| MyGamanBorneo: Eksplorasi Pena & Lensa | Alternatif Gaya Penulisan Bebas Tanpa Batasan |

Wednesday, 6 July 2011

Album BHR Padawan Nature Challenge 2011


Program tahun keempat cabaran eko pelancongan ini merupakan anjuran bersama Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Borneo Highland Resort (BHR).  Sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu MPP Chairman Challenge Trophy (Open), Malta Penrissen Summit Trekking Challenge (Open), Batu Panggah Trekking Challenge (Open) dan Kalimantan View Trekking Challeng (Ladies Only).  Program ini juga turut mendapat kerjasama daripada Sarawak Bloggers selaku media online.











































>
















Tuesday, 5 July 2011

MyGamanBorneo @ BHR Padawan Nature Challenge 2011

BHR Padawan Nature Challenge 2011 yang berlangsung pada Ahad, 3 Julai lepas memahat memori di yang mungkin kami dua si gaman tidak akan lupakan sampai bila-bila.  Ini merupakan pertama kali kami dua si gaman bersama-sama mencuba aktiviti lasak yang benar-benar menguji kecekalan mental dan fizikal. 

Team MyGamanBorneo:  S'gin & Jaw's
Memilih untuk menyertai Malta Penrissen Summit Trekking Challenge sejauh 15 kilometer, penyertaan kami pada program ini adalah percuma menerusi Sarawak Bloggers yang bertindak selaku media online bagi progam cabaran eko pelancongan ini.  Jadi mana-mana blogger di luar sana yang ingin menikmati pelbagai peluang menarik seperti ini, sertai Sarawak Bloggers dan rajin-rajinlah melayari portal rasmi mereka.

Sesi briefing untuk para peserta Cabaran Malta
Memandangkan kami menyertai Malta Penrissen Summit Trekking Challenge, jadi cerita kami dua si gaman mungkin terhad kepada kategori ini sahaja.  Sebelum flag off, semua peserta diberi penerangan ringkas mengenai laluan yang harus diambil oleh setiap pasukan.

Beratur untuk punch passport
Sebelum pelepasan, pemeriksaan senarai nama setiap pasukan dibuat terlebih dahulu.  Untuk rekod, kategori Malta Penrissen Summit Trekking Challenge merupakan yang ketiga dilepaskan.  Pelepasan pertama adalah peserta kategori Kalimantan View Trekking Challenge dan diikuti oleh Batu Panggah Trekking Challenge.

Staff yang bertanggungjawab untuk flag off
Dalam menanti masa untuk flag off, sempat juga lensa kamera kami dua si gaman merakamkan gambar pegawai yang bertanggungjawab melaksanakan tugas Flag Off.

Map untuk cabaran Batu Panggah, Kalimantan View & Malta
Gambar di atas merupakan peta laluan yang perlu ditempuhi oleh setiap pasukan mengikut kategori.  Kalau tengok peta memang nampak senang sahaja, pada ketika itu belum dapat membayangkan bagaimana situasi dan cabaran sebenar di dalam hutan yang bakal kami harungi nanti.

Pelepasan untuk cabaran Malta, 15 kilometer
Yeah! Flag Off!  Semua peserta berlari untuk saling mendahului antara satu sama lain.  Saya pula yang versi gear kura-kura tertinggal di belakang.  Kalau tidak silap cuma terdapat tiga pasangan lelaki dan perempuan yang menyertai cabaran Malta ini termasuk kami dua si gaman, sementara yang lain semuanya pasangan lelaki.

Si gaman mula pasang gear satu ^_^
Cuma dalam beberapa saat, kebanyakan peserta sudah hilang dari pandangan kami, yang tinggal cuma beberapa pasukan termasuk kami dua si gaman.  Kami tidak dapat merakamkan banyak gambar berikutan terdapat pelbagai rintangan sukar yang perlu diharungi dengan penuh berhati-hati.

Suasana sejuk dan kelam
Untuk pasukan MyGamanBorneo, si gaman bertindak sebagai ketua dan saya pula mengekori daripada belakang.  Kami bergerak dalam pacuan yang konsisten bagi mengelakkan keletihan mengejut dan kekejangan pada otot.

Kelihatan beberapa peserta sedang berehat
Kurang dari setengah jam merentas hutan kami bertemu dan memintas beberapa peserta yang sedang berehat untuk memulihkan tenaga.  Mereka bukan sahaja terdiri daripada peserta cabaran Malta tetapi juga peserta cabaran Batu Panggah dan Kalimantan View yang saya fikir sudah dilepaskan mendahului setengah jam daripada peserta cabaran Malta.

Macam relax saja si gaman menaiki bukit
Nampaknya, menyertai cabaran seperti ini bukan mementingkan siapa cepat atau siapa lambat, semangat berpasukan dan faktor keselamatan merupakan antara yang paling penting.  Pendek kata "Biar lambat asal selamat".

Saya pula bergerak macam kura-kura
Kami dua si gaman bergerak berhati-hati kerana takut tergelincir berikutan laluan agak basah dan licin ditambah lagi dengan kesan-kesan tapak kaki bertindih yang telah merosakkan struktur tanah di kebanyakan laluan.

Berhenti beberapa saat untuk mengambil nafas
Sesekali kami bertembung dengan beberapa situasi, antaranya ada pasangan yang bertekak akibat berbeza pendapat, ada juga yang ditinggalkan oleh pasangan mereka bersendirian.  Malah ada juga yang mengalami kekejangan otot serta termuntah-muntah, mungkin akibat keletihan dan perut kosong. 

Kawasan ini dipenuhi oleh batu-batuan besar
Tempat si gaman bergambar ni memang cukup menyeramkan, penuh dengan batu-batuan besar berlumut, laluan licin dan dilitupi daunan kering yang menjadi persembunyian pacat-pacat nakal.  Saya pula entah berapa kali terjerit dan membuatkan si gaman terkejut gara-gara pacat-pacat nakal yang cuba untuk menghisap darah pada betis saya yang keladi bunting ^_^

Laluan berbatu yang basah, licin dan curam
Lebih menarik lagi, kalau sesiapa masih ingat cerita "Anacondas: The Hunt for the Blood Orchid", lokasi ini antara yang mirip seperti dalam cerita tersebut.  Cuma lensa kamera tidak mampu menggambarkan suasana sebenar di sini. 

Antara laluan yang sukar
Babak paling menarik yang sempat lensa kamera kami rakamkan pada BHR Padawan Nature Challenge 2011 adalah gelagat peserta ketika cuba melepasi rintangan kayu balak yang melintang menghalang laluan yang agak curam.

Saling bantu-membantu untuk melepasi rintangan kayu balak
Dalam keadaan ini, setiap pasukan saling bantu membantu antara satu-sama lain dan tiada sikap mementingkan diri sendiri.  Untuk pengetahuan, ini cuma salah satu laluan sukar yang sempat lensa kamera kami rakamkan sebelum sampai ke Passport Control Point Mara T2.

Lokasi selepas Passport Control Point Mara T2
Selepas melepasi Passport Control Point Mara T2, kami dua si gaman memintas sebuah pasukan yang sedang berehat.  Hujan yang turun menyukarkan dan melambatkan pergerakan kerana kami terpaksa lebih  fokus dan berhati-hati ketika melangkah.

Pemandangan Passport Control Point Mara T2
Sepanjang penjalanan selepas Passport Control Point Mara T2 sehinggalah di Kalimantan View Point, kami dua si gaman langsung tidak terserempak dengan mana-mana peserta.  Kami memikirkan mungkin mereka bergerak begitu pantas.

Pemandangan menakjubkan dari Kalimantan View Point T3
Di Kalimantan View Point, kami berehat seketika sambil cuba merakamkan seberapa banyak pemandangan indah yang dapat dilihat dari sini.

Kelihatan beberapa pelancong tempatan
Di sini kami terserempak dengan beberapa pelancong tempatan.  Sementara itu, ketika di Kalimantan View Point ini cuma terdapat beberapa anggota PGA.  Kami kemudiannya ditunjukkan arah untuk meneruskan cabaran Malta.

Gambar kenangan di Kalimantan View point
Sebelum meneruskan perjalanan, saya tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar kenangan di sini walaupun dalam keadaan comot.

Cabaran Malta diteruskan
Perjalanan kami teruskan mengikut laluan yang ditunjukan.  Kami berjalan berhati-hati dan berpandukan tanda-tanda cat merah pada batang pokok bagi mengelakkan kami tersalah laluan.  Kami kemudian tiba di Passport Control Point Mt Penrissen Summit T3 di mana kami mendapati tiada sesiapa menanti di sana.

Titik permulaan detik cemas
Kami meneruskan perjalanan sehinggalah tiba di Passport Control Point Batu Panggah T4.  Perasaan kemudian bertukar cemas apabila melihat tiada sesiapa yang menanti di Passport Control Point Batu Panggah T4 ini.  Sila baca Detik Cemas MyGamanBorneo @ BHR Padawan Nature Challenge 2011 untuk mengetahui apa yang kami lalui selepas itu.

Berjaya melepasi detik-detik mencemaskan
Perasaan lega selepas berjaya melepasi detik mencemaskan.  Saya mengambil gambar ini beberapa minit selepas menenangkan perasaan dan memulihkan semangat yang hampir hilang.  Walau apapun, kami bersyukur kerana selamat dan berjaya mengharungi cabaran sebenar.

Kami menanti bantuan tiba di sini
p/s:  Inginkan cabaran yang Seronok, Mendebarkan dan Mencemaskan?  Sertai MyGamanBorneo pada BHR Padawan Nature Challenge 2012.  Tahun depan akan mencuba Batu Panggah Trekking Challenge (Open) sekiranya tiada aral melintang ^_^ Sila lihat Album BHR Padawan Nature Challenge 2011 yang kami rakamkan.




Monday, 4 July 2011

Detik Cemas MyGamanBorneo @ BHR Padawan Nature Challenge 2011

Tidak tahu bagaimana hendak memulakan cerita mengenai pengalaman kami dua si gaman ketika menyertai BHR Padawan Nature Challenge yang baru berlangsung pada Ahad, 3 Julai menerusi kategori Malta Penrissen Summit Trekking Challenge sejauh 15 kilometer.  Pelbagai pengalaman menarik di sepanjang cabaran dari garis permulaan hingga di T2 water station, Kalimantan View Point.  Tetapi paling tidak dilupakan ialah detik-detik cemas di Passport Control Point Batu Panggah T4.  Syukur kami berdua selamat menamatkan cabaran ini dengan pimpinan Tuhan dan rasanya lebih baik kami berkongsi cerita detik-detik cemas yang kami lalui.  Pada kami ini bahagian yang paling menarik yang dinamakan CABARAN.

Tiada lagi staff menanti
Sebelum tiba di Passport Control Point Mara T2 kami dua si gaman saling dipintas dan memintas dengan beberapa peserta untuk kategori sama iaitu Malta Penrissen Summit Trekking Challenge. Kemudian selepas melalui Passport Control Point Mara T2, kami kemudiannya berjaya memintas cuma satu pasukan (lelaki dan wanita) yang sedang berehat akibat keletihan.  Cuaca bertukar mendung dan hujan menyukarkan dan melambatkan perjalanan kami, bagaimanapun kami akhirnya tiba di T2 water station, Kalimantan View Point kira-kira jam 2.20 petang. 

Suasana kelam dan sunyi di T4
Berikutan kami bergerak dalam pacuan yang perlahan tetapi konsisten, kami kemudiannya mengambil peluang berehat seketika di T2 water station, Kalimantan View Point.  Kami dua si gaman  kemudiannya ditunjukkan arah untuk meneruskan cabaran Malta.  Perjalanan diteruskan, kami memikirkan bahawa kami pasti bertemu dengan pasukan lain yang telah memintas kami sebelum ini yang mungkin sedang berehat seperti sebelum ini.  Timbul sedikit perasaan hairan apabila tiba di Passport Control Point Mt Penrissen Summit T3, tiada sesiapa menanti di sana.  Kami meneruskan perjalanan sehinggalah tiba di Passport Control Point Batu Panggah T4.

Lokasi Batu Panggah
Perasaan kemudian bertukar cemas apabila melihat tiada sesiapa yang menanti di Passport Control Point Batu Panggah T4 ini.  Perasaan takut mula menguasai fikiran saya, ditambah lagi dengan suasana yang tiba-tiba bertukar kelam secara tiba-tiba berikutan hujan.  Untuk berpatah balik adalah mustahil kerana kami melihat tanda hanya tinggal 3 kilometer sahaja lagi untuk menamatkan perjalanan tersebut.  Rasa takut dan panik yang menguasai diri saya pada ketika itu membuatkan saya hilang tumpuan untuk meneruskan perjalanan ketika menuruni lereng-lereng curam dan licin menyebabkan saya sering tergelincir, syukur ada tali untuk berpaut pada lereng yang kecerunannya kira-kira 70 darjah itu. 

Antara laluan licin dan curam yang dilalui
Si gaman agak tenang walaupun di wajahnya terpancar sedikit kerisauan berikutan suasana di dalam hutan tersebut bertukar semakin gelap dan tanda cat merah pada pokok semakin sukar dilihat.  Skru-skru pada lutut saya pada ketika itu semakin longgar berikutan perasaan takut yang teramat sangat.  Tergelincir, terduduk dan terbaring sudah tidak terhitung lagi berikutan terlalu cemas.  Ada ketikanya, saya menangis tanpa air mata kerana terlalu panik ... no women, no cry la katakan berikutan usaha si gaman menenangkan saya tidak berjaya.  Di mata saya pada ketika itu terbayang pula suasana cerita Anakonda hehehe ...

Memandangkan suasana bertukar gelap terlalu cepat, si gaman hampir-hampir lagi menghubungi nombor kecemasan untuk mendapatkan bantuan dan syukur saya teringat yang saya mempunyai nombor telefon big boss Sarawak Bloggers, Cyril Dason.  Cubaan kali kedua, kami berjaya menghubungi Cyril dan beliau membantu kami untuk memaklumkan pihak penganjur.  Terima kasih Cyril.  Kami juga mendapat tahu bahawa closing ceremony sudah berakhir pada ketika itu.  Hal itu semakin membuatkan saya semakin panik, syukur si gaman sering cuba menenangkan saya.

Perasaan cemas dengan suasana gelap di dalam hutan tersebut membuatkan kami dua si gaman tidak perasan bahawa kami sebenarnya sudah begitu hampir dengan kebun organik BHR.  Kami tiba di situ pada kira-kira jam 4.20 petang.  Ketika menanti bantuan tiba di kawasan kebun organik tersebut, baru kami dua si gaman sedar bahawa dua pasukan cabaran Malta yang memintas kami sebelum ini tidak meneruskan perjalanan tetapi sebaliknya menggunakan jalan pintas.

Kami dijemput oleh seseorang bernama Louis dengan menggunakan kenderaaan pacuan empat roda.  Ditanya sama ada masih ada pasukan yang tertinggal di dalam sana, kami memaklumkan mungkin ada sekiranya pasukan yang kami pintas selepas Passport Control Point Mara T2 meneruskan cabaran.  Harap-harap mereka tidak meneruskan perjalanan seperti kami dua si gaman yang terperangkap dalam gelap.

Ketika di perkarangan garis penamat, rupa-rupanya kami dua si gaman merupakan pasukan yang paling akhir sampai.  Kami dimaklumkan oleh salah seorang staff di situ bahawa ketiadaan staff di Passport Control Point T3 dan T4 adalah berikutan sudah 'TIME OUT'.  Malangnya, kami dua si gaman tidak tahu pula bahawa BHR Padawan Nature Challenge ini ada time out.  Kalau tahu, kami akan berhenti setakat di Kalimantan View Point.  Walau apapun yang penting kami dua si gaman sudah selamat dan terima kasih juga di atas bantuan dan keprihatinan pihak penganjur.


p/s:  Nantikan kisah menarik mengenai BHR Padawan Nature Challenge 2011 yang akan kami dua si gaman ceritakan pada post akan datang.  Update! Sila klik di sini.




Saturday, 2 July 2011

BHR Padawan Nature Challenge 2011 Bermula Esok!

Tag nama Pasukan MyGamanBorneo
Debaran semakin terasa untuk BHR Padawan Nature Challenge 2011 yang akan berlangsung esok,  Ahad bersamaan 3 Julai 2011.  Program tahun keempat cabaran eko pelancongan ini merupakan anjuran bersama Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Borneo Highland Resort (BHR).  Sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu MPP Chairman Challenge Trophy (Open), Malta Penrissen Summit Trekking Challenge (Open), Batu Panggah Trekking Challenge (Open) dan Kalimantan View Trekking Challeng (Ladies Only).  Program ini juga turut mendapat kerjasama daripada Sarawak Bloggers selaku media online.

T-shirt dan nombor pasukan
Sementara, kami dua si gaman pula merupakan antara yang mewakili Sarawak Bloggers memilih untuk mengharungi cabaran kategori Malta Penrissen Summit Trekking Challenge (Open) sejauh 15 kilometer esok.  Tidak sekadar ingin merasai sendiri pengalaman menyertai cabaran seumpama ini, kami juga sebenarnya ingin melihat dengan mata sendiri keindahan alam semulajadi di BHR yang menjadi sebutan ramai.  Tidak lupa juga, kami dua si gaman akan membawa kalori dan lemak-lemak berlebihan  pada badan untuk disingkir di sepanjang perjalanan ^_^

p/s: Tiada latihan mencukupi berikutan kesibukan dan masa yang terhad diharap tidak menjadi penghalang untuk kami dua si gaman menghabiskan cabaran ini.




