| MyGamanBorneo: Eksplorasi Pena & Lensa | Alternatif Gaya Penulisan Bebas Tanpa Batasan |

Saturday 28 January 2012

Pakej Percutian Mencabar Kampung Semban

Dari kiri:  Deckson, Uncle Awang, Sagen Adan & saya
TAHUN 2011 sudah berlalu dan telah meninggalkan banyak kenangan manis yang kebanyakannya telah saya kongsikan di blog.  Bagaimanapun, salah satu kenangan manis pada tahun 2011 yang mungkin saya tidak akan lupakan sampai bila-bila ialah pengalaman menjejakkan kaki ke Kampung Semban, sebuah perkampungan terpencil yang dihuni oleh etnik Embhan (salah satu etnik dalam pecahan masyarakat Bidayuh).  Saya juga percaya pengalaman mencabar tersebut masih segar dalam ingatan Uncle Awang

Trip empat hari tiga malam ke Kampung Semban, Padawan pada 22 hingga 25 Mac tahun lepas itu ditaja oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan mendapat kerjasama daripada Sarawak Bloggers selaku media online.  Trip yang bertujuan untuk mempromosikan Kampung Semban sebagai satu destinasi pelancongan kepada mereka yang sukakan percutian mencabar itu diketuai oleh Deckson Bundak (STB Tourist Coordinator) dan disertai oleh saya dan Uncle Awang, mewakili Sarawak Bloggers.

Kami dimaklumkan, perjalanan ke Kampung Semban yang lokasinya terletak berhampiran sempadan Sarawak/Kalimantan, Indonesia ini akan mengambil masa kira-kira enam jam berjalan kaki.  Jadi, untuk mengukur kemampuan anda mengharungi cabaran yang serupa, apa kata ikuti sehingga tamat kisah penuh cabaran yang kami bertiga lalui sepanjang berada di perkampungan terpencil ini.

Untuk sampai ke destinasi, kami terlebih dahulu perlu melalui prosedur pemeriksaan di pos kawalan empangan Bengoh sebelum dibenarkan masuk.  Kawasan ini merupakan satu-satunya jalan utama yang menghubungkan empat buah kampung di sini iaitu Kampung Sait, Kampung Bojong, Kampung Rejoi dan Kampung Semban.

Di kawasan ini juga terdapat sebuah kedai runcit yang menjadi tumpuan penduduk mendapatkan bekalan harian. Kehadiran kami di situ disambut mesra oleh Sagen Adan, 52.  Sagen merupakan salah seorang daripada lima pengusaha pelancongan di Kampung Semban.  Beliau telah mula serius mengusahakan aktiviti pelancongan yang hampir menyamai konsep inap desa ini sejak tahun 1998 lagi.

Deckson cuba merasai beban yang dipikul oleh Rosip Ayau
Sementara menanti untuk memulakan ekspedisi, saya mengambil kesempatan untuk berbual-bual dengan salah seorang penduduk tempatan yang bekerja mengambil upah sebagai 'porter'.  Rosip Ayau, 37, mengambil upah mengangkat tong gas dua kali seminggu untuk kegunaan Sekolah Kebangsaan (SK) Semban.  Menurut Rosip, dia akan dibayar sebanyak RM40.00 oleh pihak sekolah untuk satu trip.

Penduduk kampung pulang membawa bekalan barang keperluan harian
Kami diberitahu bahawa rutin mengangkat beban seberat 10 hingga 30 kilogram dan berjalan kaki berjam-jam lamanya merentasi hutan, mengharungi denai di lereng-lereng bukit yang curam serta meniti jambatan buluh sudah menjadi perkara biasa bagi penduduk di sini.  Malah, golongan wanitanya juga berupaya mengangkat beban yang beratnya melebihi 10 kilogram.

Difahamkan juga, perjalanan ke kampung terdekat iaitu Kampung Sait memakan masa selama satu jam berjalan kaki, manakala Kampung Bojong satu setengah jam dan Kampung Rejoi pula akan mengambil masa lebih dua jam.  Sementara Kampung Semban yang menjadi destinasi utama kami memerlukan masa empat jam.  Itu merupakan rekod masa bagi penduduk tempatan, bagi orang luar seperti kami sudah pasti mengambil masa yang lebih lama bergantung kepada kekuatan mental dan fizikal masing-masing.


Hari pertama:  Ekspedisi Bermula 

Memulakan perjalanan menuju ke Kampung Semban - Gambar oleh Uncle Awang
Kami kemudiannya memulakan ekspedisi pada kira-kira jam 11.00 pagi dengan menuruni lereng bukit yang sedikit curam.  Pada saya ini menganggap satu permulaan yang nampak mudah, tetapi jangkaan saya meleset kerana hanya dalam beberapa minit kemudian kami terpaksa mendaki lereng-lereng bukit yang sempit dan curam.  Tekanan rasa sakit pada otot-otot kaki pada ketika itu semakin terasa dan beg yang disandang di bahu juga terasa semakin berat dan sangat membebankan.  Dalam tempoh setengah jam pertama sahaja saya terpaksa berhenti beberapa kali untuk berehat untuk memulihkan tenaga.

Jambatan buluh gantung yang panjangnya dianggarkan 100 meter
Cabaran tidak terhenti di situ, kami seterusnya terpaksa berhadapan dengan dua jambatan buluh gantung yang masing-masing panjangnya dianggarkan antara 80 hingga 100 meter dan ketinggian dua jambatan itu dari permukaan air sungai pula dianggarkan kira-kira 20 meter.  Menurut Sagen, jambatan tersebut selamat dilalui oleh dua hingga tiga orang dewasa.

Perasaan lega setelah berjaya menyeberangi jambatan - Gambar oleh Deckson
Pertama kali merasai pengalaman meniti jambatan buluh gantung yang panjang dan tinggi antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan.  Ternyata, meniti jambatan buluh gantung bukanlah mudah, orang baru seperti kami perlu menyusun langkah perlahan dan berhati-hati.  Perasaan gayat juga membuatkan lutut ada kalanya terasa seperti jeli terutamanya ketika berada di tengah-tengah jambatan.  Pengalaman meniti dua jambatan buluh tersebut bagaimanapun telah menjadikan kami semakin mahir meniti setiap jambatan buluh yang ditemui di sepanjang jalan menuju ke Kampung Semban.

Hampir sejam berjalan termasuk masa rehat, kami kemudiannya tiba di simpang jalan masuk ke Kampung Sait.  Perjalanan diteruskan dan kali ini kami lebih banyak mendaki lereng bukit yang ditarah menjadi anak tangga beralaskan belahan-belahan buluh.  Sama seperti di awal perjalanan tadi, saya terpaksa berhenti beberapa kali untuk memulihkan tenaga.  Walaupun agak keletihan tetapi untuk patah semangat masih belum terlintas difikiran pada waktu itu.   Ada satu ketika, Uncle Sagen menawarkan diri untuk membantu membawa beg saya berikutan pergerakan saya yang semakin perlahan akibat keletihan.

Pada kira-kira jam 2.30 petang kami tiba di Kampung Bojong dan di situ kami mengambil kesempatan untuk berehat sambil menikmati minuman sejuk berkarbonat yang dibeli dari kedai runcit milik penduduk sebelum bergerak semula.  Kami diberitahu, perjalanan yang perlu diharungi masih bersisa tiga jam lagi untuk tiba ke destinasi yang dituju.

Selepas Kampung Bojong, keupayaan mental dan fizikal kami terus diuji dengan perjalanan yang kebanyakannya memerlukan kami terus menerus mendaki dan mendaki.  Ada ketikanya saya merasakan kami terpaksa mendaki setinggi 100 meter pada kecuraman 70 darjah sebelum sampai ke permukaan yang rata.  Bagi mengurangkan tekanan, saya memfokuskan mata ke bawah.

Seperti biasa Uncle Sagen jauh mendahului kami dan akan menanti kami di perhentian tertentu.  Malah ada beberapa kali kami berjaya dipintas oleh penduduk kampung walaupun kami telah berjam-jam lamanya berjalan mendahului mereka.

Perasaan lega seketika apabila akhirnya berjaya juga sampai ke pondok rehat yang dipanggil 'kunt ilau' pada kira-kira jam 3.10 petang.  Di situ juga kami bertemu kembali dengan penduduk Kampung Semban yang memintas perjalanan kami.  Salah seorang daripada mereka merupakan wanita sedang sarat mengandung tujuh bulan yang balik dari mendapatkan pemeriksaan susulan di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Bengoh.

40 minit masa rehat yang ada kami manfaatkan sepenuhnya untuk memulihkan semula tenaga sambil meregangkan otot-otot kaki yang sengal.  Sambil menghirup udara segar dan menjamu mata dengan panorama indah di depan mata, kesempatan yang ada juga kami gunakan untuk beramah-mesra dengan penduduk kampung yang turut berehat di situ.

Jam 3.52 petang, kami bergerak semula.  Kali ini hujan yang turut semakin menyukarkan pergerakan kami.  Perjalanan ketika itu terasa seperti tiada penghujungnya sehinggalah kami melihat bumbung gereja Kampung Semban yang terselindung di sebalik anak tangga yang tinggi. Kami tiba di rumah Uncle Sagen tepat jam 5.46 petang dan kehadiran kami disambut mesra oleh isteri beliau, Kipin Rawon dengan hidangan pembuka selera iaitu bubur ubi dan kopi panas.

Berjaya sampai dengan selamat selepas enam jam berjalan kaki meredah hutan, mengharungi denai, mendaki dan menuruni lereng-lereng bukit curam merupakan satu rekod yang sangat membanggakan pada saya.  Sementara Deckson dan Uncle Awang mungkin dapat melakukannya dalam tempoh lebih singkat tanpa saya.



Hari kedua;  Meneroka Keindahan Air terjun Susukng & Pent

Rasa lenguh-lenguh pada otot kaki akibat berjalan jauh pada hari pertama tidak menjadi penghalang untuk kami meneruskan ekspedisi pada hari kedua.  Tepat jam 9.00 pagi, kami mula bergerak untuk melihat keindahan air terjun susukng dan pent.  Kami diberitahu bahawa perjalanan dari rumah tempat kami menginap ke salah satu lokasi air terjun tersebut akan mengambil masa 45 minit berjalan kaki.  Perjalanan kami bagaimanapun mengambil masa lebih lama kerana sesekali kami perlu berhenti untuk merakamkan gambar dan mengambil nota ringkas setiap benda yang menarik perhatian.

Air terjun Susukng
Setelah beberapa lama berjalan, kami akhirnya sampai ke lokasi air terjun susukng iaitu air terjun tertinggi yang di kampung ini.  Semasa berada di situ, kami diingatkan supaya berhati-hati ketika melangkah pada batu-batu besar yang diselaputi lumut hijau.  Di kawasan ini tiada juga tempat yang sesuai untuk dijadikan tempat berkelah berikutan keseluruhan kawasan ini hanya dipenuhi dengan longokan batu-batuan besar yang diselaputi lumut licin.

Kawasan air terjun susukng yang hanya mesra pada lensa kamera
Selain itu, para pengunjung juga dilarang untuk pergi terlalu hampir dengan air terjun atas faktor keselamatan.  Jadi, kami cuma meluangkan masa selama beberapa minit sahaja di kawasan ini untuk menikmati sepenuhnya keindahan air terjun susukng yang tersergam indah dan megah.

Air terjun pent
Selepas itu, kami seterusnya bergerak menuju ke destinasi air terjun kedua iaitu air terjun pent.  Perjalanan  ke air terjun pent sedikit agak sukar kerana kami perlu menuruni cerun bukit berbatu yang sangat curam dan licin.  Bagaimanapun, segala kesukaran itu berbaloi apabila setengah jam kemudian kami disambut dengan panorama yang sangat indah di air terjun pent. 

Sesuai untuk berkelah
Air terjun pent dikatakan air terjun yang paling cantik di antara 13 buah air terjun yang terdapat di kampung ini.  Kami menghabiskan masa kira-kira dua jam berkelah sambil mengambil seberapa banyak gambar sebelum bergerak pulang sekitar jam 1.00 petang dan sampai di rumah Uncle Sagen pada jam 2.30 petang. 



