| MyGamanBorneo: Eksplorasi Pena & Lensa | Alternatif Gaya Penulisan Bebas Tanpa Batasan |

Showing posts with label Eksplorasi Pena dan Lensa. Show all posts
Showing posts with label Eksplorasi Pena dan Lensa. Show all posts

Friday, 24 June 2011

Biarkan Peralatan Tradisional Tinggal Kenangan

Melihat kembali peralatan tradisional seperti pengisar padi, lesung penumbuk padi dan  pemerah tebu yang dipamerkan di Sarawak Timber Association (STA) Exhibition Centre, terlintas difikiran bahawa betapa bertuahnya saya dan si gaman dilahirkan pada era moden di mana semua peralatan ini hanya tinggal kenangan.

Pengisar padi
Demi kelangsungan hidup membuatkan penduduk tempatan pada zaman lampau begitu inovatif mencipta dan menggunakan peralatan tradisional seperti penumbuk dan lesung, pengisar padi malah pembajak dan alat tuai untuk menuai padi. 

Lesung penumbuk padi
Dan, betapa beruntungnya kita kerana arus pemodenan mengubah semua ini dan sejak tahun 1980-an semua peralatan tradisional itu hanya menjadi perhiasan atau dipaparkan di muzium, di mana penggunaannya hanya sebagai aktiviti demonstrasi kepada para pengunjung.

Pemerah tebu
Pada hari ini di mana hampir semua peralatan telah ditransformasikan menjadi mesin bagi memudahkan dan mempercepatkan semua kerja pun tetap masih juga terasa malas ^_^

p/s: Kalau boleh mau dapatkan robot vacuum cleaner yang pakai remote control, washing machine yang boleh kutip kain untuk dicuci, rice cooker yang pandai ambil beras dan basuh seterusnya masak hehehe ...




Monday, 20 June 2011

Pusat Pameran Persatuan Kayu Kayan Sarawak

Pusat Pameran Persatuan Kayu Kayan Sarawak
Pada Jumaat lepas, ketika mengikut si gaman berurusan di pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Wisma Sarawak Timber Association (STA), saya mengambil kesempatan membuat lawatan sambil belajar di STA Exhibition Centre.  Sebenarnya aktiviti lawatan sambil belajar masih relevan untuk golongan dewasa dan bukan hanya untuk pelajar.

Keratan batang kayu kapur antara yang dipamerkan
Difahamkan, pusat ini telah ditubuhkan untuk mempamerkan produk dan kerja yang dilakukan oleh ahli-ahlinya. Ia juga berfungsi sebagai pendidikan dan promosi yang memfokuskan isu-isu berkaitan dengan hutan dan industri perkayuan di Sarawak.

Inilah pertama kali melihat benih kayu belian bersaiz sebesar lengan saya
Terletak di Aras 4 Wisma STA, Jalan Datuk Abang Abdul Rahim, Kuching, pusat yang berkeluasan 460 meter persegi ini dibuka untuk kunjungan pada setiap Isnin hingga Jumaat (9.00 pagi - 12.30 tengahari/ 1.30 petang - 4.30 petang), sementara pada Sabtu pula dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengahari.  Masuk adalah percuma.

Mengenali jenis-jenis kayu
Selain pameran fizikal seperti keratan, sampel dan produk berasaskan kayu-kayan,  pusat ini juga turut menyediakan kiosk maklumat dan paparan skrin plasma untuk menunjukkan maklumat bergambar dan video hutan, kepelbagaian biologi, aktiviti huluan dan hiliran. Pusat ini juga mempunyai dua Multimedia and Research Information Assistant (MARIA) yang membolehkan penyelidik untuk mengakses maklumat lama atau yang terkini.

Pameran Biodiversiti
Lebih menarik lagi, pusat ini juga turut mempamerkan pelbagai peralatan tradisional berasaskan kayu seperti pengisar beras, pemerah tebu dan pelbagai alat muzik tradisional etnik Sarawak.  Malah ada di antara peralatan tradisional yang dipamerkan di sini belum pernah saya lihat sebelum ini.  Nantikan  kisah lawatan sambil belajar di pusat ini pada segmen seterusnya.



 

Friday, 17 June 2011

Kapal Miniatur Berlabuh Di Pustaka Negeri Sarawak

Salah sebuah kapal miniatur yang dipamerkan
Tiga buah kapal miniatur yang dipamerkan dilobi Pustaka Negeri Sarawak berjaya menarik perhatian sesiapa  sahaja yang berkunjung di sini termasuklah kami dua si gaman yang sebenarnya bertujuan untuk melihat 'Remembering Anthony Exhibition' pada Selasa lepas.  Jadi 'sambil menyelam minum air' sempat jugalah kami dua si gaman menyibuk mengambil gambar semata-mata untuk dijadikan bahan cerita di blog ini.

Rekaan yang begitu halus & memerlukan ketelitian
Memiliki reka bentuk kapal layar zaman dahulu kala, perincian setiap cantuman objek mini yang begitu teliti menjadikan ianya kelihatan seperti kapal layar sebenar.  Jika diamati dengan teliti, kapal miniatur  bersaiz lebih satu meter ini hanya diperbuat daripada kepingan-kepingan kayu kecil pencungkil gigi, benang halus dan bahan-bahan terbuang.

Kapal miniatur bersaiz lebih kecil
Sementara kapal miniatur yang paling kecil ini pula membuatkan kami dua si gaman sampai terbongkok-bongkok untuk mengintai setiap perincian di dalamnya.  Kagum la katakan ... mesti orang yang membuat benda-benda seumpama dan sewaktu dengannya ini mempunyai kesabaran tahap gaban.

Tolong promosi :) Sekiranya berminat untuk membuat tempahan bolehlah hubungi nombor tersebut
#Sedang berfikir-fikir kemahiran seni kraftangan yang mampu dijadikan alat untuk menjana pendapatan tambahan.




Thursday, 16 June 2011

Pameran Memperingati Waris Rajah Putih Sarawak

Pameran ‘Memperingati Anthony’
Hujan lebat pada Selasa lepas tidak menghalang saya dan si gaman berkunjung ke pameran 'Memperingati Anthony' bertempat di Pustaka Negeri Sarawak.  Pameran ini diadakan  selama hampir sebulan ini iaitu bermula 8-30 Jun ini.

Antara gambar yang dipamerkan
Ini merupakan inisiatif Pustaka Negeri Sarawak khusus menceritakan pengalaman serta kehidupan ayahandanya sebelum, semasa dan selepas menduduki taktha.  Pameran ini telah dirasmikan oleh James Betram Lionel Brooke, anak kepada Rajah Putih Sarawak yang terakhir Anthony Walter Dayrell Brooke.  Beliau turut diiringi oleh anaknya Jason Desmond Anthony Brooke.

Catatan oleh James Betram Lionel Brooke
Pameran ini bertujuan memberi maklumat berguna kepada orang ramai yang mahu mengetahui dengan lebih mendalam mengenai sejarah Sarawak terutamanya ketika pada zaman pemerintahan keluarga Brooke.

Catatan oleh Jason Desmond Anthony Brooke
Untuk rekod, Anthony yang dilahirkan pada 10 Disember 1912 dilantik sebagai Yang Amat Mulia Tuan Rajah Muda Sarawak pada 25 Ogos 1937 mengambil alih kuasa daripada bapa saudaranya, Rajah Vyner (Rajah Putih yang ketiga).

Si gaman mengisi buku pelawat bagi pihak MyGamanBorneo
Beliau dibesarkan di England dan mendapat pendidikan awal di Eton College seterusnya Trinity College, Cambridge dan School of Africa and Oriental Studies, University of London.  Pada awal 1930-an Anthony menjawat beberapa jawatan penting dalam sektor awam termasuk di Jabatan Tanah dan Pendaftaran serta sebagai majistret.

Kami tidak melepaskan peluang untuk meninggalkan catatan pada buku pelawat
Beliau seterusnya menyertai Tentera British sebagai askar persendirian pada November 1941 dan berkhidmat semasa Perang Dunia Ke-II. Antara 1941 dan 1944 Anthony meru-pakan leftenan dalam unit Tentera Perisikan, SAC SEAC di Kandy, Sri Lanka dan merupakan Pesuruhjaya Khas untuk Sarawak di United Kingdom dari 1944-1945.  Anthony menghembus nafas terakhirnya pada 2 Mac 2011 pada usia 98 tahun.

Gambar dan kisah zaman kanak-kanak Anthony
Ingin mengetahui lebih lanjut mengenai sejarah dan kehidupan peribadi Anthony kunjungi pameran yang diadakan setiap hari kecuali cuti umum bermula dari jam 11 pagi hingga 7 malam bertempat di Aras Satu, Pustaka Negeri - Sumber: Utusan Borneo.

Sebelum balik jangan lupa dapatkan risalah pameran sebagai kenangan




Friday, 1 April 2011

Kampung Semban: 9# Selamat Tinggal Kpg Semban

Selamat tinggal Kampung Semban
Hari terakhir di Kampung Semban merupakan hari yang paling sukar, kerana mengucapkan selamat tinggal bukanlah suatu perkara yang saya gemari.  Tepat jam 9.00 pagi, kami mula bergerak meninggalkan Kampung Semban.  Kami difahamkan, perjalanan dari Kampung Semban ke empangan Bengoh lebih singkat iaitu tiga hingga empat jam.  (Saya pula mengambil masa empat jam 30 minit untuk sampai ke empangan Bengoh). 
 
Deckson & Uncle Awang pantas menuruni bukit
Cuaca panas terik membuatkan kami cepat letih
Berehat sebentar di kunt ilau (pondok rehat) bersama porter
Tiba di Kampung Bojong & di sini kami singgah berehat sambil minum minuman sejuk
Lebih banyak menuruni bukit tetapi tetap ada bukit yang perlu dinaiki
Berhenti rehat lagi untuk memulihkan stamina
Sempat juga si sang rama-rama singgah berehat di atas topi Uncle Awang
Kami turut terserempak dengan penduduk Kampung Semban yang sedang memikul bekalan barang-barang runcit yang beratnya mungkin mencecah lebih 20 kilogram.
Kami kemudiannya meneruskan perjalanan yang pada saya masih cukup mencabar.  Inilah keistimewaan eko pelancongan di Kampung Semban, mewah dengan cabaran.
Memandangkan saya yang paling perlahan, jadi Deckson, Uncle Awang & porter akan menanti saya di lokasi-lokasi rehat berhampiran.
Nampaknya, perasaan gayat ketika meniti dua jambatan buluh gantung sudah tidak mengganggu tumpuan lagi.  Teknik catwalk juga bertambah baik.
Ini merupakan antara laluan yang agak licin dan curam.  Ia juga merupakan lereng bukit terakhir yang perlu dinaiki sebelum tiba ke empangan Bengoh.
Akhirnya kami sampai, dan saya merekodkan masa lebih 4 jam 30 minit
Letih tetapi sangat menyeronokkan, itulah yang dapat saya gambarkan mengenai trip kami ke Kampung Semban ini.  Terima kasih diucapkan kepada Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) kerana menaja trip empat hari tiga malam (22 - 25 Mac 2011) di Kampung Semban.  

Terima kasih juga kepada Sarawak Bloggers kerana memilih saya mengikuti ekspedisi penuh dengan cabaran yang menyeronokkan ini.  Tidak lupa juga, ucapan terima kasih kepada ketua ekspedisi, Deckson Bundak (STB Tourist Coordinator),  Uncle Awang serta Sagen Adan (pengusaha eko pelancongan Kampung Semban).