Friday, 1 July 2011

Hari Double Trouble Si Wira anak Sedan

Hari ini merupakan harijadi bagi encik Wira anak Sedan.  Untuk meraikan harijadi si Wira pada hari ini bukan alang-alang lagi budget yang terpaksa kami dua si gaman terpaksa keluarkan, RM82.00 untuk bayaran road tax dan RM382.67 untuk renew insurance.

Si gaman jadi mekanik tidak terlatih memasang barteri baru untuk si Wira
Tapi masalahnya, si Wira ni demand pula untuk harijadinya kali ini.  Semalam, belum sempat si gaman sampai rumah, si Wira pula bergurau dengan mati enjin  kira-kira 300 meter  jauhnya dari rumah di tengah-tengah hujan lebat dengan kilat sambar menyambar.

Barteri baru untuk si Wira
Rupa-rupanya barteri si Wira sudah rosak, apa lagi terpaksalah si gaman menolak si Wira dalam kehujanan sehingga sampai ke rumah.  Jadi, pagi tadi mahu tidak mahu terpaksa juga kami mengeluarkan budget tambahan untuk membelikan hadiah berupa barteri baru untuk si Wira berharga RM135.00.

Kebetulan ada sorang budak mekanik dengan jumper nya singgah membantu
Ingatkan, si Wira puas hati selepas menerima hadiah barteri baru.  Malangnya, ketika on the way untuk urusan membayar insurance dan road tax, si Wira tiba-tiba sekali lagi pada jarak yang sama dan di tempat yang sama mati enjin.  Punyalah bengang kami dua si gaman dengan sikap si Wira hari ni, syukur ada jiran yang singgah menghulurkan bantuan untuk sesi jumper men'jumper.

Talian hayat untuk si Wira
Tapi yang bikin geram, si Wira ni makin nakal pula.  Lepas di jumper jumper, enjin hidup tapi lepas tu mati semula.  Tiga kali cubaan akhirnya langsung tidak mahu hidup-hidup.  Terdahulu, kami kena juga membeli jumper untuk talian hayat si Wira berharga RM30.00 berikutan si budak mekanik yang baik hati itu terpaksa balik ke tempat kerja.  Usaha untuk menghidupkan enjin si Wira masih gagal walaupun di jumper berulang kali dengan bantuan suami jiran yang baik hati tadi.  Berikutan situasi si Wira yang agak mencemaskan, akhirnya, terpaksa juga si Wira ditolak ke klinik berdekatan

Alternator lama si Wira
Selepas pemeriksaan lanjut oleh doktor pakar kereta, kami diberitahu bahawa salah satu organ si Wira bernama 'alternator' telah rosak.  Memandangkan benda tersebut tiada dalam stok mereka, jadi kami meminta bantuan rakan sekerja si gaman untuk sesi mencari makhluk yang bernama 'alternator' itu.  Untuk si Wira, sekali lagi kami terpaksa mengeluarkan budget tambahan iaitu RM180.00 untuk sebiji organ dalaman si Wira dan RM15.00 untuk kos pemasangan organ baru.

p/s:  RM824.67 kos untuk meraikan harijadi si Wira anak Sedan.  Happy Birthday Wira dan tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada mereka-mereka yang terlibat dalam meraikan harijadi si Wira pada hari ini.




Thursday, 30 June 2011

Cuma Perlu 1 Lagi Tiket Free RWMF 2011

Tiket RWMF 2011
Daripada dua borang peraduan Kuiz Rainforest World Music Festival (RWMF) 2011 menerusi akhbar Borneo Post, kami cuma memenangi satu tiket percuma sahaja iaitu borang peraduan di atas nama si gaman.  Nampaknya terpaksalah mencari inisiatif lain untuk mendapatkan satu lagi tiket untuk ke RWMF 2011 pada hari dan tarikh yang sama.

Untuk rekod, kuiz ini merupakan anjuran bersama Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan Kumpulan See Hua.  Sebanyak 150 tiket diserahkan untuk diberikan kepada pemenang peraduan Kuiz RWMF menerusi akhbar-akhbar tersebut. Kumpulan See Hua adalah penaja media bagi RWMF yang telah berlangsung dari 8 hingga 10 Julai 2011 lepas.