Hari ketiga:  Matahari Terbit Di Puncak Gunung Kapang

6.37 pagi
Masuk hari ketiga.  Kira-kira tujuh jam lena tanpa diulit mimpi dan sesekali dikejutkan oleh rasa sengal pada otot kaki, akhirnya tiba hari di mana kami harus berdepan dengan satu lagi cabaran iaitu mendaki puncak Gunung Kapang pada ketinggian melebihi 1000 meter dari paras laut.

6.42 pagi
Untuk menyaksikan suasana matahari terbit di lokasi paling tinggi di Gunung Kapang, kami terpaksa bangun seawal jam 5.00 pagi untuk bersiap dan cukup sekadar membasuh muka ala-ala cerita P.Ramlee sebelum bertolak dari rumah  sekitar jam 5.30 pagi.

7.39 pagi
Menurut Uncle Sagen, bermula dari rumah beliau, kami akan melakukan sebanyak 1750 langkah untuk tiba di puncak gunung tersebut.  Jelasnya, pendakian yang akan menyebabkan anda bermandi peluh ini cuma mengambil masa 15 hingga 20 minit sahaja bagi penduduk tempatan.  Saya pula mencatatkan rekod kira-kira 40 minit untuk sampai ke atas.  

7.40 pagi
Berada di puncak dan merasai sendiri pengalaman melihat matahari terbit perlahan-lahan di sebalik lapisan awan, sukar digambarkan dengan kata-kata.  Ianya lebih cantik daripada apa yang dapat dilihat pada gambar.  Tidak hairanlah kenapa Kampung Semban mendapat gelaran "Perkampungan di atas awan".  Kami meluangkan masa kira-kira sejam di atas sana.


 Mendekati Kehidupan Penduduk

Suasana di Kampung Semban
Sebelah petang pada hari kedua dan ketiga kami di Kampung Semban dipenuhi dengan aktiviti yang cukup padat antaranya, kami dibawa bersiar-siar di sekitar kampung sambil mendekati kehidupan harian penduduk di sini yang majoritinya menyara hidup dengan bertani.  Sementara golongan belianya yang mempunyai pendidikan lebih gemar mencari pekerjaan di bandar dan hanya akan balik sekali sekala terutamanya pada musim perayaan seperti gawai dan krismas.

Masih memasak di atas dapur kayu
Semua yang ada di sini juga cukup asas dan rata-rata penduduk di sini masih mengekalkan tradisi memasak di atas dapur kayu walaupun mereka mempunyai dapur gas.  Dapur gas biasanya hanya akan digunakan pada masa-masa tertentu berikutan kesukaran untuk mendapatkan bekalan atas faktor jarak.

Deckson memerhatikan Asan Dayen memainkan hletong
Selain menyara kehidupan dengan bertani dan mengusahakan aktiviti pelancongan sebagai punca pendapatan sampingan, penduduk di sini juga menggunakan kemahiran mereka membuat peralatan tradisional untuk menjana pendapatan tambahan.  Asan Dayeng, 59, merupakan salah seorang yang pakar membuat 'hletong' iaitu salah satu alat muzik tradisional masyarakat Bidayuh.  Alat muzik yang diperbuat daripada buluh ini dijual pada harga RM35.00 sebuah.  Menurut Asan, dalam sehari dia boleh menyiapkan lapan buah hletong dan pernah menerima tempahan sebanyak 67 hletong sekaligus.

Pemakaian 'luyakng' dan 'lasukng' tidak membataskan pergerakan
Lebih menarik lagi sepanjang kami berada diperkampungan terpencil ini ialah menyaksikan bagaimana wanita-wanita warga emas yang memakai aksesori gelang tembaga yang dipanggil sebagai 'luyakng' dan 'lasukng' menjalankan aktiviti harian mereka.  Lingkaran tembaga yang memenuhi lengan dan betis mereka langsung tidak membataskan pergerakan mereka untuk pergi berkebun.

Tembakau diproses secara tradisional
Pada hari tersebut, kami agak bernasib baik kerana berpeluang melihat sendiri bagaimana tembakau diperoses secara tradisional.  Lebih mengujakan lagi apabila kerja memproses tembakau ini dilakukan sendiri oleh salah seorang daripada tujuh wanita yang digelar "The golden ring lady".  Kami diberitahu, tembakau yang telah siap diproses hanya digunakan untuk keperluan sendiri.

Pokok tapang dikenali juga sebagai pokok tualang atau menggaris
Tidak ketinggalan, kami juga dibawa melihat pokok Tapang yang tingginya dianggarkan lebih 100 meter dan besarnya dianggarkan sebesar enam pemeluk orang dewasa.  Walaupun ada kajian terperinci mengenai usia sebenar pokok tapang ini, tetapi kami dimaklumkan bahawa pokok ini telah wujud sejak beratus tahun yang lalu.


Pewaris ‘Luyakng’ dan ‘Lasukng’ Terakhir

Empat daripada tujuh wanita warga emas yang digelar 'Golden Ring Lady'
Hanya terdapat di Kampung Semban! Itulah yang dapat saya katakan mengenai keunikan definisi kecantikan wanita etnik embhan suatu ketika dahulu yang masih diwarisi oleh tujuh wanita warga emas di sini.  Keunikan ini jugalah yang yang menyebabkan kampung terpencil ini dikunjungi oleh pelancong dari dalam dan luar negara.

Keunikan yang hanya terdapat di Kampung Semban
Lebih dikenali sebagai "The Golden Ring Lady", wanita-wanita berusia di antara 60 hingga 80 tahun ini merupakan lima daripada tujuh wanita yang masih mempertahankan tradisi memakai aksesori gelang tembaga yang dinamakan 'luyakng' (gelang tembaga di tangan) dan 'lasukng' (gelang tembaga di kaki).

Luyakng dan lasukng: Lambang status etnik embhan
Difahamkan juga, aksesori gelang tembaga yang kemas melingkari lengan dan betis si pemakai ini suatu ketika dahulu pernah menjadi lambang kemegahan dan kecantikan wanita etnik embhan.  Hari ini, hanya Tawud Luhan seorang sahaja masih mewarisi kepakaran dalam membuat termasuk memakaikan dan menanggalkan 'luyakng' dan 'lasukng'.

Lelaki yang memperisterikan mereka suatu ketika dahulu dianggap bertuah
Selain itu, kami juga diberitahu bahawa pemakaian aksesori ini juga melambangkan status seseorang wanita itu dan mana-mana lelaki yang memperisterikan mereka dikatakan sangat bertuah.  Ini kerana suatu ketika dahulu tidak semua gadis mampu memiliki 'luyakng' dan 'lasukng' berikutan harga tembaga yang mahal.  Ibu bapa yang mampu memakaikan anak gadis mereka aksesori ini dikatakan sebagai golongan berada dan berstatus.  Kini tradisi ini tidak lagi diteruskan.



Hari keempat:  Selamat Tinggal Kampung Semban

Selamat tinggal Kampung Semban
Hari terakhir di kampung yang diberi jolokan 'Perkampungan di atas awan ini' merupakan hari yang paling sukar kerana mengucapkan selamat tinggal bukanlah sesuatu yang saya gemari.  Tepat jam 9.00 pagi kami mula bergerak meninggalkan Kampung Semban.   Berbeza dari ketika mula-mula datang dahulu, perjalanan pulang dari Kampung Semban ke empangan Bengoh mengambil masa yang lebih singkat iaitu tiga hingga empat jam berjalan kaki.  Saya bagaimanapun mengambil masa empat jam setengah untuk sampai ke empangan Bengoh.

Berehat di kunt ilau (pondok rehat) sebelum meneruskan perjalanan
Letih tetapi sangat menyeronokkan, itulah yang dapat saya gambarkan mengenai trip kami ke Kampung Semban.  Jadi, bagi anda yang gemarkan cabaran, apa kata masukkan Kampung Semban dalam kalendar percutian anda pada tahun 2012 ini kerana pakej pelancongan empat hari tiga malam di kampung ini pasti tidak akan mengecewakan anda.  Untuk maklumat lanjut berhubung pakej pelancongan Kampung Semban, bolehlah menghubungi Sagen Adan (014-8808123) atau  Deckson Bundak di nombor 082-410944.