Bagi anda yang gemarkan cabaran, apa kata anda memilih Kampung Semban sebagai destinasi seterusnya.  Pakej eko pelancongan empat hari tiga malam di Kampung Semban pasti tidak mengecewakan anda.  Untuk maklumat lanjut berhubung pakej eko pelancongan Kampung Semban, sila hubungi Sagen Adan (014-8808123) atau Deckson (082-410944).



Pautan | Eksplorasi Pena & Lensa Di Kpg Semban | Sebelum Ekspedisi (1) | Ekspedisi Bermula (2) | Keindahan Air Terjun Susukng & Pent (3) | Panorama Di Kampung Semban (4) | Matahari Terbit Di Gunung Kapang (5) | Tembakau Kampung Semban (6) | Pokok Tapang Tertinggi & Terbesar (7) | Bersama Tradisi Yang Bakal Pupus (8) | Selamat Tinggal Kampung Semban (9) |




Kampung Semban: 8# Tradisi Yang Bakal Pupus

Gambar kenangan bersama 5 daripada 7 Golden Ring Ladies Kpg Semban
Sama seperti pakej pelancongan inap desa, pakej eko pelancongan empat hari tiga malam di Kampung Semban turut menyajikan persembahan kebudayaan.  Pada malam terakhir kami di sini, acara bermula dengan makan malam beramai-ramai dan seterusnya menyaksikan persembahan tarian oleh "The Golden Ring Lady" diiringi alunan Hletong (alat muzik diperbuat daripada buluh). 

Warisan tradisi yang bakal pupus
Semua ini memahat kenangan berharga kerana saya bukan sahaja berpeluang melihat secara dekat lima wanita berusia di antara 60 hingga 80 tahun yang masih meneruskan tradisi pemakaian  gelang tembaga yang dinamakan luyakng (di tangan) dan lasukng (di betis), tetapi juga berpeluang menari bersama mereka.
Lambang kecantikan suatu ketika dahulu
Mereka ini merupakan lima daripada "The Last 7 Golden Ring Lady" yang hanya ada di Kampung Semban, Padawan, Sarawak.  Pemakaian aksesori ini dikatakan lambang kecantikan sejati wanita etnik embhan suatu ketika dahulu.  Selain itu, pemakaian aksesori gelang tembaga ini juga turut melambangkan status seseorang wanita itu dan mana-mana lelaki yang memperisterikan mereka dikatakan bertuah.

Lambang status
Saya diberitahu, ketika ini hanya seorang sahaja dari tujuh wanita ini yang masih mewarisi kepakaran dalam membuat termasuk memakaikan dan menanggalkan luyakng dan lasukng.  Untuk membentuk luyakng dan lasukng, terlebih dahulu dawai tembaga perlu dipanaskan bagi memudakan ia dililit di atas acuan kayu.  Proses memakaikan luyakng dan lasukng juga dikatakan mengambil masa yang lama dan perlu dilakukan dengan teliti.

Sementara itu, seorang penduduk kampung memberitahu saya bahawa suatu ketika dahulu tidak semua gadis mampu memiliki luyakng dan lasukng kerana harga tembaga yang tinggi.  Jadi, ibu bapa yang mampu memakaikan anak gadis mereka aksesori ini dikatakan sebagai golongan yang berstatus.  Ketika ini menurutnya, harga tembaga masih tinggi iaitu sekitar RM80 hingga RM200 sekilogram.  

Cukup mahal, jadi tidak hairanlah kenapa ada yang sanggup mencuri kepala pili paip tembaga di luar rumah saya. Difahamkan juga, seseorang gadis itu akan memakai aksesori ini seawal usia 12 tahun, bagaimanapun tradisi turun temurun ini tidak diteruskan lagi pada tahun apabila pihak sekolah melarang pemakaiannya di kalangan murid-murid perempuan.

