| MyGamanBorneo: Eksplorasi Pena & Lensa | Alternatif Gaya Penulisan Bebas Tanpa Batasan |

Showing posts with label Cerita kedai kopi. Show all posts
Showing posts with label Cerita kedai kopi. Show all posts

Friday, 14 December 2012

Bila Bumi Bergelap Tiga Hari - Saya Mau Tidur

Sekarang ni semua orang di mana-mana sahaja termasuklah di kedai kopi sedang sibuk memperkatakan mengenai fenomena Bumi Akan Bergelap Selama Tiga Hari pada 23, 24 dan 25 Disember ini.  Dengar-dengar ada yang telahpun bersiap sedia membeli sejumlah lilin yang banyak sebagai persiapan, bimbang fenomena tersebut turut menjejaskan bekalan elektrik.  

Malah, ada juga yang telah memborong jumlah bekalan makanan mencukupi untuk tempoh tiga hari bumi bergelap, bimbang jika tiada kedai atau pasaraya yang buka.  Selain itu, ada juga yang telah mengeluarkan semua simpanan dalam bank kerana bimbang kecelaruan berlaku pada sistem perbankan yang boleh menjejaskan simpanan mereka.

Huh!  Memandangkan saya ni pun tidak faham sangat dengan hukum-hukum alam semesta ni, jadi saya sendiri kurang pasti sama ada kebimbangan mereka semua itu berasas.  Tapi tidak salah mereka-mereka ini membuat persiapan awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan.  Langkah sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan buruk adalah tindakan yang bijak.

Saya pula, apa persiapan saya jika fenomena ini benar-benar terjadi?  apa yang terlintas difikiran saya pada ketika ini ialah saya mau tidur dan tidur dan tidur dalam tempoh tersebut hehehe ...


Angkasa Nafi Laporan Bumi Akan Bergelap Selama Tiga Hari
KUALA LUMPUR: Agensi Angkasa Negara (Angkasa) pada Jumaat menafikan laporan blog dan artikel yang mendakwa bumi akan bergelap selama tiga hari mulai 23 Disember berikutan kedudukan bumi, matahari dan pusat Galaksi (Bima Sakti) akan berada pada kedudukan selari.
Di samping itu, laporan itu mendakwa, kedudukan awan-awan debu gelap atau Dark Dust Clouds berhampiran dengan Galaksi boleh menghalang penduduk dunia daripada melihat sebahagian daripada Galaksi, menurut kenyataan akhbar agensi itu yang dikeluarkan di sini, Jumaat.
Menurut kenyataan itu, berikutan senario tersebut, ada yang berpendapat bila bumi, matahari dan pusat galaksi selari (sejajaran) maka akan berlaku penumpuan daya gravity daripada bumi, matahari dan pusat galaksi sehingga boleh mengakibatkan kemusnahan alam semesta.
Selain itu mereka turut mendakwa bila bumi, matahari dan pusat galaksi selari, di mana terdapat awan-awan debu gelap berhampiran pusat galaksi maka bumi akan bergelap. Angkasa berkata semua andaian itu adalah tidak benar kerana pusat galaksi terlalu jauh dari bumi dan matahari iaitu 165 quadrillion batu, jadi kesan tarikan gravity adalah terlalu kecil.
"Awan-awan debu gelap menghalang penglihatan kita ke arah pusat Galaksi bukannya menghalang matahari daripada dilihat dari bumi," menurut agensi itu.
Malah, menurut Angkasa, terdapat juga video YouTube oleh pihak NASA yang telah disalahguna oleh pihak tertentu yang menunjukkan Pegawai Tabir NASA, Charles F.
Bolden, Jr memberi penerangan berkenaan persediaan peribadi dan keluarga sekiranya berlaku kecemasan, iaitu merujuk kejadian 911, puting beliung, gempa bumi dan sebagainya.
"Pihak-pihak tertentu telah memanipulasi video tersebut dengan artikel "Bumi Akan Bergelap Pada 23, 24 Dan 25 Disember 2012"," katanya. -BERNAMA

Saturday, 3 March 2012

Budayakan Fikiran Positif Terhadap Seni Tatu

Baru-baru ini, ketika sedang bersarapan di salah sebuah kedai kopi di Kuching, saya secara tidak sengaja terdengar beberapa wanita yang duduk membelakangi saya sedang rancak bergosip mengenai wanita bertatu.  Memandangkan saya juga peminat seni tatu maka saya tertarik untuk terus memasang telinga.  Bukan bertujuan untuk 'menjaga tepi kain' tetapi topik yang mereka perbualkan pada hari tersebut sangat menarik.  Lagi pula 'memasang telinga; di kedai kopi bukanlah suatu jenayah, jadi apa salahnya saya cuba mencuri-curi dengar apa pandangan peribadi mereka terhadap wanita bertatu.

Demonstrasi mengukir tatu pada Expo Tatu Kuching 2011
Sesekali terasa panas juga telinga apabila terdengar persepsi negatif mereka terhadap penggunaan tatu di kalangan wanita pada hari ini.  Rupa-rupanya dalam dunia serba moden hari ini, masih ada lagi yang memandang serong terhadap golongan bertatu.  Walaupun saya bukan seorang pakar dalam bidang seni tatu, tetapi rasanya tidak salah sekiranya saya berkongsi pendapat peribadi untuk menyangkal pendapat yang mengaitkan wanita bertatu dengan gejala sosial.

