| MyGamanBorneo: Eksplorasi Pena & Lensa | Alternatif Gaya Penulisan Bebas Tanpa Batasan |

Monday, 27 June 2011

Laksa Sarawak Mangkuk Oren @ Golden Arch

@Sabtu, 25 Jun lepas saya dan si gaman cuba bertukar selera laksa untuk merasai laksa sarawak yang dikatakan sedap di Golden Arch Shopping Mall berdekatan bulatan Sungai Maong, Batu 3, Kuching.  Di bangunan yang sebenarnya bukan shopping mall ini terdapat dua buah kedai makan bersebelahan iaitu Golden Cafe & Restaurant dan Golden Arch Cafe.  Kedua-duanya juga mempunyai gerai laksa sarawak ... jadi mana satu yang  dikatakan sedap?  Laksa mangkuk oren atau pun laksa mangkuk merah?

Laksa di Golden Cafe & Restaurant
Akhirnya kami dua si gaman memutuskan untuk memilih laksa mangkuk oren di Golden Cafe & Restaurant berikutan kebanyakan pelanggan di situ nampak berselera makan laksa yang disediakan dalam mangkuk oren.  Rasanya mungkin sedap bagi mereka yang gemarkan lebih lemak tetapi bagi kami dua si gaman kuah laksa tersebut terlalu banyak santan.  Apa-apapun, habis jugalah kami makan sebab sudah alang-alang order yang medium size RM5.00 ... membazir kalau tidak habiskan ^_^

Durian Puff
Di tempat yang sama, kami juga mencuba pemanis mulut istimewa iaitu 'Durian Puff'.  Faham-faham sajalah kalau makanan berasaskan durian ni memang harganya pun berduri juga, dua biji RM4.50 dan rasanya memang sedap biarpun saya ini bukan penggemar durian.  Rasanya next time datang sini, kami akan cuba laksa mangkuk merah pula.  Macam Laksa Hunter sudah pula kami dua si gaman ni ^_^

Saturday, 25 June 2011

Kit Kat + Laptop = Kit Kat + Hang Tuah = Kit Kat

Kit Kat & Laptop

Kit Kat & Hang Tuah




Friday, 24 June 2011

Biarkan Peralatan Tradisional Tinggal Kenangan

Melihat kembali peralatan tradisional seperti pengisar padi, lesung penumbuk padi dan  pemerah tebu yang dipamerkan di Sarawak Timber Association (STA) Exhibition Centre, terlintas difikiran bahawa betapa bertuahnya saya dan si gaman dilahirkan pada era moden di mana semua peralatan ini hanya tinggal kenangan.

Pengisar padi
Demi kelangsungan hidup membuatkan penduduk tempatan pada zaman lampau begitu inovatif mencipta dan menggunakan peralatan tradisional seperti penumbuk dan lesung, pengisar padi malah pembajak dan alat tuai untuk menuai padi. 

Lesung penumbuk padi
Dan, betapa beruntungnya kita kerana arus pemodenan mengubah semua ini dan sejak tahun 1980-an semua peralatan tradisional itu hanya menjadi perhiasan atau dipaparkan di muzium, di mana penggunaannya hanya sebagai aktiviti demonstrasi kepada para pengunjung.

Pemerah tebu
Pada hari ini di mana hampir semua peralatan telah ditransformasikan menjadi mesin bagi memudahkan dan mempercepatkan semua kerja pun tetap masih juga terasa malas ^_^

p/s: Kalau boleh mau dapatkan robot vacuum cleaner yang pakai remote control, washing machine yang boleh kutip kain untuk dicuci, rice cooker yang pandai ambil beras dan basuh seterusnya masak hehehe ...




Thursday, 23 June 2011

1# Teka Teki Teka Tekuk: Alat Memproses Makanan

Pertama kali saya melihat benda ini memang cukup membuatkan saya hairan bin ajaib.  Bukan itu sahaja, mau ketawa pun ada gara-gara benda ini dilukis lengkap dengan lakaran mata dan misai.  Kalau mau tau, benda ini sebenarnya sebuah peralatan memproses makanan yang digunakan pada zaman dahulu kala.

Jadi soalannya, teka teki teka tekuk, apakah nama peralatan yang ditunjukkan pada gambar di bawah ini?  Tiada hadiah kepada pemenang :)

Dipamerkan di Sarawak Timber Association (STA) Exhibition Centre




Wednesday, 22 June 2011

MyGamanBorneo Ke BHR Padawan Nature Challenge '11

Lupakan aktiviti santai di panggung wayang atau pusat hiburan pada 3 Julai ini.  Apa kata, bawa pasangan anda menyertai BHR Padawan Nature Challenge 2011.  Uji dan buktikan keserasian anda serta pasangan anda sebagai satu pasukan!

Tarikh tutup penyertaan telah dilanjutkan sehingga 27 Jun 2011 ini.  Hantar penyertaan anda segera ke Borneo Highlands Resort Sales & Management Office Ground & 1st Floor, Lot 11607-11608, Block 16, RH Plaza, Lorong Lapangan Terbang 1, 93250 Kuching, Sarawak, Malaysia.  (Opposite Four Points by Sheraton Kuching Site).

Program ini merupakan anjuran bersama Ma­jlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Bor­neo Highland Resort (BHR) dan akan berlangsung pada 3 Julai bertempat di Kampung Annah Rais dan BHR.  Program ini turut mendapat kerjasama daripada Sarawak Bloggers selaku media online. Sebanyak empat kategori yang dipertandingkan iaitu Cabaran MPP Chairman, Cabaran Malta Penrissen Summit Trekking, Cabaran Batu Panggah dan Cabaran Kalimantan View Trekking.  Selain sijil penyertaan kepada semua peserta, hadiah berupa wang tunai berjumlah antara RM50 hingga RM4,000 bakal menanti para pemenang.

p/s:  Penyertaan saya dan si gaman untuk menyertai cabaran Malta Penrissen Summit Trekking (15 kilometer) di bawah tiket Sarawak Bloggers telah disahkan.  Jumpa di sana!




  

Monday, 20 June 2011

Pusat Pameran Persatuan Kayu Kayan Sarawak

Pusat Pameran Persatuan Kayu Kayan Sarawak
Pada Jumaat lepas, ketika mengikut si gaman berurusan di pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Wisma Sarawak Timber Association (STA), saya mengambil kesempatan membuat lawatan sambil belajar di STA Exhibition Centre.  Sebenarnya aktiviti lawatan sambil belajar masih relevan untuk golongan dewasa dan bukan hanya untuk pelajar.

Keratan batang kayu kapur antara yang dipamerkan
Difahamkan, pusat ini telah ditubuhkan untuk mempamerkan produk dan kerja yang dilakukan oleh ahli-ahlinya. Ia juga berfungsi sebagai pendidikan dan promosi yang memfokuskan isu-isu berkaitan dengan hutan dan industri perkayuan di Sarawak.

Inilah pertama kali melihat benih kayu belian bersaiz sebesar lengan saya
Terletak di Aras 4 Wisma STA, Jalan Datuk Abang Abdul Rahim, Kuching, pusat yang berkeluasan 460 meter persegi ini dibuka untuk kunjungan pada setiap Isnin hingga Jumaat (9.00 pagi - 12.30 tengahari/ 1.30 petang - 4.30 petang), sementara pada Sabtu pula dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengahari.  Masuk adalah percuma.

Mengenali jenis-jenis kayu
Selain pameran fizikal seperti keratan, sampel dan produk berasaskan kayu-kayan,  pusat ini juga turut menyediakan kiosk maklumat dan paparan skrin plasma untuk menunjukkan maklumat bergambar dan video hutan, kepelbagaian biologi, aktiviti huluan dan hiliran. Pusat ini juga mempunyai dua Multimedia and Research Information Assistant (MARIA) yang membolehkan penyelidik untuk mengakses maklumat lama atau yang terkini.

Pameran Biodiversiti
Lebih menarik lagi, pusat ini juga turut mempamerkan pelbagai peralatan tradisional berasaskan kayu seperti pengisar beras, pemerah tebu dan pelbagai alat muzik tradisional etnik Sarawak.  Malah ada di antara peralatan tradisional yang dipamerkan di sini belum pernah saya lihat sebelum ini.  Nantikan  kisah lawatan sambil belajar di pusat ini pada segmen seterusnya.



 

Sunday, 19 June 2011

Berkat Tuhan Untuk Kami Anak-Anak

Sempena Hari Bapa 2011 ini, kami dua si gaman ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Bapa & Selamat Hari Apai kepada Bapa dan Apai.  Semoga berkat Tuhan melimpah  dan memberkati kalian dengan kesihatan yang baik dan umur yang panjang.

Selamat Hari Bapa & Berkat Tuhan Sentiasa Menyertai


Selamat Hari Apai, Berkat Tuhan Selalu Enggau Nuan




Saturday, 18 June 2011

Teknik Menjana Idea Penulisan Blog

Parking fees: Antara kos yang perlu ditanggung untuk mencari idea penulisan blog
Tiada idea untuk update blog? Inilah cabaran yang perlu dihadapi oleh semua blogger.  Selalunya, kalau ketandusan idea saya akan mencari berita-berita sensasi untuk diulas tapi bila selalu buat macam tu boring juga.

Kemudian, secara dengan tidak tiba-tiba saya bertemu dengan satu teknik yang paling berkesan untuk aktiviti update meng'update blog ini iaitu dengan cara menjadi seorang 'Wartawan Blog'.  Saya cuma perlu melantik diri sendiri sebagai wartawan tidak berbayar untuk mengutip dan mengumpul maklumat dan seterusnya disiarkan kepada umum menerusi media online ini.

Wah, seharian pada Jumaat menghabiskan masa di luar memang agak berbaloi juga kerana berhasil mengumpulkan beberapa bahan untuk diceritakan di blog ini.  Jadi, tunggu dan lihat pada update-update yang akan datang.




Friday, 17 June 2011

Kapal Miniatur Berlabuh Di Pustaka Negeri Sarawak

Salah sebuah kapal miniatur yang dipamerkan
Tiga buah kapal miniatur yang dipamerkan dilobi Pustaka Negeri Sarawak berjaya menarik perhatian sesiapa  sahaja yang berkunjung di sini termasuklah kami dua si gaman yang sebenarnya bertujuan untuk melihat 'Remembering Anthony Exhibition' pada Selasa lepas.  Jadi 'sambil menyelam minum air' sempat jugalah kami dua si gaman menyibuk mengambil gambar semata-mata untuk dijadikan bahan cerita di blog ini.

Rekaan yang begitu halus & memerlukan ketelitian
Memiliki reka bentuk kapal layar zaman dahulu kala, perincian setiap cantuman objek mini yang begitu teliti menjadikan ianya kelihatan seperti kapal layar sebenar.  Jika diamati dengan teliti, kapal miniatur  bersaiz lebih satu meter ini hanya diperbuat daripada kepingan-kepingan kayu kecil pencungkil gigi, benang halus dan bahan-bahan terbuang.

Kapal miniatur bersaiz lebih kecil
Sementara kapal miniatur yang paling kecil ini pula membuatkan kami dua si gaman sampai terbongkok-bongkok untuk mengintai setiap perincian di dalamnya.  Kagum la katakan ... mesti orang yang membuat benda-benda seumpama dan sewaktu dengannya ini mempunyai kesabaran tahap gaban.

Tolong promosi :) Sekiranya berminat untuk membuat tempahan bolehlah hubungi nombor tersebut
#Sedang berfikir-fikir kemahiran seni kraftangan yang mampu dijadikan alat untuk menjana pendapatan tambahan.




Thursday, 16 June 2011

Pameran Memperingati Waris Rajah Putih Sarawak

Pameran ‘Memperingati Anthony’
Hujan lebat pada Selasa lepas tidak menghalang saya dan si gaman berkunjung ke pameran 'Memperingati Anthony' bertempat di Pustaka Negeri Sarawak.  Pameran ini diadakan  selama hampir sebulan ini iaitu bermula 8-30 Jun ini.

Antara gambar yang dipamerkan
Ini merupakan inisiatif Pustaka Negeri Sarawak khusus menceritakan pengalaman serta kehidupan ayahandanya sebelum, semasa dan selepas menduduki taktha.  Pameran ini telah dirasmikan oleh James Betram Lionel Brooke, anak kepada Rajah Putih Sarawak yang terakhir Anthony Walter Dayrell Brooke.  Beliau turut diiringi oleh anaknya Jason Desmond Anthony Brooke.

Catatan oleh James Betram Lionel Brooke
Pameran ini bertujuan memberi maklumat berguna kepada orang ramai yang mahu mengetahui dengan lebih mendalam mengenai sejarah Sarawak terutamanya ketika pada zaman pemerintahan keluarga Brooke.

Catatan oleh Jason Desmond Anthony Brooke
Untuk rekod, Anthony yang dilahirkan pada 10 Disember 1912 dilantik sebagai Yang Amat Mulia Tuan Rajah Muda Sarawak pada 25 Ogos 1937 mengambil alih kuasa daripada bapa saudaranya, Rajah Vyner (Rajah Putih yang ketiga).

Si gaman mengisi buku pelawat bagi pihak MyGamanBorneo
Beliau dibesarkan di England dan mendapat pendidikan awal di Eton College seterusnya Trinity College, Cambridge dan School of Africa and Oriental Studies, University of London.  Pada awal 1930-an Anthony menjawat beberapa jawatan penting dalam sektor awam termasuk di Jabatan Tanah dan Pendaftaran serta sebagai majistret.

Kami tidak melepaskan peluang untuk meninggalkan catatan pada buku pelawat
Beliau seterusnya menyertai Tentera British sebagai askar persendirian pada November 1941 dan berkhidmat semasa Perang Dunia Ke-II. Antara 1941 dan 1944 Anthony meru-pakan leftenan dalam unit Tentera Perisikan, SAC SEAC di Kandy, Sri Lanka dan merupakan Pesuruhjaya Khas untuk Sarawak di United Kingdom dari 1944-1945.  Anthony menghembus nafas terakhirnya pada 2 Mac 2011 pada usia 98 tahun.

Gambar dan kisah zaman kanak-kanak Anthony
Ingin mengetahui lebih lanjut mengenai sejarah dan kehidupan peribadi Anthony kunjungi pameran yang diadakan setiap hari kecuali cuti umum bermula dari jam 11 pagi hingga 7 malam bertempat di Aras Satu, Pustaka Negeri - Sumber: Utusan Borneo.

Sebelum balik jangan lupa dapatkan risalah pameran sebagai kenangan