| MyGamanBorneo: Eksplorasi Pena & Lensa | Alternatif Gaya Penulisan Bebas Tanpa Batasan |

Showing posts with label Aku dan Penulisan. Show all posts
Showing posts with label Aku dan Penulisan. Show all posts

Monday, 10 January 2011

Pertemuan singkat dengan penulis buku terkenal

Bersama penulis & pakar motivasi Syahrul Nizam Junaini
Bakal bertemu dengan penulis terkenal ... itu post saya pada 8 Jan lepas dan petang tadi bukan sekadar cerita-cerita kosong kerana MEMANG saya telah bertemu secara live dengan penulis terkenal Syahrul Nizam Junaini yang juga seorang pensyarah di UNIMAS.

Pertemuan singkat petang tadi semata-mata untuk mendapatkan buku hasil karya Dr Jeniri Amir berkaitan teknik penulisan yang diperkenalkan oleh beliau menerusi FB.  Saya difahamkan buku tersebut juga telah membantu beliau menulis tiga buah buku dan lebih 100 artikel majalah dan akhbar.

Berbalik kepada pengalaman bertemu beliau pada petang tadi ... tipulah kalau saya katakan bahawa saya langsung tidak excited.  Memang tersangat-sangatlah excited, buktinya sempat lagi saya mengambil kesempatan untuk merakamkan gambar kenangan bersama penulis terkenal ini.

Nampaknya saya memang tidak cukup tinggi ^_^
Untuk beliau saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kerana sudi memperkenalkan buku tersebut dan terima kasih juga di atas kata-kata dorongan "Semoga puan terus cemerlang dalam arena penulisan".
 
Walaupun sampai bila-bilapun saya tidak akan dapat berdiri sama tinggi dengan beliau ^_^ tapi suatu hari nanti saya berharap akan dapat berdiri betul-betul sebaris dengan beliau dan penulis-penulis terkenal lain.  Lanjut mengenai karya beliau  di http://www.syahrulnizam.com/ 









Saturday, 8 January 2011

Bakal bertemu dengan penulis terkenal

Google Pix
Isnin (10 Jan 2011) ini saya akan mendapat sebuah buku berkaitan teknik penulisan.  Buku tersebut merupakan salah satu karya Dr Jeniri Amir, beliau merupakan salah seorang penulis buku terlaris di negara ini.  Setakat ini, saya mempunyai dua buah buku hasil karya beliau iaitu Belajar Menjadi Wartawan dan Teknik Wawancara ... maklumlah dulu kan pernah jadi wartawan salah sebuah akhbar tempatan di Sabah.

Antara buku karya Jeniri Amir
Berbalik kepada cerita buku  yang bakal saya dapat pada Isnin ini, tajuknya saja sudah cukup membuatkan saya teruja.  Menariknya, buku ini diperkenalkan oleh Syahrul Nizam Junaini yang juga merupakan penulis terkenal dan  pensyarah di UNIMAS.  Difahamkan buku tersebut juga telah membantu beliau menulis tiga buah buku dan lebih 100 artikel majalah dan akhbar. Harapan agar terkena juga tempias kejayaan beliau dalam penulisan semasa dalam sesi serah terima buku itu nanti.



Friday, 7 January 2011

Tips Penulisan: Menjadi Penulis Kepada Si Pakar

Saya sangat tertarik dengan satu artikel bertajuk “Betapa Mudah Menjadi Penulis Rencana Kepada Si Pakar”.  Artikel oleh Jurulatih Kanan Akademi Penulis Sdn Bhd, Zamri Mohamad ini menjadi antara sumber inspirasi saya untuk terus berkecimpung dalam bidang penulisan. Artikel tersebut menceritakan bahawa ramai yang ingin menjadi seorang penulis tetapi terbelenggu dengan persoalan dua persoalan iaitu; 

  • ·         Saya tidak tahu menulis kerana saya tidak ada idea.
  • ·         Saya kurang pengalaman untuk menulis bidang yang saya tahu.
Zamri dalam artikelnya di laman web rasmi Akademi Penulis menjelaskan, sekiranya anda dibelenggu oleh persoalan di atas, anda hanya perlu menjadi penulis kepada si pakar untuk melangkah ke dunia penulisan.

Menurutnya, itulah yang dilakukan oleh para wartawan akhbar dan majalah apabila menulis sesuatu rencana.  Mereka menulis kepakaran orang lain atas nama mereka sendiri.  Seorang wartawan itu juga tidak perlu menjadi seorang pakar ekonomi bagi menulis rencana ekonomi, beliau hanya perlu menguasai kefahaman asas dan mendapatkan autoriti yang mengesahkan fakta yang ditulis. 

Lebih menarik lagi, Zamri dalam artikelnya turut berkongsi kisah mengenai Lea Beadling, seorang penulis bebas yang menulis rencana mengenai dunia perubatan, sedangkan beliau bukan seorang pakar! Lee Beadling merupakan seorang penulis bebas yang tersohor di Amerika Syarikat.  Salah satu artikelnya yang menarik perhatian pembaca bertajuk ‘Man With The Baby’.

Kisahnya sungguh unik yang menggambarkan bagaimana beliau menjadi seorang penulis bebas yang dikenali pakar dalam bidang kesihatan dan perubatan, khususnya dalam bidang ortopedik. Tetapi beliau bukanlah seorang doktor dan tiada apa-apa kelulusan daripada mana-mana institusi perubatan dunia yang mengesahkan kelayakannya.  

Apabila beliau menamatkan pengajiannya di kolej, beliau bekerja sebagai penulis staf di sebuah majalah, Orthopedics Today.  Dia tidak mempunyai apa-apa pengalaman dalam bidang tersebut dan pada masa yang sama tidak meminatinya.  Beadling tetap mahu menulis, ketika itu beliau sudah berumah tangga dan baru bergelar ayah, jadi dia memerlukan pekerjaan.  

Dia mempelajari ilmu ortopedik dengan menghadiri konferens, mendengar ucapan-ucapan mereka, membaca kertas kerja mereka, menyoal mereka dan merujuk kepada bahan bacaan lain seperti kamus perubatan Dorland.  Dia menulis lapan jam sehari, lima hari seminggu dikhususkan untuk mendapatkan maklumat-maklumat tentang kajian terbaru dan perubatan serta mencari berita-berita dari sumber kerajaan dan agensi lain yang berkaitan dengan bidang ortopedik.

Hari ini sebagaimana digambarkannya, “Saya dikenali dan dihormati oleh mereka dan ada yang meminta saya menuliskan ucapan untuk mereka.” Beadling berhenti dan menjadi penulis bebas bukan sahaja untuk majalah Orthopedics Today, pada masa yang sama terdapat badan-badan berkaitan memintanya menulis tentang bidang tersebut bagi tujuan kenyataan akhbar.

Menurut Zamri, beliau pernah menjadi Lee Beadling dalam acuan Malaysia.  Sebagai penulis bebas, beliau menemuramah individu dan mendapatkan bahan berautoriti dalam penulisan rencana. Beliau menjadi Lea Beadling dalam satu bidang yang bukan kemahirannya. Tetapi penulisan itu tidak mustahil jika tahu caranya.  Para pembaca berpuas hati kerana ia adalah maklumat baru yang bermanfaat kepada mereka. Malah mereka memintanya lagi dan lagi.

“Anda juga boleh jadi begitu, semuanya bermula dari dalam diri”, demikian kata-kata dalam baris terakhir artikel yang ditulis oleh Zamri.  Entah kali yang ke berapa saya membaca artikel ini, pada saya kisah Lee Beadling bukan sahaja menjadi inspirasi kepada Zamri dan penulis lain tetapi juga kepada seorang penulis kecil seperti saya.

Dunia penulisan memang penuh misteri, setiap penulis hanya perlu memilih laluan dan membentuk acuannya yang tersendiri seperti yang dilakukan oleh Lee Beadling dan Zamri Mohamad serta ramai lagi penulis terkenal di luar sana.  Bagi saya, laluan yang kelihatan ketika ini cumalah penulisan dalam acuan sebuah blog.





Friday, 13 August 2010

Aku & Penulisan

Ketika Mengikuti Latihan kewartawanan
Bidang penulisan memang menyeronokkan tetapi kadang kala terasa tension dan letih juga otak memerah idea ketika mengarang sesuatu artikel itu, pendek kata tekanan yang positif.  Pembabitan awal dalam bidang penulisan sebenarnya bermula dari kali pertama saya tahu menulis dan bakat tersebut terus diasah apabila mendapat tawaran kerja sebagai wartawan pada tahun 2004 dan ditempatkan di Sandakan.  Terikat dengan kontrak perkhidmatan selama dua tahun merupakan suatu pengalaman paling berharga bagi saya.   

Dalam tempoh tersebut saya belajar banyak perkara mengenai bidang penulisan dan perkara yang masih saya pegang sehingga kini ialah “Dalam bidang penulisan, jangan sesekali menganggap hasil penulisan kita bagus kerana bidang penulisan merupakan proses pembelajaran sepanjang hayat, masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan diperbaiki”. Tetapi tidak dinafikan, terkadang panas juga telinga bila mendengar  atau terdengar hasil penulisan kita dikritik, lebih-lebih lagi ditertawakan dan mendapat kritikan yang tidak membangun.  

Bagaimanapun, sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai wartawan akhbar, saya sentiasa mendapat kritikan yang membina.  Pengalaman ditertawakan dan menerima kritikan yang langsung tidak membina tu, lebih baik jangan cerita la. Pengalaman sedemikian lebih baik dikitar semula menjadi pembakar semangat.  

Pada Februari 2007, saya menamatkan zaman bujang dan berhijrah ke Kuching, Sarawak mengikut suami.  Namun demikian, itu tidak bermakna saya meninggalkan bidang penulisan setelah bergelar isteri.  Sehingga kini, saya masih lagi menulis dan terus menulis cuma bukan sebagai seorang wartawan yang hasil tulisannya dibaca di dada-dada akhbar. Terkini, saya mendapat tawaran kerja sebagai penulis untuk web komuniti secara kontrak pada 14 Mac lepas.  Kontrak enam bulan sahaja, harapan agar ada lagi peluang lain yang terbuka untuk saya terus menimba ilmu dan pengalaman dalam penulisan.