| MyGamanBorneo: Eksplorasi Pena & Lensa | Alternatif Gaya Penulisan Bebas Tanpa Batasan |

Tuesday 5 July 2011

MyGamanBorneo @ BHR Padawan Nature Challenge 2011

BHR Padawan Nature Challenge 2011 yang berlangsung pada Ahad, 3 Julai lepas memahat memori di yang mungkin kami dua si gaman tidak akan lupakan sampai bila-bila.  Ini merupakan pertama kali kami dua si gaman bersama-sama mencuba aktiviti lasak yang benar-benar menguji kecekalan mental dan fizikal. 

Team MyGamanBorneo:  S'gin & Jaw's
Memilih untuk menyertai Malta Penrissen Summit Trekking Challenge sejauh 15 kilometer, penyertaan kami pada program ini adalah percuma menerusi Sarawak Bloggers yang bertindak selaku media online bagi progam cabaran eko pelancongan ini.  Jadi mana-mana blogger di luar sana yang ingin menikmati pelbagai peluang menarik seperti ini, sertai Sarawak Bloggers dan rajin-rajinlah melayari portal rasmi mereka.

Sesi briefing untuk para peserta Cabaran Malta
Memandangkan kami menyertai Malta Penrissen Summit Trekking Challenge, jadi cerita kami dua si gaman mungkin terhad kepada kategori ini sahaja.  Sebelum flag off, semua peserta diberi penerangan ringkas mengenai laluan yang harus diambil oleh setiap pasukan.

Beratur untuk punch passport
Sebelum pelepasan, pemeriksaan senarai nama setiap pasukan dibuat terlebih dahulu.  Untuk rekod, kategori Malta Penrissen Summit Trekking Challenge merupakan yang ketiga dilepaskan.  Pelepasan pertama adalah peserta kategori Kalimantan View Trekking Challenge dan diikuti oleh Batu Panggah Trekking Challenge.

Staff yang bertanggungjawab untuk flag off
Dalam menanti masa untuk flag off, sempat juga lensa kamera kami dua si gaman merakamkan gambar pegawai yang bertanggungjawab melaksanakan tugas Flag Off.

Map untuk cabaran Batu Panggah, Kalimantan View & Malta
Gambar di atas merupakan peta laluan yang perlu ditempuhi oleh setiap pasukan mengikut kategori.  Kalau tengok peta memang nampak senang sahaja, pada ketika itu belum dapat membayangkan bagaimana situasi dan cabaran sebenar di dalam hutan yang bakal kami harungi nanti.

Pelepasan untuk cabaran Malta, 15 kilometer
Yeah! Flag Off!  Semua peserta berlari untuk saling mendahului antara satu sama lain.  Saya pula yang versi gear kura-kura tertinggal di belakang.  Kalau tidak silap cuma terdapat tiga pasangan lelaki dan perempuan yang menyertai cabaran Malta ini termasuk kami dua si gaman, sementara yang lain semuanya pasangan lelaki.

Si gaman mula pasang gear satu ^_^
Cuma dalam beberapa saat, kebanyakan peserta sudah hilang dari pandangan kami, yang tinggal cuma beberapa pasukan termasuk kami dua si gaman.  Kami tidak dapat merakamkan banyak gambar berikutan terdapat pelbagai rintangan sukar yang perlu diharungi dengan penuh berhati-hati.

Suasana sejuk dan kelam
Untuk pasukan MyGamanBorneo, si gaman bertindak sebagai ketua dan saya pula mengekori daripada belakang.  Kami bergerak dalam pacuan yang konsisten bagi mengelakkan keletihan mengejut dan kekejangan pada otot.

Kelihatan beberapa peserta sedang berehat
Kurang dari setengah jam merentas hutan kami bertemu dan memintas beberapa peserta yang sedang berehat untuk memulihkan tenaga.  Mereka bukan sahaja terdiri daripada peserta cabaran Malta tetapi juga peserta cabaran Batu Panggah dan Kalimantan View yang saya fikir sudah dilepaskan mendahului setengah jam daripada peserta cabaran Malta.

Macam relax saja si gaman menaiki bukit
Nampaknya, menyertai cabaran seperti ini bukan mementingkan siapa cepat atau siapa lambat, semangat berpasukan dan faktor keselamatan merupakan antara yang paling penting.  Pendek kata "Biar lambat asal selamat".

Saya pula bergerak macam kura-kura
Kami dua si gaman bergerak berhati-hati kerana takut tergelincir berikutan laluan agak basah dan licin ditambah lagi dengan kesan-kesan tapak kaki bertindih yang telah merosakkan struktur tanah di kebanyakan laluan.

Berhenti beberapa saat untuk mengambil nafas
Sesekali kami bertembung dengan beberapa situasi, antaranya ada pasangan yang bertekak akibat berbeza pendapat, ada juga yang ditinggalkan oleh pasangan mereka bersendirian.  Malah ada juga yang mengalami kekejangan otot serta termuntah-muntah, mungkin akibat keletihan dan perut kosong. 