Wanita boleh tampil berbeza dan kelihatan menarik tatu
Secara peribadi saya berharap agar masyarakat dapat melihat seni tatu itu sebagai satu cabang seni yang unik.  Masyarakat perlu memahami bahawa pada masa kini, tatu dianggap sebagai satu saluran dan cara untuk menyampaikan perasaan, pandangan serta pegangan hidup seseorang.  Malah, sebenarnya seseorang wanita itu boleh tampil berbeza dan kelihatan menarik dengan ukiran tatu pada bahagian badan mereka.  Walau bagaimanapun, semua ini hanya dapat kita lihat sekiranya kita belajar memandang seni tatu itu dari sudut yang positif.

Tatu sebagai ekspresi perasaan, pandangan serta pegangan hidup sesorang
Masyarakat seharusnya tidak sewenang-wenangnya melabelkan penggunaan tatu itu menjurus kepada gejala-gejala negatif seperti jenayah dan gengsterisme.  Sedangkan, penggunaan tatu pada masa dahulu dikatakan bertujuan membezakan sesuatu keturunan, puak dan kumpulan.  Selain itu, tatu juga dikaitkan sebagai simbol sosial kepada kedudukan, status, kekuasaan dan kekayaan di dalam sesuatu masyarakat pada suatu ketika dahulu dan tiada kaitannya dengan unsur-unsur negatif.

Tatu sebagai lambang kasih sayang
 Mungkin penganjuran expo-expo ataupun bengkel berkaitan tatu perlu diperbanyakkan lagi pada masa akan datang bagi membawa masyarakat mengenali dan memahami serta seterusnya membudayakan fikiran positif terhadap seni tatu.  Saya percaya, usaha seumpama ini secara tidak langsung mampu mengikis tanggapan serong terhadap golongan bertatu.

Sunday, 17 April 2011

Cerita kedai kopi, tiada hakim tiada saksi

Cerita kedai kopi, tiada hakim tiada saksi, cuma cerita sensasi di kedai kopi

Orang kata cerita-cerita kedai kopi ini tidak boleh dilayan sangat berikutan sumber-sumber cerita yang tidak tepat.  Ada juga yang berpendapat bahawa semua cerita-cerita berkaitan isu-isu semasa yang menjadi topik perbualan oleh sekumpulan individu tertentu ketika sedang minum di kedai kopi lebih cenderung kepada cerita-cerita tin kosong yang tidak boleh diterima pakai.
Bagaimanapun, dari sudut pandangan peribadi saya, banyak isu yang diperbualkan saban hari di kedai-kedai kopi bukanlah sekadar perbualan kosong yang tidak berasas.  Ruangan "kedai kopi” inilah yang menjadi medan paling sesuai untuk masyarakat secara umumnya berkongsi pendapat masing-masing secara tidak formal.
Pada saya, mendengar atau terdengar cerita-cerita di kedai kopi ini bukanlah untuk menjaga tepi kain orang.   Lagi pula, memasang telinga kuali di kedai-kedai kopi juga bukanlah suatu jenayah ^_^ pendek kata itulah gunanya deria pendengaran, yang penting terpulang kepada diri sendiri untuk menilanya sama ada dari sudut positif ataupun negatif. 

Dengar-dengar pilihanraya umum akan diadakan tidak lama lagi dan pastinya kedai kopi akan menjadi medan untuk bertukar pendapat dan luahan rasa senang atau rasa tidak puas hati mengenai wakil rakyat di kawasan masing-masing.  Jadi inilah masanya untuk mula intip-intip apa kata penganalisis politik kedai kopi (pengundi).



Monday, 23 August 2010

Istilah "air kencing syaitan” singgung perasaan banyak pihak

Secawan kopi mengupas pelbagai isu

Usaha kerajaan dalam memupuk semangat 1Malaysia di negara ini sering menjadi antara tajuk penting di media-media elektronik mahu pun di media cetak.  Bagaimanapun, sama ada disedari atau pun tidak, terdapat perkataan atau istilah yang digunakan oleh media sebenarnya sedikit mencalar penerimaan masyarakat terhadap konsep 1Malaysia yang mana ianya memerlukan rakyat bersikap saling menghormati bagi mewujudkan perpaduan di kalangan semua kaum di Malaysia.

Bagi sebahagian besar kaum di Sabah dan Sarawak, penggunaan istilah  seperti “air kencing syaitan” yang sering digunakan oleh media untuk menggambarkan "minuman yang mengandungi alkohol" agak kurang disenangi. Istilah tersebut dilihat agak keterlaluan dan menghina makanan/minuman yang menjadi antara hidangan tradisi pada setiap perayaan Pesta Kaamatan dan Gawai Dayak.

Percaya atau tidak, inilah antara cerita di kedai kopi yang mencuri perhatian saya hari ini.  Sebenarnya, isu ini pernah dibangkitkan oleh salah seorang rakan  di laman web sosial Facebook dan turut mendapat respon. Pada mereka, media hari ini haruslah lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat berbilang kaum di negara ini kerana makanan/minuman yang dianggap haram tetapi boleh dimakan/diminum oleh kaum lain tidak boleh dilabelkan sewenang-wenangnya dengan perkataan sekeji itu.

Isu ini nampak kecil tetapi rupanya dalam diam-diam telah mengguris perasaan banyak pihak.  Daripada riak wajah mereka jelas terpancar perasaan tersinggung kerana mereka merasakan minuman tradisi kaum mereka turut dilabelkan sebagai “air kencing syaitan”. Walau pun sekadar mencuri dengar perbualan mereka, tetapi rasanya ada betulnya juga isu yang mereka persoalkan itu.

Mungkin pengamal media hari ini boleh menggantikan istilah tersebut dengan istilah yang lebih sopan seperti “minuman yang diharamkan” atau “makanan yang diharamkan”.  Bagi saya, apa yang saya dengar hari ini memberi satu  teguran  peribadi dan mesej yang cukup jelas iaitu  hidup saling menghormati dalam masyarakat 1Malaysia harus meliputi pelbagai aspek termasuklah soal makanan dan minuman.