| MyGamanBorneo: Eksplorasi Pena & Lensa | Alternatif Gaya Penulisan Bebas Tanpa Batasan |

Monday, 27 September 2010

Trip keluarga ke Taman Hidupan Liar Lok Kawi



17 September lepas saya dan si gaman berpeluang sekali lagi berkunjung ke Taman Hidupan Liar Lok Kawi yang terletak kira-kira 25 kilometer dari Kota Kinabalu.  Trip ke sini sebenarnya tidak dirancang tapi berikutan jadual penerbangan kami dua si gaman balik ke Kuching pada hari tersebut agak lewat iaitu pada jam 5.45 petang jadi adik ku “Si Pengantin Baru” mencadangkan kami beramai-ramai untuk menghabiskan masa di Taman Hidupan Liar Lok Kawi.

Kali pertama kami si gaman berkunjung ke sini iaitu pada 20 Disember 2008.  Walau pun perasaan agak kurang teruja seperti mula-mula dahulu tetapi trip sekeluarga pada hari tersebut lebih meriah ... macam taman ini kami yang punya ^_^
Untuk pengetahuan semua, tarikh taman ini mula dibuka kepada orang ramai iaitu pada 17 Februari 2007 sebenarnya sama dengan tarikh perkahwinan kami si gaman ^_^ jadi hari tersebut usia perkahwinan saya dan si gaman dan usia taman ini sudah mencecah tiga tahun tujuh bulan.  

Sedikit maklumat berguna berkaitan taman ini ... taman ini sebenarnya sebuah taman perlindungan berkonsepkan dua jenis taman iaitu zoologi dan botani.  Taman ini juga memiliki keunikan dan keistimewaan sendiri di mana taman seluas 112 hektar ini ditempatkan di kawasan hutan semula jadi iaitu tempat habitat asal kebanyakan haiwan yang terdapat di sini.

Ia dibuka setiap hari dari pukul 9.30 pagi hingga 5.30 petang dan kadar bayaran yang dikenakan ialah RM10 untuk dewasa, RM5.00 (kanak-kanak), manakala bagi pelancong asing, dewasa dikenakan RM20 dan kanak-kanak (RM10).

Di taman ini kami berpeluang melihat haiwan yang berasal dari Borneo seperti orang utan, monyet Belanda, gajah terkecil di dunia iaitu gajah Pygmy serta spesies badak yang hampir pupus - Badak Sumbu Sumatera dan sebagainya ...
Turut ditempatkan lorong pejalan kaki dan pelawat boleh melihat haiwan-haiwan tersebut secara dekat tidak seperti di zoo lain yang begitu terhad jaraknya serta zoo khusus untuk kanak-kanak, sayangnya pada hari tersebut zoo kanak-kanak ditutup dan difahamkan gajah pigmy sedang diberikan cuti selepas penat bertugas pada cuti umum sempena Hari Malaysia ^_^.

Di taman itu juga landskapnya direka dengan cara dan pendekatan tersendiri bagi memastikan pengunjung mendapat kepuasan menyaksikan spesies tupai terbesar dan terkecil di dunia; kelawar terbesar di dunia serta lebih 363 daripada 388 spesies burung dari seluruh kepulauan Borneo ... malangnya cuaca cerah petang tersebut bertukar menjadi mendung dan seterusnya hujan ... keadaan ini menghalang kami untuk menikmati sepenuhnya suasana di taman tersebut.

0 comments: