| MyGamanBorneo: Eksplorasi Pena & Lensa | Alternatif Gaya Penulisan Bebas Tanpa Batasan |

Saturday, 3 March 2012

Budayakan Fikiran Positif Terhadap Seni Tatu

Baru-baru ini, ketika sedang bersarapan di salah sebuah kedai kopi di Kuching, saya secara tidak sengaja terdengar beberapa wanita yang duduk membelakangi saya sedang rancak bergosip mengenai wanita bertatu.  Memandangkan saya juga peminat seni tatu maka saya tertarik untuk terus memasang telinga.  Bukan bertujuan untuk 'menjaga tepi kain' tetapi topik yang mereka perbualkan pada hari tersebut sangat menarik.  Lagi pula 'memasang telinga; di kedai kopi bukanlah suatu jenayah, jadi apa salahnya saya cuba mencuri-curi dengar apa pandangan peribadi mereka terhadap wanita bertatu.

Demonstrasi mengukir tatu pada Expo Tatu Kuching 2011
Sesekali terasa panas juga telinga apabila terdengar persepsi negatif mereka terhadap penggunaan tatu di kalangan wanita pada hari ini.  Rupa-rupanya dalam dunia serba moden hari ini, masih ada lagi yang memandang serong terhadap golongan bertatu.  Walaupun saya bukan seorang pakar dalam bidang seni tatu, tetapi rasanya tidak salah sekiranya saya berkongsi pendapat peribadi untuk menyangkal pendapat yang mengaitkan wanita bertatu dengan gejala sosial.

Wanita boleh tampil berbeza dan kelihatan menarik tatu
Secara peribadi saya berharap agar masyarakat dapat melihat seni tatu itu sebagai satu cabang seni yang unik.  Masyarakat perlu memahami bahawa pada masa kini, tatu dianggap sebagai satu saluran dan cara untuk menyampaikan perasaan, pandangan serta pegangan hidup seseorang.  Malah, sebenarnya seseorang wanita itu boleh tampil berbeza dan kelihatan menarik dengan ukiran tatu pada bahagian badan mereka.  Walau bagaimanapun, semua ini hanya dapat kita lihat sekiranya kita belajar memandang seni tatu itu dari sudut yang positif.

Tatu sebagai ekspresi perasaan, pandangan serta pegangan hidup sesorang
Masyarakat seharusnya tidak sewenang-wenangnya melabelkan penggunaan tatu itu menjurus kepada gejala-gejala negatif seperti jenayah dan gengsterisme.  Sedangkan, penggunaan tatu pada masa dahulu dikatakan bertujuan membezakan sesuatu keturunan, puak dan kumpulan.  Selain itu, tatu juga dikaitkan sebagai simbol sosial kepada kedudukan, status, kekuasaan dan kekayaan di dalam sesuatu masyarakat pada suatu ketika dahulu dan tiada kaitannya dengan unsur-unsur negatif.

Tatu sebagai lambang kasih sayang
 Mungkin penganjuran expo-expo ataupun bengkel berkaitan tatu perlu diperbanyakkan lagi pada masa akan datang bagi membawa masyarakat mengenali dan memahami serta seterusnya membudayakan fikiran positif terhadap seni tatu.  Saya percaya, usaha seumpama ini secara tidak langsung mampu mengikis tanggapan serong terhadap golongan bertatu.

2 comments:

Nancy Poh said... [Reply]

Seni itu suatu yg subjektif utk dinilai....tatu ni mcm juga dgn graffiti...bnyak yg tengok dr segi negatif saja..huhu..

Jaw'S @ MyGamanBorNeo said... [Reply]

@Nancy Poh ya la ... selalu yg negatif dulu difikir.