 |
Piring persembahan |
Pada petang 31 Mei lepas, saya berkesempatan merakamkan beberapa gambar menarik suasana upacara menghantar piring persembahan ke tiang pengingat di rumah panjang Peligong, Saratok. Ini merupakan upacara wajip pada setiap sambutan Gawai Dayak.
 |
Antara piring persembahan yang dibawa oleh penghuni rumah panjang |
Penghuni di setiap pintu akan menghantar piring persembahan yang mengandungi beberapa hidangan tradisi seperti tuak, nasi ruas, babi goreng dan 'kuih penganan'. Bagaimanapun, seiring dengan arus kemodenan, piring persembahan turut disertakan hidangan moden.
 |
Upacara ini merupakan simbolik tanda kesyukuran |
Berbeza dengan apa yang pernah saya baca sebelum ini, upacara ini biasanya dilakukan pada pagi 1 hb
Jun, di mana tuai rumah dengan diiringi oleh beberapa
penghuni rumah panjang menghantar piring persembahan ke tiang pengingat
iaitu sejenis kayu yang sering digunakan untuk mendirikan rumah panjang.
 |
Upacara menyiapkan persembahan untuk tiang pengingat |
Peredaran zaman dan faktor keagamaan mungkin merupakan antara faktor kenapa upacara ini boleh dilakukan mengikut kesesuaian masa dan tidak terikat lagi dengan adat-adat lama. Ianya hanya kelihatan sebagai satu simbolik tanda kesyukuran.
 |
Upacara miring menggunakan ayam dilakukan oleh wakil penghuni rumah panjang |
Mungkin dahulu, upacara miring dilakukan menggunakan ayam kampung tetapi kini ayam karan juga boleh digunakan sebagai simbolik. Sedikit bahagian balung ayam dikerat untuk mengambil darah dan beberapa bulu juga turut dicabut untuk melengkapkan upacara tersebut.
 |
Upacara menyediakan persembahan dilakukan oleh Tuai Rumah |
Tuai Rumah kemudiannya akan memasukkan makanan yang diambil daripada piring persembahan ke dalam beberapa bekas yang diperbuat daripada buluh.
 |
Bekas buluh yang mengandungi makanan digantung pada tiang pengingat |
Bekas makanan tersebut kemudiannya akan digantungkan pada tiang
pengingat. Paluan 'tawak' atau gong mengiringi dari awal hingga tamat
upacara ini dilakukan. Bunyi bising letupan mercun juga turut membingitkan sepanjang upacara ini berlangsung.
**Update pembetulan: Upacara miring untuk Hari Gawai selalunya dilakukan pada petang 31 Mei setiap tahun. Pada pagi 1 Jun, penduduk rumah panjang akan "ngabang" antara satu sama lain. - Terima kasih di atas komen pembetulan yang diberikan oleh pembaca.