| MyGamanBorneo: Eksplorasi Pena & Lensa | Alternatif Gaya Penulisan Bebas Tanpa Batasan |

Friday 7 January 2011

Tips Penulisan: Menjadi Penulis Kepada Si Pakar

Saya sangat tertarik dengan satu artikel bertajuk “Betapa Mudah Menjadi Penulis Rencana Kepada Si Pakar”.  Artikel oleh Jurulatih Kanan Akademi Penulis Sdn Bhd, Zamri Mohamad ini menjadi antara sumber inspirasi saya untuk terus berkecimpung dalam bidang penulisan. Artikel tersebut menceritakan bahawa ramai yang ingin menjadi seorang penulis tetapi terbelenggu dengan persoalan dua persoalan iaitu; 

  • ·         Saya tidak tahu menulis kerana saya tidak ada idea.
  • ·         Saya kurang pengalaman untuk menulis bidang yang saya tahu.
Zamri dalam artikelnya di laman web rasmi Akademi Penulis menjelaskan, sekiranya anda dibelenggu oleh persoalan di atas, anda hanya perlu menjadi penulis kepada si pakar untuk melangkah ke dunia penulisan.

Menurutnya, itulah yang dilakukan oleh para wartawan akhbar dan majalah apabila menulis sesuatu rencana.  Mereka menulis kepakaran orang lain atas nama mereka sendiri.  Seorang wartawan itu juga tidak perlu menjadi seorang pakar ekonomi bagi menulis rencana ekonomi, beliau hanya perlu menguasai kefahaman asas dan mendapatkan autoriti yang mengesahkan fakta yang ditulis. 

Lebih menarik lagi, Zamri dalam artikelnya turut berkongsi kisah mengenai Lea Beadling, seorang penulis bebas yang menulis rencana mengenai dunia perubatan, sedangkan beliau bukan seorang pakar! Lee Beadling merupakan seorang penulis bebas yang tersohor di Amerika Syarikat.  Salah satu artikelnya yang menarik perhatian pembaca bertajuk ‘Man With The Baby’.

Kisahnya sungguh unik yang menggambarkan bagaimana beliau menjadi seorang penulis bebas yang dikenali pakar dalam bidang kesihatan dan perubatan, khususnya dalam bidang ortopedik. Tetapi beliau bukanlah seorang doktor dan tiada apa-apa kelulusan daripada mana-mana institusi perubatan dunia yang mengesahkan kelayakannya.  

Apabila beliau menamatkan pengajiannya di kolej, beliau bekerja sebagai penulis staf di sebuah majalah, Orthopedics Today.  Dia tidak mempunyai apa-apa pengalaman dalam bidang tersebut dan pada masa yang sama tidak meminatinya.  Beadling tetap mahu menulis, ketika itu beliau sudah berumah tangga dan baru bergelar ayah, jadi dia memerlukan pekerjaan.  

Dia mempelajari ilmu ortopedik dengan menghadiri konferens, mendengar ucapan-ucapan mereka, membaca kertas kerja mereka, menyoal mereka dan merujuk kepada bahan bacaan lain seperti kamus perubatan Dorland.  Dia menulis lapan jam sehari, lima hari seminggu dikhususkan untuk mendapatkan maklumat-maklumat tentang kajian terbaru dan perubatan serta mencari berita-berita dari sumber kerajaan dan agensi lain yang berkaitan dengan bidang ortopedik.

Hari ini sebagaimana digambarkannya, “Saya dikenali dan dihormati oleh mereka dan ada yang meminta saya menuliskan ucapan untuk mereka.” Beadling berhenti dan menjadi penulis bebas bukan sahaja untuk majalah Orthopedics Today, pada masa yang sama terdapat badan-badan berkaitan memintanya menulis tentang bidang tersebut bagi tujuan kenyataan akhbar.

Menurut Zamri, beliau pernah menjadi Lee Beadling dalam acuan Malaysia.  Sebagai penulis bebas, beliau menemuramah individu dan mendapatkan bahan berautoriti dalam penulisan rencana. Beliau menjadi Lea Beadling dalam satu bidang yang bukan kemahirannya. Tetapi penulisan itu tidak mustahil jika tahu caranya.  Para pembaca berpuas hati kerana ia adalah maklumat baru yang bermanfaat kepada mereka. Malah mereka memintanya lagi dan lagi.

“Anda juga boleh jadi begitu, semuanya bermula dari dalam diri”, demikian kata-kata dalam baris terakhir artikel yang ditulis oleh Zamri.  Entah kali yang ke berapa saya membaca artikel ini, pada saya kisah Lee Beadling bukan sahaja menjadi inspirasi kepada Zamri dan penulis lain tetapi juga kepada seorang penulis kecil seperti saya.

Dunia penulisan memang penuh misteri, setiap penulis hanya perlu memilih laluan dan membentuk acuannya yang tersendiri seperti yang dilakukan oleh Lee Beadling dan Zamri Mohamad serta ramai lagi penulis terkenal di luar sana.  Bagi saya, laluan yang kelihatan ketika ini cumalah penulisan dalam acuan sebuah blog.





2 comments:

Zamri Mohamad said... [Reply]

Assalamualaikum

Terima kasih kerana sudi berkongsi cerita ini di blog. Mudah-mudahan Allah permudahkan usaha dan cita-cita kita semua.

ZAMRI MOHAMAD
http://www.zamrimohamad.com

Jaw @ MyGamanBorNeo said... [Reply]

... artikel saudara memang menjadi inspirasi untuk saya terus menulis. TQ jg sbb sudi berkunjung ke blog saya.