| MyGamanBorneo: Eksplorasi Pena & Lensa | Alternatif Gaya Penulisan Bebas Tanpa Batasan |

Saturday 18 February 2012

Waffle Gaya Malaysia

Biasanya waffle disapu dengan mentega, mentega kacang, kaya, susu pekat atau madu.  Tapi waffle yang hendak saya ceritakan ini sangat berbeza daripada waffle yang biasa kita makan kerana ianya berintikan rendang ayam ataupun satay ayam.

Waffle gaya kita orang
Kami dua si gaman mencuba waffle rendang ayam dan rasanya memang sedap serta mengenyangkan! Waffle ini boleh didapati di stall Magic Bite, Kuching Sentral dan terdapat dua pilihan iaitu waffle rendang ayam dan waffle satay ayam. 

Staff Magic Bite
Penyediaannya lebih ringkas berbanding burger, roti john dan kebab kerana waffle tersebut hanya perlu diletakkan dengan hirisan salad, rendang atau satay dan mayonis.  Sekali lagi saya katakan rasanya memang sedap terutamanya dimakan ketika masih panas-panas ... tidak percaya? ... cuba dulu baru tau ^_^

Magic Bite, Kuching Sentral
Mungkin ini akan menjadi salah satu sebab untuk kami sering datang ke Kuching Sentral.  Bagi sesiapa di sekitar Kuching yang belum pernah mencuba waffle istimewa ini bolehlah buat aktiviti jalan-jalan cari makan di Kuching Sentral selain shopping.

Friday 17 February 2012

Ulang Tahun Perkahwinan Ke - 5

Ulang tahun kelima
Hari ini merupakan ulang tahun kelima perkahwinan kami dua si gaman.  Sedar tidak sedar, rupanya sudah lima tahun kami menjadi pasangan suami isteri ... cewah.  Sepanjang hari ini kami penuhi dengan aktiviti jalan-jalan cuci mata dan jalan-jalan cari makan.

Laksa Sarawak
Hari istimewa ini kami mulakan dengan bersarapan pagi merangkap makan tengahari Laksa Sarawak kegemaran di Thompson Corner, Tabuan Jaya.  Rasa laksa sarawak yang biasa kami makan setiap minggu ini pun lebih special berbanding hari-hari biasa mungkin kerana hari ini sangat istimewa untuk kami berdua.

Melihat pameran di Muzium Seni
Selepas kenyang perut senang hati, kami dua si gaman pergi mencuci mata melihat pameran gambar Black & White Impression Body Sculptures in Light di Muzium Seni.  Gambar-gambar hitam putih seni bina badan yang dipamerkan memang cukup menarik dan sesiapa yang berada di sekitar Kuching bolehlah meluangkan masa untuk berkunjung ke pameran yang bermula 16 Feb hingga 18 Mac.

Aiskrim kacang dan aiskrim kacang merah
Selepas dari muzium seni, kami kemudiannya pergi berurusan di beberapa tempat sebelum singgah makan aiskrim di iglool, King Centre, Simpang Tiga.  Kali ini ada sedikit suntikan suasana romantik la kunun sebab premis ini masih dipenuhi dengan hiasan suasana Valentine Day.

Makan malam
Memandangkan kami dua si gaman malas mau berulang-alik, jadi kami singgah lagi cuci-cuci mata dan makan waffle rendang di Kuching Sentral sementara menunggu waktu untuk makan malam.  Tahun ini kami memilih untuk makan di Top Sport iaitu medan makan yang popular di Kuching.  Tiada istilah candle light dinner, sepanjang lima tahun ini kami sentiasa meraikan ulang tahun dengan makanan yang mengenyangkan.  Kita perlu melupakan diet sihat pada setiap hari istimewa seumpama dan sewaktu dengannya ^_^

Wednesday 15 February 2012

Dekorasi Krusye Untuk Tandas

Seni mengait krusye merupakan satu-satunya kemahiran kraftangan yang saya miliki dan selain sanggup berhabis duit untuk buku, majalah, laksa sarawak, kek keju & coklat, saya juga sanggup berhabis duit untuk hobi krusye ini. 


Bagaimanapun, setakat ini saya masih belum terfikir mengait krusye untuk hiasan di tandas seperti gambar-gambar ini.  Kalau saya buat tandas di rumah macam ini gerenti saya sendiri tidak mau pakai sebab bimbang akan mengotorkan krusye.


Lagi pula, tandas kita orang asia susah mau kering kerana faham-faham sajalah, di situlah tandas di situ jugalah tempat mandi.  Jadi dekorasi seumpama dan sewaktu dengannya memang tidak sesuai.


Tapi kalau ada sesiapa yang berminat untuk menjadikan tandas di rumah mereka seceria seperti gambar-gambar ini, jangan ragu-ragu untuk membuat tempahan daripada saya hehehe ...  Pilih saja pattern yang mana satu, saya akan buat dan harga boleh runding.  Ada siapa-siapa yang berminat?  ^_^


Penggemar seni mengait jarum satu krusye, boleh dapatkan koleksi pattern-pattern percuma di blog Walai Krusye.

Sunday 12 February 2012

Projek Mengait Krusye 'Granny Square'

Koleksi benang baharu
Selamat Hari Ahad.  Beberapa hari ini saya agak sibuk dengan projek krusye dan cerita projek krusye terbaharu saya kali ini ialah mengait 'Granny Square'.  Kelmarin sahaja saya telah menghabiskan lebih RM30 untuk membeli benang Acrylic bersaiz 2.5SMM.  Tidak sangka pula harga benang kait sekarang semakin mahal.  Semua harga barang naik.

Jarum dua mata bersaiz 5/0 dan 6/0
Jarum yang saya gunakan sahaja sudah berharga RM7.90, mahal betul tapi memandangkan benang yang saya beli bersaiz besar jadi terpaksa juga membeli jarum kait baharu.  Jarum kait ini mempunyai dua mata kait bersaiz 5/0 dan 6/0.

Granny Square bersaiz kira-kira 8.5 cm
Saya sengaja beli 'rug yarn' supaya motif 'granny square' yang dihasilkan besar, tapi tidak sangka pula agak sukar juga untuk mengait benang yang bersaiz besar.  Sakit juga jari-jemari, lagi pula ini kali pertama saya mengait menggunakan benang dan jarum kait bersaiz besar.  Tapi hasilnya agak memuaskan kerana sekeping sahaja bersaiz kira-kira 8.5 sentimeter.

Cantuman 'granny square'
Saya sebenarnya kurang gemar mengait 'granny square' kerana motif jenis ini memerlukan penggabungan beberapa warna benang dan saya kurang mahir dalam soal-soal menggabungkan warna.  Ini 'granny square' pertama yang berjaya saya siapkan.  Saya bercadang untuk membuat 'sesuatu' daripada cantuman-cantuman 'granny square' ini nanti.  Bagi peminat seni krusye, boleh dapatkan koleksi pattern percuma di Walai Krusye.

Wednesday 8 February 2012

Pilih Pakaian Sesuai Mengikut Bentuk Tubuh

Bentuk badan wanita
Selepas melihat gambar di atas, adakah anda memilih pakaian untuk digayakan yang tepat selama ini?  Menurut info yang saya perolehi dari sebuah majalah wanita, pakaian perlulah dipilih mengikut bentuk badan untuk tampil menarik.

Apple - Bentuk tubuh yang besar pada bahagian atas.  Mereka mempunyai bentuk begini mempunyai pinggul lebih kecil berbanding dengan bahagian bahu, lengan dan dada.  Cara terbaik adalah memilih warna yang lebih lembut pada bahagian bawah dan gelap di bahagian atas.  Elakkan top atau dress yang terlalu banyak perincian sulam, labuci, manik mahupun ropol.  Sebaliknya pilih yang ringkas dan kosong dengan fabrik lembut beralun.  Anda juga tidak digalakkan untuk memakai top yang ketat dan melekap pada tubuh.

Pear - Memiliki bahagian bawah yang besar daripada dada.  Wanita seperti ini perlu mengenakan pakaian yang berpotongan lurus atau tegak untuk kelihatan langsing.  Pilih rona lembut pada bahagian atas dan gelap pada bahagian bawah.  Untuk menjadikan bahagian pinggul nampak lebih kecil, pakai dress atau blaus dengan pelapik bahu.  Elakkan juga mengenakan celana atau skirt jenis kembang sebaliknya pilih A-line.
 
Hour Glass - Wanita yang mempunyai bentuk badan seperti ini memiliki ukuran dada dan pinggul yang agak sama, sementara pinggangnya lebih kecil daripada dada atau pinggulnya.  Bentuk badan hour glass merupakan idaman setiap wanita.  Mereka yang memilik bentuk badan seperti ini bertuah kerana mereka sesuai dengan apa sahaja pakaian.

Empat Segi - Mempunyai bahagian bahu, dada, pinggang dan pinggul yang sama lebar atau dengan kata lain tidak mempunyai potongan langsung.  Pilihan gaya yang sesuai adalah dengan memakai tali pinggang yang kecil untuk memberi bentuk badan pada bahagian pinggang.  Jaket model lurus yang tidak terlalu ketat, blaus atau semi jaket model 'square jacket' dikatakan mampu menyerlahkan penampilan anggun dan klasik.

Tuesday 7 February 2012

Layanan Buruk Punca Peniagaan Bumiputera Tidak Kekal

Layanan dan perkhidmatan kepada pelanggan yang buruk! itulah punca kenapa banyak perniagaan yang diusahakan oleh 'Bumiputera' tidak dapat bertahan lama.  Hal ini juga merupakan punca utama kenapa bumiputera seperti saya beralih dan lebih gemar pergi ke kedai makan, kedai gunting rambut, kedai runcit atau bengkel kereta yang diusahakan oleh peniaga Cina dan India.

Ini pendapat peribadi saya setelah banyak kali berhadapan dengan sikap peniaga bumiputera yang tidak menghargai pelanggan mereka, saya percaya ramai di luar sana pernah mengalami pengalaman yang serupa.  Kalau di kedai makan, kita terpaksa menunggu lama.  Kalau di kedai gunting rambut, rambut digunting sambil lewa dan tidak memenuhi permintaan pelanggan.  Kalau di kedai runcit, layanan tidak mesra jika barang yang dibeli sedikit.  Itu antara senario yang sering berlaku.

Bukan berniat memburuk-burukkan peniaga bumiputera secara total tetapi ini kenyataan yang harus diterima untuk kita berubah dan mencontohi sikap peniaga Cina dan India dalam soal memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.  Sebagai bumiputera, sudah tentu saya ingin membantu peniaga bumiputera tetapi kebanyakan pengusahanya gagal memberikan layanan dan perkhidmatan yang baik kepada pelanggan.

Sunday 5 February 2012

Pau Landak dan Pau Anjing

Pau berbentuk landak dan anjing
Siapa kata pau itu hanya berbentuk bulat?  Saya pun pada mulanya ingat pau itu cuma berbentuk bulat sahaja sebelum terjumpa dua biji pau yang comel berbentuk landak dan anjing seperti gambar di atas.  Gara-gara bentuknya yang tersangat comel jadi dengan sengaja saya membelinya sekadar untuk mencuba.  Harga sebiji RM1.20 dan ini saya beli dari salah sebuah kedai makan di BDC, Kuching.

Inti kacang merah pandan dan kacang hijau
Inti pau ini bukanlah menggunakan isi daging landak dan anjing, cuma bentuknya sahaja yang bertujuan untuk menarik perhatian pelanggan.  Pau yang berbentuk landak berintikan isi kacang merah dan pandan, manakala pau berbentuk anjing pula berintikan isi kacang hijau. 

Friday 3 February 2012

Perlumbaan Memenangi Sebuah Ducati Monster 795

Berangan-angan untuk memiliki sebuah motosikal berkuasa besar jenama terkenal 'Ducati'?  Ini peluang anda untuk memenangi sebuah Ducati menerusi cabaran ‘RHB Now Racer’.  “Kempen Perlumbaan Memenangi Sebuah Ducati RHB Now Racer” yang dianjurkan oleh RHB Bank Berhad  ini menawarkan hadiah lumayan berupa tiga (3) unit Ducati Monster 795, tujuh (7) unit Hadiah Saguhati dan lapan puluh (80) unit hadiah mingguan akan diberikan sepanjang Tempoh Kempen. Kempen bermula 20 Januari dan berakhir pada 11:59:59 pada 15 Mac 2012.  Layari laman web www.rhb.com.my untuk maklumat lanjut mengenai terma dan syarat Perlumbaan Memenangi Sebuah Ducati RHB Now Racer.

**Sorry, campaign period is now over, and all link has been removed.
 

Sahabat Punca Jantung Wanita Lebih Sihat

Pix from google
Apa bezanya di antara istilah kawan, rakan dan sahabat?  kerana menurut satu info sihat yang saya baca di majalah, wanita yang menceritakan masalahnya kepada sahabat yang tidak memberikan sokongan moral akan mempertingkatkan 44% risiko diserang tekanan darah tinggi sehingga boleh menjejaskan kesihatan jantung berbanding mereka yang memiliki sahabat yang memahami.  Jadi mulai hari ini pastikan kita memilih sahabat yang tepat untuk jantung yang sihat.