ini  boleh dimaafkan kerana mungkin tekanan kerja membuatkan mereka ini bersikap demikian.  Tapi sikap yang ditunjukkan seperti di atas, sampai mati pun orang akan kenang. 

Masih terkenang-kenang apa nasib yang menimpa wanita berusia 46 tahun tersebut.  Semoga dia berjaya diselamatkan dengan berkat doa keluarganya.  Beberapa jam selepas pembedahan usus, wanita tersebut masih boleh berbual dan bergurau dengan anak perempuannya sebelum mengadu mengalami masalah pernafasan.  Dia seterusnya bernafas menggunakan oksigen sebelum tidak sedarkan diri.  

Doktor kemudiannya terpaksa memasukkan tiub ke saluran pernafasannya dan mengepam udara masuk secara manual.  Akhir sekali yang saya lihat, wanita tersebut mungkin disorong menuju ke ICU ataupun bilik pembedahan untuk tindakan lanjut.  Anak-anak dan suaminya turut bergegas mengiringinya.  Saya yang melihat situasi ini cuma dapat menahan-nahan sebak di dada saja.

0 comments: