| MyGamanBorneo: Eksplorasi Pena & Lensa | Alternatif Gaya Penulisan Bebas Tanpa Batasan |

Sunday, 12 September 2010

Taman Orkid DBKU


Pintu masuk Taman Orkid
Cuti sempena sambutan Hari Raya pada 10 September lepas bersamaan dengan hari raya pertama dimanfaatkan sepenuhnya oleh kami dua si gaman.  Masa yang ada bukan setakat diisi dengan sekadar berhari raya di rumah jiran dan rakan tetapi juga turut dimanfaatkan untuk berkunjung ke Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan barisan menteri kabinet negeri yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).  Lebih menarik lagi, kami dua si gaman berpeluang berkunjung ke Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng bertempat di Astana Negeri Sarawak.


Antara orkid tanah/anggerik yang terdapat di taman ini
Kebetulan Taman Orkid Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) terletak berhampiran dengan kawasan astana, jadi kami dua si gaman mengambil keputusan untuk singgah.  Mengikut maklumat yang saya perolehi dari internet, taman ini dibina pada November 2007 telah siap sepenuhnya Mei lalu dengan menelan kos sebanyak RM8.97 juta.

Lanskap menarik
Taman Orkid DBKU ini terletak di tapak seluas lebih enam hektar di Jalan Istana, Petra Jaya dijangka menjadi daya tarikan baru kepada pelancong yang berminat dalam bidang hortikultur dan botanikal.  Taman Orkid ini juga mempamerkan secara dekat kepelbagaian jenis dan warna tanaman orkid daripada jenis hibrid dan spesies epiphytic serta terrestrial yang ditanam di kawasan terbuka dan teduhan menyerupai habitat semulajadi.

Plat perasmian
Difahamkan, keseluruhan taman ini memiliki koleksi sebanyak 40,000 tanaman orkid dan pada masa yang sama ia menyediakan pengalaman rekreasi dan pendidikan di samping menikmati keindahan persekitaran bangunan baru Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak serta Astana Negeri.  Taman Orkid DBKU ini telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 5 Mac lepas.

Bunga Orkid seperti kulit harimau bintang
Antara tarikan utama Taman Orkid berkenaan adalah Orkid Borneo yang terkenal dengan kecantikan bunganya dan berpotensi dijadikan tanaman hortikultur.  Orkid Borneo yang terdapat di taman ini adalah seperti Lady, Slipper (Paphiophyllum Stonei dan P. Lowii), Coelogyne Pandurata, Bulbophyllum Beccarii, Vanda Dearei dan Phallaenopsis Violacea.

Taman ini dibuka untuk kunjungan umum setiap hari Selasa hingga Ahad termasuk cuti umum (kalau tidak salah masa lawatan bermula dari jam 9.00 pagi - 6.00 petang) dan ditutup pada hari Isnin.  Sayangnya masa yang ada tidak mengizinkan kami dua si gaman untuk menghabiskan lebih banyak masa di taman orkid ini.

Masa yang singkat tetap kami dua si gaman manfaatkan untuk mengambil gambar sekitar taman orkitd dan gambar dua model yang tidak fotogenik ^_^ Kalau bab-bab ambil gambar bunga ni memang si gaman yang pakar.  Kepakaran saya pula mengambil gambar kami dua si gaman dengan menggunakan apa saja yang boleh menjadi tempat letak kamera ^_^ Bagaimana pun, kami bercadang untuk berkunjung semula ke sini pada Oktober nanti bersama mama dan adik saya yang akan datang ke Kuching pada 7 Oktober ini.






0 comments: