| MyGamanBorneo: Eksplorasi Pena & Lensa | Alternatif Gaya Penulisan Bebas Tanpa Batasan |

Wednesday, 13 July 2011

Terapi Muzik Sape Tuyang Tan Ngan

Pemain Sape Solo, Tuyang Tan Ngan, berketurunan Cina Sarawak
Berbekalkan tiket percuma yang dimenangi menerusi kuiz peraduan RWMF 2011 Borneo Post, kami dua si gaman cuba memanfaatkan kesempatan yang ada sepenuhnya pada hari pertama Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) Edisi ke-14, 8 Julai lepas.  Antara yang menarik tumpuan kami ialah kelunakan petikan muzik sape yang dimainkan oleh  Tuyang Tan Ngan di sebuah pentas kecil bersebelahan Rumah Etnik Melanau di Kampung Budaya, Santubong ini.

Tuyang bersama CD album Sape beliau
Lebih menyenangkan lagi, pemain sape solo berketurunan Cina Sarawak  yang juga merupakan seorang guru yoga ini tidak lokek berkongsi cerita mengenai muzik sape yang dimainkannya.  Jika pada suatu ketika dahulu sape dimainkan pada upacara penyembuhan kini muzik ini juga sesuai dijadikan sebagai terapi untuk yoga.   Bagi mereka yang ingin memiliki CD muzik sape atau menjemput Tan membuat persembahan sape, boleh hubungi beliau di nombor 016-8904710.

Bersama pemain sape yang terkenal, Mathew Ngau Jau
Pada hari yang sama, kami juga terserempak dengan dua pemain sape terkenal iaitu Mathew Ngau Jau dan Jerry Kamit.  Mathew Ngau yang dikenali sebagai 'Sape Master' di peringkat antarabangsa merupakan antara artis jemputan RWMF.  Beliau turut terlibat dalam bengkel bertemakan 'Are My Roots Showing' di dewan lagenda pada sebelah petang bersama beberapa artis jemputan dari luar negara.

Bersama pemain sape yang terkenal, Jerry Kamit
Sementara itu, kami juga bertuah kerana terserempak dengan pemain sape solo, Jerry Kamit yang juga anggota kumpulan Tuku Kame.  Mereka ini seringkali meraih anugerah muzik di peringkat antarabangsa. 

Alang-alang bercerita mengenai sape, lebih baik saya kongsikan maklumat menarik mengenai alat  muzik ini.  Mungkin ada lagi yang masih kabur-kabur mengenai alat muzik tradisional bertali menyerupai gitar ini.  Ia dihasilkan daripada kayu jelutong dan keruing kerana ketahanan dan bunyinya yang nyaring.  Alat muzik sape sesuai dimainkan secara solo atau berduet untuk menghasilkan kombinasi irama muzik yang lebih indah dan harmoni.

Menurut sumber daripada Utusan Online, Muzik ini dikatakan dipelajari oleh seorang lelaki kaum Kenyah, Anyie Selong yang mendiami Apo Kayan, Hulu Baram ratusan tahun lampau.  Pada suatu hari dia bermimpi melihat seseorang sedang bermain muzik sape yang kedengaran begitu merdu dan indah.

Dalam mimpinya, orang itu menasihatkan Anyie supaya membuat dan bermain muzik sape dengan menambah bunyi dan kemerduan muziknya.  Setelah sedar dari tidur, Anyie melakukan apa yang telah dipesan, maka bermulalah seni persembahan dan penggunaan muzik sape dalam kehidupan Orang Ulu sejak itu.

p/s:  Kami dua si gaman tidak balik dengan tangan kosong daripada RWMF 2011.  Banyak perkara yang kami lihat dengar dan pelajari di sepanjang festival muzik ini.  Nantikan siri seterusnya pada blog post akan datang.




0 comments: