| MyGamanBorneo: Eksplorasi Pena & Lensa | Alternatif Gaya Penulisan Bebas Tanpa Batasan |

Showing posts with label RWMF 2011. Show all posts
Showing posts with label RWMF 2011. Show all posts

Saturday, 16 July 2011

Gemersik Gesekan Biola Gergaji Cottrell Tassim

Persembahan Cottrell bersama kumpulan Sagan Pio
Walaupun Festival Muzik Hutan Sedunia (RWMF) 2011 sudah seminggu berakhir tapi masih banyak cerita menarik yang belum dikongsikan.  Percaya atau tidak, pada 8 Julai lepas, kami dua si gaman berpeluang untuk melihat dan mendengar sendiri keunikan bunyi yang dihasilkan daripada 'biola gergaji' yang digesek oleh Cottrell Tassim.

Cottrell Tasim (kiri) menggesek gergaji
Membuat penampilan khas bersama kumpulan Sagan Pio, Cottrell Tassim menunjukkan kemahiran menggesek gergaji yang menghasilan bunyi gemersik seperti seruling.  Mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang muzik, difahamkan Cottrell hanya mengambil masa kira-kira dua bulan untuk berlatih bermain muzik menggunakan peralatan pertukangan itu.

Cewah, gambar candid interview dengan Cottrell Tassim lagi ni :)
Menurut Cottrell, dia juga sering menerima undangan membuat persembahan bersama Sagan Pio dan Soul Vide.  Jadi sesiapa yang ingin mengundang beliau membuat persembahan bolehlah menghubungi 013-8256497.  Di bawah ini saya kongsikan video pendek gabungan muzik Sagan Pio bersama gesekan biola gergaji Cottrell Tassim.





Wednesday, 13 July 2011

Terapi Muzik Sape Tuyang Tan Ngan

Pemain Sape Solo, Tuyang Tan Ngan, berketurunan Cina Sarawak
Berbekalkan tiket percuma yang dimenangi menerusi kuiz peraduan RWMF 2011 Borneo Post, kami dua si gaman cuba memanfaatkan kesempatan yang ada sepenuhnya pada hari pertama Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) Edisi ke-14, 8 Julai lepas.  Antara yang menarik tumpuan kami ialah kelunakan petikan muzik sape yang dimainkan oleh  Tuyang Tan Ngan di sebuah pentas kecil bersebelahan Rumah Etnik Melanau di Kampung Budaya, Santubong ini.

Tuyang bersama CD album Sape beliau
Lebih menyenangkan lagi, pemain sape solo berketurunan Cina Sarawak  yang juga merupakan seorang guru yoga ini tidak lokek berkongsi cerita mengenai muzik sape yang dimainkannya.  Jika pada suatu ketika dahulu sape dimainkan pada upacara penyembuhan kini muzik ini juga sesuai dijadikan sebagai terapi untuk yoga.   Bagi mereka yang ingin memiliki CD muzik sape atau menjemput Tan membuat persembahan sape, boleh hubungi beliau di nombor 016-8904710.

Bersama pemain sape yang terkenal, Mathew Ngau Jau
Pada hari yang sama, kami juga terserempak dengan dua pemain sape terkenal iaitu Mathew Ngau Jau dan Jerry Kamit.  Mathew Ngau yang dikenali sebagai 'Sape Master' di peringkat antarabangsa merupakan antara artis jemputan RWMF.  Beliau turut terlibat dalam bengkel bertemakan 'Are My Roots Showing' di dewan lagenda pada sebelah petang bersama beberapa artis jemputan dari luar negara.

Bersama pemain sape yang terkenal, Jerry Kamit
Sementara itu, kami juga bertuah kerana terserempak dengan pemain sape solo, Jerry Kamit yang juga anggota kumpulan Tuku Kame.  Mereka ini seringkali meraih anugerah muzik di peringkat antarabangsa. 

Alang-alang bercerita mengenai sape, lebih baik saya kongsikan maklumat menarik mengenai alat  muzik ini.  Mungkin ada lagi yang masih kabur-kabur mengenai alat muzik tradisional bertali menyerupai gitar ini.  Ia dihasilkan daripada kayu jelutong dan keruing kerana ketahanan dan bunyinya yang nyaring.  Alat muzik sape sesuai dimainkan secara solo atau berduet untuk menghasilkan kombinasi irama muzik yang lebih indah dan harmoni.

Menurut sumber daripada Utusan Online, Muzik ini dikatakan dipelajari oleh seorang lelaki kaum Kenyah, Anyie Selong yang mendiami Apo Kayan, Hulu Baram ratusan tahun lampau.  Pada suatu hari dia bermimpi melihat seseorang sedang bermain muzik sape yang kedengaran begitu merdu dan indah.

Dalam mimpinya, orang itu menasihatkan Anyie supaya membuat dan bermain muzik sape dengan menambah bunyi dan kemerduan muziknya.  Setelah sedar dari tidur, Anyie melakukan apa yang telah dipesan, maka bermulalah seni persembahan dan penggunaan muzik sape dalam kehidupan Orang Ulu sejak itu.

p/s:  Kami dua si gaman tidak balik dengan tangan kosong daripada RWMF 2011.  Banyak perkara yang kami lihat dengar dan pelajari di sepanjang festival muzik ini.  Nantikan siri seterusnya pada blog post akan datang.




Tuesday, 12 July 2011

Bengkel Muzik RWMF 2011

Bengkel muzik 'Mountain Music' di Dewan Lagenda
Bengkel muzik pada Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2011 yang diadakan sepanjang tiga hari bermula 8 hingga 10 Julai lepas merupakan antara aktiviti yang paling menarik.  Pada 8 Julai lepas, kami dua si gaman hanya berkesempatan untuk hadir ke empat bengkel di tiga lokasi berbeza iaitu Dewan Lagenda, Rumah Panjang Iban dan Dewan Teater Kampung Budaya.

Bengkel muzik 'Are My Roots Showing'
Di dewan lagenda, kami menyertai dua bengkel iaitu bengkel 'Are My Roots Showing' dan 'Mountain Music'.  Bengkel 'Are My Roots Showing' dikendalikan oleh pemain sape terkenal, Mathew Ngau bersama beberapa penggiat muzik luar negara antaranya Will Kepa (Kemerunga), James Riley (Paddy Keenan Trio), Andres Enrique Berbis (Victor Valdez Trio) dan Ewa Walecka (Warsaw Village Band).

Para pengunjung duduk santai pada bengkel muzik di Dewan Lagenda
Bengkel 'Mountain Music' pula dikendalikan oleh The Blue Canyon Boys (Gary Dark & Drew Garrett), Frigg (Tero Hyvaluoma & Esko Jarvela) dan Kemerunga (Peter Ella & David Martin).

Bengkel muzik di Rumah Panjang Iban
Manakala di bengkel Femme Fiddles yang diadakan di Rumah Panjang Iban pula kami disajikan dengan gesekan viola yang merdu. Ada di antara mereka yang mengesek viola yang berusia lebih 20 tahun.

Bengkel Femme Fiddle
Bengkel ini dikendalikan oleh lima wanita iaitu Lisa Haley (Lisa Haley & The Zydekats), Sarah Beattie (Pasific Curls), Ilga Reizniece (Ilgi), Ewa Walecka (Warsaw Village Band) dan Alina Jarvela (Frigg).

Bengkel Let Me Rast a Minute di dewan teater kampung budaya
Merupakan salah satu acara berprestij, RWMF merupakan platform terbaik untuk menikmati muzik terbaik di peringkat antarabangsa.  Pada bengkel ini kami dapat mempelajari keunikan, kelainan dan keindahan seni muzik yang ditonjolkan oleh semua penggiat muzik yang terlibat dalam RWMF secara lebih dekat.

Dari kiri: Theodosii Spassov, Hamid Saeidi, Mamak Khadem, Jean Pierre Smadja & Mehdi Haddab
Bengkel 'Let Me Rast a Minute' ini dikendalikan oleh Mamak Khadem (Mamak Khadem & Hamid Saeidi), The Shin (Theodosii Spassov) dan kumpulan Duoud (Jean Pierre Smadja & Mehdi Haddab).  

Bergambar bersama Mamak Khadem & Hamid Saeidi
Berakhir sahaja bengkel, saya tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenangan dengan dua pemuzik dari Iran ini iaitu Mamak Khadem dan Hamid Saeidi.




Sunday, 10 July 2011

Bazar ‘Green Crafts’ RWMF 2011

Gerai kraf Fakulti Seni dan Rekaan UiTM
Masih lagi mengenai kunjungan kami di Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia atau popular dikenali sebagai Rainforest World Muzik Festival (RWMF) pada 8 Julai lepas.  Maklumlah, 7 jam berada di sana jadi terlalu banyak pengalaman untuk dikongsikan antaranya bazar kraf yang disertai oleh beberapa institut pengajian tinggi awam dan swasta.

Bergambar di hadapan gerai kraf UiTM
Memandangkan tema Bazar Kraf RWMF 2011 ialah ‘Green Crafts’, jadi kebanyakan produk  yang dipamerkan menampilkan seni kraf yang diperbuat daripada bahan semula jadi dan bahan kitar semula yang mempunyai nilai dan promosi tinggi.

Permainan menyumpit di gerai UiTM
Kami dua si gaman merupakan produk UiTM, jadi gerai kraf UiTM antara yang wajib dikunjungi.  Selain itu, antara yang turut menarik perhatian kami ialah gerai pameran oleh Fakulti Seni & Rekaan UNIMAS.

Rak gelas yang diperbuat daripada kayu terpakai yang direka sendiri oleh pensyarah fakulti, Louis Ringah (kiri)

Diperbuat daripada besi buruk menjadi sebuah ... mungkin robot :)




Saturday, 9 July 2011

Alunan Muzik Air Memukau Pengunjung RWMF 2011

Gambar kenangan bersama Leweton's Women Water Music
Pernah terdengar mengenai alunan rentak muzik yang dihasilkan menerusi kocakan air?  Itu antara  persembahan paling unik dan menarik yang disajikan kepada para pengunjung di Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2011.  Hebat dan mengkagumkan!

Mereka menjadi tumpuan pengunjung dan media dari dalam dan luar negara
Persembahan muzik air oleh Leweton's Women yang berlangsung selama kira-kira 20 minit di tasik Kampung Budaya berjaya membuatkan setiap yang berada di tepian tasik terpegun.  Sama seperti kami dua si gaman, kebanyakan pengunjung memanfaatkan setiap ruang dan peluang yang ada untuk merakam momen unik ini.

Mula masuk ke dalam air untuk memulakan persembahan
Daripada maklumat yang kami google, mereka ini dikatakan berasal dari kepulauan Vanuatu yang terkenal dengan tradisi yang sangat unik dan jarang dilihat iaitu dipanggil muzik air.

Berdiri dalam air separas pinggang
Berpakaian dalam pakaian tradisional bunga dan daun, mereka masuk ke dalam air setinggi pinggang  dan berdiri dalam barisan dan mula bermain dengan kocakan air. 

Semua tumpuan terarah kepada mereka pada petang tersebut
Air yang dipukul menggunakan tangan dalam tarian berirama badan dan gelombang menghasilkan bunyi yang unik dan hidup.  Jika kebanyakan artis jemputan di RWMF ini membawa dan memiliki alat muzik masing-masing, kumpulan Leweton's Women ini pula hanya menjadikan air sebagai alat muzik mereka.

Setiap kocakan dan gelombang air mengeluarkan bunyi-bunyian yang unik
Gerakan tangan mereka memainkan irama muzik air seumpama seperti melakukan aktiviti membasuh dan mandi.  Bezanya, setiap pukulan, kocakan dan tepukan pada air menghasilkan alunan bunyi yang unik dan bergema dengan bantuan alat pembesar suara.

Alunan muzik air mengiring lagu mereka
Leweton's Women dijadualkan mengadakan persembahan muzik air mereka sepanjang RWMF berlangsung iaitu dari 8 hingga 10 Julai pada jam 3.50 petang hingga 4.10 petang.  Di bawah ini kami kongsikan rakaman video singkat persembahan mereka pada hari pertama RWMF, 8 Julai.  Kualiti kurang memuaskan, maklumlah rakaman dibuat menggunakan kamera digital.

Video Muzik Air Leweton's Women






Friday, 8 July 2011

MyGamanBorneo @ Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia

Gambar Wajib !
Hari ini kami dua si gaman menghabiskan masa kira-kira 7 jam di Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia atau lebih dikenali sebagai Rainforest World Music Festival (RWMF) 2011 dengan tiket percuma yang dimenangi menerusi peraduan RWFM di akhbar Borneo Post.  Tiket percuma bah, siapa yang tidak happy kan ... kan :)

Semua pengunjung yang masuk akan dipasangkan tag pada tangan
Kalau sesiapa yang masih blur blur pasal RWMF, festival ini sebenarnya merupakan acara tahunan yang diadakan di Kampung Budaya Sarawak, Santubong kira 45 kilometer dari bandaraya Kuching.  Untuk rekod, acara ini merupakan salah satu acara yang dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan Malaysia.

Kaunter Informasi: Wajib dikunjungi untuk mendapatkan maklumat
Antara yang menarik pada festival ini dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) ini seperti bengkel muzik dan beberapa konsert kecil pada sebelah siangnya (10.00 pagi hingga 5.30 petang), sementara pada malamnya pula berlangsung konsert (7.30 petang hingga 12.00 tengah malam).

Peta lokasi Kampung Budaya
Kami dua si gaman bagaimanapun hanya meluangkan masa pada sebelah siang sahaja.  Sebenarnya, acara pada sebelah siang lebih menyeronokkan kerana kami bukan sahaja berpeluang bergambar tetapi juga berpeluang berbual dengan beberapa artis tempatan dan artis jemputan luar negara yang mengadakan persembahan pada festival ini.  Apa lagi memang keluarlah English patah mematah kami dua si gaman.  Jadi, nantikan pengalaman dan gambar-gambar menarik pada RWMF 2011 yang bakal kami kongsikan pada post yang akan datang.

Aturcara RWMF 2011 pada sebelah malam
Untuk rekod, sumber yang diperolehi daripada Bernama menjelaskan bahawa RWMF telah diundi dua tahun berturut-turut sebagai salah satu daripada 25 festival antarabangsa terbaik oleh majalah muzik terkemuka dunia Songlines yang turut meletakkan Sarawak dalam peta pelancongan dunia.




Thursday, 7 July 2011

2 Tiket Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2011

2 Tiket untuk RWMF 2011
Pada post sebelum ini, saya ada bercerita bahawa kami cuma berjaya memenangi satu tiket percuma menerusi kuiz RWMF 2011 menerusi akhbar Borneo Post.  Kini, Yesss!!! ada 2 tiket untuk RWMF 2011 untuk 8 Julai.  Jadi, esok kami dua si gaman berpeluang ke Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2011 buat pertama kalinya.  Acara tahunan RWMF ini akan berlangsung dari 8 hingga 10 Julai di Kampung Budaya Sarawak di Santubong, dekat sini.  Acara ini merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh STB Leisure & Properties, anak syarikat Lembaga Pelancongan Sarawak (STB).

Difahamkan, sejumlah 22 kumpulan dan artis dari luar negara akan mengambil bahagian dalam festival itu, antara kumpulan yang akan membuat persembahan ialah Startijenn (Perancis), Pacific Curls (New Zealand), Mamak Khadem (Iran), The Blue Canyon Boys (USA), Lisa Haley & The Zydekats (USA), The Shin (Georgia), Iskwew (Kanada), Frigg (Finland), Malick Pathe Sow (Senegal), Agungbeat (Malaysia), Masters of the Sape (Malaysia), Victor Valdez Trio (Mexico/Australia), Ilgi (Latvia), Leweton Women's Water Music (Vanuatu), Kamerunga (Australia), Kissmet (India/UK), Paddy Keenan Trio (Ireland), DuOud (Tunisia/Algeria), Joaquin Diaz (Republik Dominika), Kamafei (Itali), Kenge Kenge (Kenya) dan kumpulan Warsaw Village (Poland).