Kawasan ini dipenuhi oleh batu-batuan besar
Tempat si gaman bergambar ni memang cukup menyeramkan, penuh dengan batu-batuan besar berlumut, laluan licin dan dilitupi daunan kering yang menjadi persembunyian pacat-pacat nakal.  Saya pula entah berapa kali terjerit dan membuatkan si gaman terkejut gara-gara pacat-pacat nakal yang cuba untuk menghisap darah pada betis saya yang keladi bunting ^_^

Laluan berbatu yang basah, licin dan curam
Lebih menarik lagi, kalau sesiapa masih ingat cerita "Anacondas: The Hunt for the Blood Orchid", lokasi ini antara yang mirip seperti dalam cerita tersebut.  Cuma lensa kamera tidak mampu menggambarkan suasana sebenar di sini. 

Antara laluan yang sukar
Babak paling menarik yang sempat lensa kamera kami rakamkan pada BHR Padawan Nature Challenge 2011 adalah gelagat peserta ketika cuba melepasi rintangan kayu balak yang melintang menghalang laluan yang agak curam.

Saling bantu-membantu untuk melepasi rintangan kayu balak
Dalam keadaan ini, setiap pasukan saling bantu membantu antara satu-sama lain dan tiada sikap mementingkan diri sendiri.  Untuk pengetahuan, ini cuma salah satu laluan sukar yang sempat lensa kamera kami rakamkan sebelum sampai ke Passport Control Point Mara T2.

Lokasi selepas Passport Control Point Mara T2
Selepas melepasi Passport Control Point Mara T2, kami dua si gaman memintas sebuah pasukan yang sedang berehat.  Hujan yang turun menyukarkan dan melambatkan pergerakan kerana kami terpaksa lebih  fokus dan berhati-hati ketika melangkah.

Pemandangan Passport Control Point Mara T2
Sepanjang penjalanan selepas Passport Control Point Mara T2 sehinggalah di Kalimantan View Point, kami dua si gaman langsung tidak terserempak dengan mana-mana peserta.  Kami memikirkan mungkin mereka bergerak begitu pantas.

Pemandangan menakjubkan dari Kalimantan View Point T3
Di Kalimantan View Point, kami berehat seketika sambil cuba merakamkan seberapa banyak pemandangan indah yang dapat dilihat dari sini.

Kelihatan beberapa pelancong tempatan
Di sini kami terserempak dengan beberapa pelancong tempatan.  Sementara itu, ketika di Kalimantan View Point ini cuma terdapat beberapa anggota PGA.  Kami kemudiannya ditunjukkan arah untuk meneruskan cabaran Malta.

Gambar kenangan di Kalimantan View point
Sebelum meneruskan perjalanan, saya tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar kenangan di sini walaupun dalam keadaan comot.

Cabaran Malta diteruskan
Perjalanan kami teruskan mengikut laluan yang ditunjukan.  Kami berjalan berhati-hati dan berpandukan tanda-tanda cat merah pada batang pokok bagi mengelakkan kami tersalah laluan.  Kami kemudian tiba di Passport Control Point Mt Penrissen Summit T3 di mana kami mendapati tiada sesiapa menanti di sana.

Titik permulaan detik cemas
Kami meneruskan perjalanan sehinggalah tiba di Passport Control Point Batu Panggah T4.  Perasaan kemudian bertukar cemas apabila melihat tiada sesiapa yang menanti di Passport Control Point Batu Panggah T4 ini.  Sila baca Detik Cemas MyGamanBorneo @ BHR Padawan Nature Challenge 2011 untuk mengetahui apa yang kami lalui selepas itu.

Berjaya melepasi detik-detik mencemaskan
Perasaan lega selepas berjaya melepasi detik mencemaskan.  Saya mengambil gambar ini beberapa minit selepas menenangkan perasaan dan memulihkan semangat yang hampir hilang.  Walau apapun, kami bersyukur kerana selamat dan berjaya mengharungi cabaran sebenar.

Kami menanti bantuan tiba di sini
p/s:  Inginkan cabaran yang Seronok, Mendebarkan dan Mencemaskan?  Sertai MyGamanBorneo pada BHR Padawan Nature Challenge 2012.  Tahun depan akan mencuba Batu Panggah Trekking Challenge (Open) sekiranya tiada aral melintang ^_^ Sila lihat Album BHR Padawan Nature Challenge 2011 yang kami rakamkan.




8 comments:

SARIKEI RUNNERS said... [Reply]

Gambar-gambar yang dirakam sangat menarik khususnya ketika dilaluan yang sukar itu.

Terima kasih.

Jaw @ MyGamanBorNeo said... [Reply]

@SARIKEI RUNNERS Terima kasih. Banyak lagi laluan sukar yg x berpeluang untuk dirakamkan.

Willie a.k.a Reptoz said... [Reply]

Syukur kamu berdua dapat balik dgn selamat. Cantik gambar gambar tu.

Jaw @ MyGamanBorNeo said... [Reply]

@Willie a.k.a Reptoz Thanks. Dengan bantuan Sarawak Bloggers kami selamat :)

AE86 said... [Reply]

Hahahahha...Rugi saya tak pergi...hehehhe..anyway..love ur blog!..nice!

Jaw @ MyGamanBorNeo said... [Reply]

@AE86 Next year boleh join :)

Fadzmie said... [Reply]

Woah. Ni baru la. Siap ada gambar sudah. Hehe. Macam ramai betul pula yang join tu. Berapa ramai ka semua?

Jaw @ MyGamanBorNeo said... [Reply]

@Fadzmie Mohamad Lebih 100 pasukan (1 pasukan 2 org) melibatkan 4 kategori.