| MyGamanBorneo: Eksplorasi Pena & Lensa | Alternatif Gaya Penulisan Bebas Tanpa Batasan |

Tuesday 1 February 2011

Panduan pelaburan

Sahkan status syarikat sebelum melabur


Bank Negara (BNM) meminta orang awam mengesahkan status sesebuah syarikat sebelum melabur supaya mereka tidak menjadi mangsa kepada syarikat-syarikat palsu seperti skim cepat kaya yang menyamar sebagai syarikat pelaburan.

Bank pusat dalam senarai panduan mengenai isu-isu kewangan bagi orang awam dan pengguna hari ini, berkata sebelum melabur, seseorang perlu memastikan syarikat tersebut mempunyai lesen sah daripada pihak berkuasa seperti BNM, Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

BNM berkata orang awam perlu berhati-hati dengan sebarang bentuk strategi pemasaran yang menjanjikan pulangan tinggi atau keuntungan tanpa risiko.

"Pulangan tinggi datang bersama risiko tinggi. Pastikan anda mengumpulkan maklumat tambahan mengenai syarikat tersebut," katanya.

Bagi mengesahkan status syarikat-syarikat, orang awam boleh menghubungi BNM di talian 1-300-88-5465, SC (03-62048999/03-62048777) dan KPDNKK (1-800-886-800).

Mengenai perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) atau panggilan gurauan, terutama yang menjanjikan ganjaran tunai besar dengan syarat pemenang perlu membalas SMS itu atau menghubungi balik panggilan, orang awam perlu mengesahkan terlebih dahulu dengan memeriksa dengan BNM dan berhati-hati dengan panggilan sedemikian.

BNM juga memberi amaran kepada orang awam mengenai hadiah dan ganjaran daripada pihak yang tidak diketahui dengan membuka akaun perbankan Internet.

"Ini mungkin satu penipuan. Jika anda telahpun terlibat, hubungi dan buat laporan kepada bank anda dan pihak polis dengan segera untuk tindakan lanjut mereka. Juga sentiasa maklumkan kepada kami," katanya.

Bagi perbankan Internet, pengguna dinasihatkan untuk mengelog keluar dengan betul selepas menggunakan perbankan Internet dan membuang cache memori selepas menyelesaikan urus niaga. - Sumber:  BERNAMA



0 comments: