| MyGamanBorneo: Eksplorasi Pena & Lensa | Alternatif Gaya Penulisan Bebas Tanpa Batasan |

Showing posts with label Expo Tatu Kuching 2011. Show all posts
Showing posts with label Expo Tatu Kuching 2011. Show all posts

Saturday, 3 March 2012

Budayakan Fikiran Positif Terhadap Seni Tatu

Baru-baru ini, ketika sedang bersarapan di salah sebuah kedai kopi di Kuching, saya secara tidak sengaja terdengar beberapa wanita yang duduk membelakangi saya sedang rancak bergosip mengenai wanita bertatu.  Memandangkan saya juga peminat seni tatu maka saya tertarik untuk terus memasang telinga.  Bukan bertujuan untuk 'menjaga tepi kain' tetapi topik yang mereka perbualkan pada hari tersebut sangat menarik.  Lagi pula 'memasang telinga; di kedai kopi bukanlah suatu jenayah, jadi apa salahnya saya cuba mencuri-curi dengar apa pandangan peribadi mereka terhadap wanita bertatu.

Demonstrasi mengukir tatu pada Expo Tatu Kuching 2011
Sesekali terasa panas juga telinga apabila terdengar persepsi negatif mereka terhadap penggunaan tatu di kalangan wanita pada hari ini.  Rupa-rupanya dalam dunia serba moden hari ini, masih ada lagi yang memandang serong terhadap golongan bertatu.  Walaupun saya bukan seorang pakar dalam bidang seni tatu, tetapi rasanya tidak salah sekiranya saya berkongsi pendapat peribadi untuk menyangkal pendapat yang mengaitkan wanita bertatu dengan gejala sosial.

Wanita boleh tampil berbeza dan kelihatan menarik tatu
Secara peribadi saya berharap agar masyarakat dapat melihat seni tatu itu sebagai satu cabang seni yang unik.  Masyarakat perlu memahami bahawa pada masa kini, tatu dianggap sebagai satu saluran dan cara untuk menyampaikan perasaan, pandangan serta pegangan hidup seseorang.  Malah, sebenarnya seseorang wanita itu boleh tampil berbeza dan kelihatan menarik dengan ukiran tatu pada bahagian badan mereka.  Walau bagaimanapun, semua ini hanya dapat kita lihat sekiranya kita belajar memandang seni tatu itu dari sudut yang positif.

Tatu sebagai ekspresi perasaan, pandangan serta pegangan hidup sesorang
Masyarakat seharusnya tidak sewenang-wenangnya melabelkan penggunaan tatu itu menjurus kepada gejala-gejala negatif seperti jenayah dan gengsterisme.  Sedangkan, penggunaan tatu pada masa dahulu dikatakan bertujuan membezakan sesuatu keturunan, puak dan kumpulan.  Selain itu, tatu juga dikaitkan sebagai simbol sosial kepada kedudukan, status, kekuasaan dan kekayaan di dalam sesuatu masyarakat pada suatu ketika dahulu dan tiada kaitannya dengan unsur-unsur negatif.

Tatu sebagai lambang kasih sayang
 Mungkin penganjuran expo-expo ataupun bengkel berkaitan tatu perlu diperbanyakkan lagi pada masa akan datang bagi membawa masyarakat mengenali dan memahami serta seterusnya membudayakan fikiran positif terhadap seni tatu.  Saya percaya, usaha seumpama ini secara tidak langsung mampu mengikis tanggapan serong terhadap golongan bertatu.

Saturday, 22 January 2011

Album Expo Tatu Kuching 2011

Expo Tatu dan Perhimpunan Suku-Suku Kaum 2011 (A Tribal and Tattoo Expo 'Gathering of the Tribes') yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 14, 15 dan 16 Januari ternyata berjaya membawa para pengunjung mengenali lebih dekat kehalusan seni tatu.














Friday, 21 January 2011

Tattoo Expo 2011 - Fesyen & Kecantikan Menerusi Seni Tatu

Seahorse Tattoo Studio & Gallery Tattoo Expo 2011 "Gathering of the Tribes" @ BCCK
Ingin tampil berbeza dan kelihatan cantik dengan ukiran tatu pada bahagian badan?  Sesiapapun boleh cuma persoalannya adakah anda yakin dan sudah cukup bersedia?  Perlu diingat bahawa tatu adalah kekal dan tidak seperti baju atau aksesori yang boleh ditanggalkan pada bila-bila masa apabila sudah bosan.  Tatu juga bukan suatu trend kerana trend boleh berubah-ubah mengikut peredaran zaman tetapi tatu adalah kekal.  Jadi hanya mereka yang benar-benar bersedia dan yakin sahaja layak berfesyen dan kelihatan cantik dengan seni ukiran tatu.

Pilihan motif tatu yang tepat mampu mengekspresikan kecantikan & keyakinan diri
Kini, biarpun seni ukiran tatu sudah dianggap sebagai sebahagian daripada fesyen tetapi sebenarnya tidak semua motif tatu itu sesuai untuk diekspresikan sebagai fesyen dan kecantikan.  Untuk mendapatkan motif yang sesuai, anda dinasihat supaya bertanyakan pendapat serta sekali gus mendapatkan kaunseling daripada artis tatu kerana saya percaya mereka lebih pakar dan tahu motif yang sesuai untuk pelanggan mereka.

Tampil yakin & berani dengan ukiran tatu di tangan
Berbalik kepada bicara fesyen dan kecantikan menerusi seni tatu.  Untuk tampil bergaya dengan tatu, motif tatu yang dipilih  juga haruslah bertepatan dengan personaliti diriPilihan motif yang tepat dan sesuai dengan personaliti diri membolehkan seseorang itu  tampil yakin dan menarik.  Bagaimanapun, sekiranya silap membuat pilihan, ukiran tatu pada badan bukan sahaja menjadikan seseorang itu tampil kurang menarik tetapi juga turut menjejaskan keyakinan diri.

Fesyen & Kecantikan ... berpersonaliti & berkeyakinan
Jadi, tidak hairanlah jika ramai di luar sana yang menyesal dan cuba menyembunyikan tatu mereka dengan baju berlengan panjang dan berseluar panjang.  Oleh yang demikian, amat  penting bagi seseorang itu memahami maksud seni halus ukiran tatu itu terlebih dahulu sebelum memutuskan motif yang sesuai diukir pada bahagian tubuh mereka.








Thursday, 20 January 2011

Tattoo Expo 2011 - Seni Tatu Ketuk Dayak Kalimantan

Tatu ketuk (hand tapping)
Seni tatu etnik dan tatu ketuk (hand tapping) oleh Folk Tattoo Space dari Kalimantan Barat, Indonesia merupakan antara tarikan pada Expo Tatu dan Perhimpunan Suku-Suku Kaum 2011 (A Tribal and Tattoo Expo 'Gathering of the Tribes') bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 14, 15 dan 16 Januari lepas.

.. tumpuan dan ketelitian
Agak mengujakan apabila berpeluang melihat sendiri bagaimana proses membuat tatu secara tradisional oleh artis tatu Folk Tattoo Space,  Herpianto Hendra.  Difahamkan, tatu ketuk sering menjadi pilihan sama ada orang tempatan ataupun pelancong asing.  Lebih menarik lagi apabila melihat penulis buku terkenal, Lars Krutak yang juga terkenal dengan rancangan dokumentari popular "Tattoo Hunter", menambah koleksi tatu beliau. 

Lars Krutak menambah koleksi tatu beliau.
Menurut Herpianto dalam satu kenyataannya di sebuah akbar tempatan di Sarawak, tatu  kaum Kayan merupakan antara tatu yang paling rumit untuk dibuat kerana ianya mempunyai banyak butiran yang sangat kecil dan memerlukan kepakaran tinggi. 

Proses tatu ketuk memerlukan seorang pembantu untuk menahan
Menurut artis tatu berbangsa Kenyadan, salah satu suku Dayak di Kalimantan ini, corak tatu Dayak Kalimantan dan Dayak di Sarawak tidak jauh bezanya.  Kebanyakan corak-corak tatu Dayak Kalimantan dan Dayak di Sarawak dikatakan sama-sama cenderung kepada alam semula jadi.  Herpianto sudah mempunyai pengalaman selama 14 tahun dalam bidang tersebut.
 
... difahamkan, proses membuat tatu ketuk lebih lama berbanding menggunakan cara moden.






Wednesday, 19 January 2011

Tattoo Expo 2011 - Ekspresi Diri Menerusi Seni Tatu TRIBAL Jepun

Menurut kajian antropologi, penggunaan tatu oleh masyarakat pribumi pada masa dulu dikatakan bertujuan membezakan sesuatu keturunan, puak dan kumpulan serta banyak dipengaruhi oleh mitos pada zaman sebelumnya.  Selain itu, tatu juga dikaitkan sebagai simbol sosial kepada kedudukan, status, kekuasaan dan kekayaan di dalam sesuatu masyarakat itu pada suatu ketika dahulu.

Apocaript
ITU merupakan cerita atau pegangan suatu ketika dahulu, masa KINI tatu dianggap sebagai saluran dan cara untuk menyampaikan perasaan, pandangan serta pegangan hidup seseorang.  Ini bermakna, pada saat anda membuat keputusan untuk memilih sesuatu motif itu, ianya seumpama anda memutuskan untuk meluahkan sesuatu yang terpendam.

Memulakan proses mengukir seni tatu tribal Jepun
Perkara itu merupakan antara yang cuba ditonjolkan oleh para artis-artis tatu yang menyertai Expo Tatu dan Perhimpunan Suku-Suku Kaum 2011 (A Tribal and Tattoo Expo 'Gathering of the Tribes') bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 14, 15 dan 16 Januari lepas.  Expo tersebut turut disertai oleh studio tatu terkenal dari Jepun iaitu Apocaript yang menampilkan Taku Oshima.  

Taku Oshima melakukan demo mengukir tatu tribal Jepun
Apocaript turut mempamerkan pelbagai motif tatu unik yang menggabungkan elemen tradisional Jepun serta eleman moden.  Secara peribadi, saya melihat motif-motif yang dipamerkan di booth ini dikhususkan kepada mereka yang ingin mengekspresikan diri menerusi seni tatu dan bukan untuk golongan yang sekadar mencari keseronokan atau kelainan semata-mata. 






Tuesday, 18 January 2011

Tattoo Expo 2011 - Artis Tatu Dari Sabah Bah Ni

Artis tatu yang satu ni nama dia si Pip ... kalau saya nda membuyuk la
Pada Expo Tatu dan Perhimpunan Suku-Suku Kaum 2011 (A Tribal and Tattoo Expo 'Gathering of the Tribes') bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 15 Januari, sempat juga saya menyibuk di booth artis tatu dari Sabah iaitu Jesselton Tattoo & Body Piercing.

Kalau ikut di kad, nama artis tatu ni si Luther Montoyou
Mengikut business card mereka yang boleh diambil tanpa kebenaran pada expo tersebut, Jesselton Tattoo & Body Piercing menawarkan pelbagai kepakaran dalam seni tatu antaranya cover up di mana tatu lama pada bahagian badan boleh disembunyikan dengan ukiran tatu baharu yang lebih menarik.  Selain itu, perkhidmatan untuk touch up atau mewarnakan semula tatu yang telah pudar juga ada.

Siapa-siapa yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan si Luther ni boleh call dia di 016-8110436
Perkhidmatan lain yang turut ditawarkan oleh artis-artis tatu yang bernaung di bawah Jesselton Tattoo & Body Piercing  ini termasuklah black ink work & colour ink work, potrait & realistic shading, oriental, tribal, custom, traditional, dan macam-macam lagi.




Monday, 17 January 2011

Tattoo Expo 2011 - Seni Tatu Mengukir Lambang Kasih Sayang

Menghabiskan masa hampir 8 jam di Expo Tatu dan Perhimpunan Suku-Suku Kaum 2011 (A Tribal and Tattoo Expo 'Gathering of the Tribes') bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 15 Januari lepas memberikan suatu pengalaman yang cukup berharga.  Secara rambang, kebanyakan pengunjung yang hadir pada expo tersebut terdiri daripada kalangan peminat setia seni tatu itu sendiri, manakala segelintir daripadanya merupakan mereka yang sekadar datang untuk berkunjung untuk memahami dan melihat sendiri bagaimana tatu diukir.

Proses mengukir tatu
Secara diam-diam meminati seni ukiran tatu, expo pada hari tersebut membuka mata saya untuk melihat bagaimana seni tatu itu mampu diexpresikan sebagai lambang kasih sayang yang sukar untuk diungkapkan.  Seorang pemuda yang sempat saya temubual secara tidak formal, Raymond Chooi, merupakan antara yang berjaya menarik perhatian ramai untuk mengikuti sepanjang proses tatu mereka dibuat.

Raymond Chooi menunjukkan potrait bapanya yang telah siap
Pemuda yang berasal dari Taiping, Perak ini menggunakan khidmat artis pakar dalam ukiran potrait dari Circus Tattoos untuk mencacah potrait bapanya pada sebelah kanan dada beliau.  Menurut Raymond, tatu itu merupakan lambang kasih sayang mendalam beliau terhadap bapanya.

Proses menekap lakaran potrait
Sementara itu, seorang wanita yang tidak sempat saya temubual ini menggunakan khidmat seorang artis tatu wanita yang juga pakar dalam ukiran potrait  dari T.N.T Tattoo untuk mengukir potrait seseorang yang sangat disayangi pada lengan kanannya.  Saya percaya, masih ramai di luar sana yang mengaitkan budaya bertatu dengan sesuatu yang negatif seperti jenayah dan gengsterisme.

Memulakan proses mencacah tatu
Bagaimanapun, sebenarnya anda silap kerana seni tatu merupakan suatu seni yang cukup halus dan teliti ini mampu mengekspresikan perasaan pemiliknya tanpa perlu berkata apa-apa.




Sunday, 16 January 2011

Tattoo Expo 2011 - Seni Ukiran Tatu Etnik Iban

Borneo Tattoo Ink
Peralatan membuat tatu tradisional
Borneo Tattoo Ink (John Bosco), Custom Tattoo Studio (Nelson @ Apui) serta Andy Gray atau lebih dikenali sebagai Manang antara yang mengambil bahagian pada Expo Tatu dan Perhimpunan Suku-Suku Kaum 2011 (A Tribal and Tattoo Expo 'Gathering of the Tribes') yang berlangsung pada 14, 15 dan 16 Januari di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK). 
John Bosco (kiri) & Manang (kanan)

Pada expo tersebut, ketiga-tiga artis tatu ini berkongsi satu booth yang lebih mengetengahkan seni ukiran tatu etnik Iban.  Bagaimanapun terdapat juga pelbagai motif tatu moden untuk dipilih sendiri oleh peminat seni tatu.  Pada hari kedua expo (14 Jan / Sabtu), booth Borneo Tattoo Ink merupakan antara booth yang popular dan mendapat perhatian dari kalangan peminat tatu. 


Andy @ Manang teliti mengukir tatu
Lebih menarik lagi, kehadiran seorang wanita berumur yang juga merupakan isteri kepada seorang public figure turut datang semata-mata untuk mengukir tatu di kedua belah tangan beliau.
Siap !
Saya percaya kehadiran beliau mampu mengikis persepsi negatif masyarakat terhadap golongan yang bertatu.  Ini menunjukkan bahawa seni tatu pada hari ini tidak hanya untuk golongan muda.

Seni tatu harus dilihat dari sudut yang positif dan ia merupakan lambang peribadi dan bukan untuk menunjukkan kekuatan atau simbol kejahatan seperti yang dianggap oleh kebanyakan orang yang kurang memahami seni tatu itu sendiri.

Selain itu, booth ini turut dikunjungi oleh mereka yang ingin mewarnakan semula tatu yang telah pudar.  Malah ada juga yang membawa lakaran motif tatu sendiri untuk diukir pada bahagian badan mereka.

Bagi mereka yang berminat dengan seni ukiran tatu tradisional Iban, anda boleh menghubungi pemilik Borneo Tattoo Ink, John Bosco di nombor 019-8446999 atau Nelson @ Apui (Custom Tattoo Studio) di nombor 016-8575636.

Nelson @ Apui, mewarnakan semula tatu yang telah pudar






Tattoo Expo 2011 - Acara selingan sepanjang expo

Bersama penari-penari
Jika dalam suratkhabar melaporkan hampir 100 pengunjung ke Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada hari pertama (14 Jan / Jumaat) untuk menyaksikan ekspo tatu ... pada hari kedua (15 Jan / Sabtu) pula, mungkin lebih 200 pengunjung datang bersilih-ganti ... maklumlah hari pertama orang ramai masih ada komitmen kerja ... hari (16 Jan / Ahad) ni pula merupakan hari terakhir, saya percaya lebih ramai lagi yang datang.

Gerai menjual manik
Memandangkan saya cuma berpeluang untuk datang pada hari yang kedua expo, jadi cerita saya pun cuma mengenai pengalaman sepanjang hari tersebut.  Selain berpeluang melihat cara tatu diukir dengan menggunakan teknik moden dan tradisional ... antara yang tidak kurang menariknya, expo turut diserikan lagi dengan persembahan Sape Orang Ulu dan diikuti dengan upacara 'miring' bagi menandakan simbolik perasmian expo pada hari itu. 

Lars Krutak bersama di upacara 'miring'
Selain itu, diadakan juga persembahan tarian Ngajat Bebunoh (tarian tradisional Iban), Kanjet Ngeleput (tarian tradisional Orang Ulu), Rejang Be'uh (tarian tradisional Bidayuh) persembahan lagu Iban, Bidayuh, Belawan dan tidak ketinggalan juga lucky draw dan terdapat permainan tradisional.  Bagaimanapun, saya dan si gaman tidak berpeluang untuk menyaksikan pertandingan tatu ... maklumlah perut sudah lapar ^_^

Persembahan Sape
Bah ... banyak lagi ni pengalaman dan gambar-gambar menarik yang saya akan kongsikan kepada mereka-mereka yang kurang memahami dan mengenali rahsia dan keindahan di sebalik seni ukiran tatu.  Just wait and see my next post ^_^
 

Saturday, 15 January 2011

Tattoo Expo 2011


.. berada di Expo Tatu dan Perhimpunan Suku-Suku Kaum 2011 (A Tribal and Tattoo Expo 'Gathering of the Tribes) seawal jam 11.15 pagi.  Kalau diikutkan acara bermula pada jam 12.00 tengahari tapi terawal pula datang ... apa-apapun yang penting kami sudah dapat tiket ... tunggu lama sikit pun No Problem ^_^ Bukan senang mau dapat peluang macam ni, faham-faham sajalah kehidupan di bandar ni ... sibuk memanjang. 

Untuk pengetahuan, expo ini berlangsung selama tiga hari bermula 14 hingga 16 Januari yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).  Difahamkan juga, expo ini julung kali diadakan dan mendapat kerjasama daripada Biro Konvensyen Sarawak (SCB) yang mempamerkan keunikan dan kepelbagaian seni ukiran tatu daripada Malaysia, Indonesia, Filipina, Jepun, Itali, United Kingdom, Britain dan Ireland, melibatkan 26 gerai pameran.

... sabar menunggu ^_^
Bercakap pasal seni ukiran tatu ni, expo ini sebenarnya bertujuan untuk memperkenalkan dan mengetengahkan seni ukiran tatu yang diwarisi oleh pelbagai suku kaum memandangkan ramai yang kurang memahami keunikan yang tersirat di sebalik seni tatu itu ... Paling PENTING, expo ini yang pasti dapat mengikis tanggapan negatif masyarakat terhadap golongan yang memiliki tatu pada badan mereka.

Untuk makluman, harga tiket dijual pada RM20.00 untuk sehari atau RM50.00 untuk tiga hari, kanak-kanak di bawah 12 tahun FREE.  Mereka yang berada di sekitar Kuching, esok (16 Januari) masih ada peluang lagi untuk mengalami sendiri pelbagai rahsia di sebalik seni ukiran tatu.

Kami dua si gaman, walaupun hanya berpeluang untuk datang pada hari ni saja tapi bukan alang-alang pengalaman yang kami dapat ... rasanya perlu beberapa siri untuk menceritakan kesemua pengalaman sepanjang expo tadi ... pengalaman melihat tatu diukir cara moden dan tradisional ... pengalaman menemubual peminat tatu ... pengalaman dengan artis tatu ... pengalaman  dengan penulis 'Tattoo Hunter' ... pertemuan dengan orang-orang kuat di sebalik penganjuran Konvensyen Tatu Miri ... pengalaman bertatu ... memandangkan hari ni agak letih jadi tidak larat mau cerita dan upload semua gambar-gambar menarik ... jadi TUNGGUUUU ... untuk kisah selanjutnya.