| MyGamanBorneo: Eksplorasi Pena & Lensa | Alternatif Gaya Penulisan Bebas Tanpa Batasan |

Showing posts with label MyOnlineDiary. Show all posts
Showing posts with label MyOnlineDiary. Show all posts

Thursday, 12 August 2010

Bermula Dari Kegagalan

Google Pix
JIKA pada May 2009, saya bermula dengan sebuah blog yang menggunakan domain berbayar www.home-niaga.com.  Blog tersebut pernah menggunakan  "MyHomeNiaga" sebagai blog title.  Blog www.home-niaga.com pada mulanya cuba mengetengahkan topik berkaitan Rancangan Perniagaan.  Bagaimanapun, ketandusan idea berikutan kurangnya kemahiran dan pengetahuan  dalam bidang tersebut telah menyebabkan blog tersebut terbengkalai hampir setahun sehinggalah pada penghunjung 2009, saya  mengambil keputusan untuk memulakan sebuah perniagaan secara online.

Pada masa itu, tercetus idea untuk membuka sebuah butik online yang menawarkan himpunan koleksi pakaian dan aksesori wanita dengan menggunakan nama MyHomeNiaga Online Boutique.  Bagaimanapun, hasil jualan tidaklah seberapa, sekadar cukup untuk menampung bil internet dalam tempoh kira-kira tiga bulan.  Kesukaran untuk mendapatkan bekalan menyebabkan sekali lagi blog tersebut terkandas lagi di tengah jalan.

Kemudian saya kembali dengan semangat baru untuk meneruskan usaha  yang terhenti di pertengahan jalan.  Ketika itu, saya memilih blog yang berkonsepkan penulisan gaya bebas dengan menggunakan nama Dunia Penulisan HomeNiaga.  Tetapi, yang saya pernah katakan, minat dan pengalaman sebagai penulis sebenarnya tidak menjamin untuk seseorang itu menjadi blogger yang berjaya.  Buat kali  yang ketiga, blog tersebut sekali lagi gagal menepati tema dan konsep yang dipilih.

#Pada hari ini, saya mengambil keputusan untuk membiarkan blog tersebut terbengkalai dan  cuba menukar perhatian kepada blog yang menggunakan domain percuma,  http://myhomeniaga.blogspot.com ini.  Kali ini, bermula dari kegagalan, saya ingin melihat sejauh mana blog ini boleh bertahan.




Antara Dilema Seorang Blogger

Google Pix
ENTAH untuk kali ke berapa sudah blog ini bertukar tema dan konsep.  Walaupun sudah bertapak di ruangan maya sejak May 2009, blog ini masih belum menemui tema yang sesuai.  Rupa-rupanya bukan mudah untuk menjadi seorang blogger dan minat serta sedikit kemahiran dalam penulisan bukanlah jaminan untuk menjadi seorang blogger yang baik.  Inilah dilema yang sering melanda seorang blogger.

Saya yakin bahawa terdapat ramai lagi blogger di luar sana yang pernah atau sedang berhadapan dengan situasi seperti ini.  Pemilihan tema dan konsep yang tepat merupakan faktor yang perlu diberi perhatian serius oleh setiap blogger.  Ini kerana, selagi tema yang dipilih tidak serasi dengan jiwa, selagi itulah proses kemas kini di blog akan terbantut.  Selain itu, keserasian jiwa si blogger dengan tema yang yang dipilih akan menjadi pencetus kepada idea-idea kemas kini blog secara berterusan.

Mungkin ramai lagi yang menyimpan cita-cita ingin menjadi seorang blogger berjaya, tetapi sehingga kini masih dibelenggu dengan pelbagai persoalan tentang apa agaknya tema dan konsep yang sesuai dengan jiwa? dan apa agaknya kemahiran, kebolehan atau pengetahuan yang boleh dikongsikan dengan berjuta-juta pengguna internet yang berpotensi menjadi pengunjung blog anda?

#Sedang dalam dilema, apa agaknya tema/konsep yang serasi dengan jiwa supaya blog ini tidak menjadi projek 'gajah putih' seperti sebelum ini.