Wednesday, 29 June 2011

Klik Klik @ Karnival Gawai Redeems 2011

Pusat Redeems Kampung Apar Singgai, Bau.
Cakap-cakap mengenai kemeriahan Karnival Gawai Redeems pada tahun-tahun sebelumnya membuatkan si gaman dan rakan sekerjanya merancang untuk mengadakan trip ke  Karnival Gawai Redeems 2011 akan diadakan pada 24 dan 25 Jun lepas di Pusat Redeems Kampung Apar Singai, Bau.

Gerbang masuk ke Pusat Redeems
Karnival yang bertemakan ‘1Malaysia, Pelbagai Budaya’ itu  menurut sumber yang kami perolehi daripada akhbar Borneo Post dikatakan akan menyajikan pelbagai aktiviti kepada pengunjung.  Pada 24 Jun, antara aktiviti yang dijadualkan berlangsung ialah persembahan kugiran daripada Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) bersama para artis Bidayuh, persembahan kebudayaan oleh kumpulan-kumpulan etnik di Sarawak dan pertandingan ratu cantik ‘Dayung Sekora’.

Baruk yang menjadi identiti kepada suku kaum Bidayuh
Sementara pada 25 Jun pula diadakan ialah sukaneka, penyampaian anugerah kepada pelajar cemerlang, pertandingan akhir ratu cantik, hiburan bersama artis Bidayuh dan banyak lagi.  Acara kemuncak ialah pada majlis makan malam bersama Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di mana beliau turut akan menyempurnakan upacara perasmian Karnival Gawai Redeems 2011.

Sempat juga kami dua si gaman berposing gambar kenangan
Difahamkan, Karnival Gawai Redeems kali ini berbeza daripada yang sebelumnya kerana aktiviti dijalankan di dewan serba guna Redeems yang baru siap dibina dengan kos RM4 juta.  Tahun ini buat pertama kalinya, acara diadakan di bangunan baru Pusat Redeems yang menelan perbelanjaan RM4 juta, lengkap dengan kemudahan untuk penganjuran pelbagai bentuk program.  Pusat Redeems turut dilengkapi dengan fasiliti sukan Squash, yang mana pertama kalinya diperkenalkan di daerah Bau dengan kerjasama Persatuan Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA).

Hanya berkesempatan menyaksikan pertandingan menyumpit
Kehadiran kami pula pada Sabtu, 25 Jun sekitar jam 11.00 pagi sedikit mengecewakan kerana kami tidak menyaksikan sebarang kemeriahan atau aktiviti menarik.  Ini mungkin kes salah 'timing', maklumlah jam sudah menunjukkan hampir masuk waktu makan tengahari, jadi sudah tentulah suasana agak lengang.  Jadi, kami cuma menghabiskan masa kurang sejam untuk meronda-ronda sambil cuci-cuci mata melihat sekitar Pusat Redeems.

Kelihatan Presiden Redeems Datuk Peter Nansian Ngusie
Dalam sibuk-sibuk klik-klik, kamera model lama Canon PowerShot A400 kami dua si gaman sempat merakamkan gambar Presiden Redeems, Datuk Peter Nansian Ngusie yang juga merangkap Menteri Muda Alam Sekitar Sarawak.  Beliau pada ketika itu mungkin dalam sesi turun padang.

Gerai Nescafe & Maggi antara yang menjadi tumpuan pengunjung
Daripada maklumat yang di google-google, Association of Research and Development Movement of Singai Sarawak (REDEEMS) merupakan sebuah organisasi komuniti bagi 12 buah kampung di kawasan Singai yang rata-ratanya diduduki oleh suku kaum Bidayuh Bisingai.




Tuesday, 28 June 2011

1# Projek Krusye: Penanda Buku

Lima warna berbeza, hijau, jingga, merah jambu, kuning dan putih
Ini merupakan projek krusye terbaru saya.  Berukuran kira-kira 18.5 cm tinggi dan 4 cm lebar, motif  yang digunakan merupakan motif untuk table runner tetapi telah diubah suai supaya bersesuaian ijadikan penanda buku.  Selain untuk diri sendiri, penanda buku seperti ini juga sesuai dijadikan  sebagai cenderahati kepada rakan-rakan, murid-murid, atau peminat.  Cewah ... macam promosi jualan kedai blog online pula.  Tapi kalau ada sesiapa yang berminat untuk membuat tempahan konon-kononnya, saya tidak menolak ^_^ dan harga pengenalan adalah RM1.00 satu.