Hanya mereka yang pernah menjejakkan kaki ke Kampung Semban sahaja berpeluang menyimpan koleksi peribadi gambar wanita-wanita yang masih mempertahankan tradisi luyakng dan lasukng yang bakal pupus.







Thursday, 31 March 2011

Kampung Semban: 7# Pokok Tapang Tertinggi & Terbesar

Dibawa melihat pokok Tapang tertinggi dan terbesar merupakan antara aktiviti yang ditawarkan dalam pakej eko pelancongan empat hari tiga malam di Kampung Semban.  Lokasinya terletak tidak jauh dari kawasan kampung iaitu hanya mengambil masa kira-kira 10 minit berjalan kaki.

Walaupun belum ada kajian terperinci mengenai usia sebenar pokok Tapang yang  tingginya dianggarkan  lebih 100 meter ini, tetapi kami difahamkan pokok ini telah wujud sejak beratus tahun yang lalu.  Pokok Tapang ini juga dikatakan menjadi tumpuan kumpulan lebah membuat sarang  dan menghasilkan madu asli yang tinggi nilainya dari segi perubatan.

Ingin tahu betapa tinggi dan besarnya pokok Tapang di Kampung Semban ini, sila lihat gambar di bawah yang telah saya cantumkan menggunakan Microsoft Office Publisher 2007. 
Cuba bandingkan, betapa kerdilnya Uncle Sagen (tepi kanan) jika dibandingkan dengan pokok Tapang yang sebesar lima hingga enam pemeluk orang dewasa.  Menurut saya, pokok Tapang ini mungkin lebih tinggi daripada  bangunan SALCRA yang terletak di Jalan Datuk Mohd Musa, Kota Samarahan.

Kagum dengan salah satu ciptaan Tuhan dan inilah kali pertama saya menyaksikan sendiri pokok setinggi dan sebesar ini.  Sebenarnya pokok ini jauh lebih tinggi daripada apa yang dapat dirakamkan oleh lensa kamera.








Kampung Semban: 6# Tembakau Kpg Semban

Pokok tembakau
Pakej eko pelancongan empat hari tiga malam yang ditaja oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) ternyata berbaloi kerana kami turut berpeluang melihat sendiri bagaimana tembakau diproses secara tradisional.

Lebih mengujakan lagi apabila kerja memproses tembakau ini dilakukan oleh wanita yang digelar "golden ring lady".  Ini hanya anda dapat saksikan di Kampung Semban, Padawan.

Daun tembakau yang telah dihiris halus akan disusun di atas para yang diperbuat daripada kepingan buluh nipis.

Ingin tahu? Beginilah rupa buah tembakau, benih di dalamnya sebesar benih sawi

Daun tembakau matang akan digulung dan dihiris halus menggunakan buluh

Inilah hasilnya setelah dikeringkan.  Difahamkan, tembakau yang telah siap diproses ini hanya untuk kegunaan sendiri.

Sebenarnya, banyak lagi pengalaman menarik pada hari ketiga kami berada di Kampung Semban ini, antaranya pokok Tapang yang menurut saya, pokok Tapang ini mungkin tingginya kurang lebih sama dengan bangunan SALCRA yang terletak di Jalan Datuk Mohd Musa, Kota Samarahan.  Nantikan dalam kemas kini seterusnya.



Pautan | Eksplorasi Pena & Lensa Di Kpg Semban | Sebelum Ekspedisi (1) | Ekspedisi Bermula (2) | Keindahan Air Terjun Susukng & Pent (3) | Panorama Di Kampung Semban (4) | Matahari Terbit Di Gunung Kapang (5) | Tembakau Kampung Semban (6) | Pokok Tapang Tertinggi & Terbesar (7) | Bersama Tradisi Yang Bakal Pupus (8) | Selamat Tinggal Kampung Semban (9) |





Wednesday, 30 March 2011

Kampung Semban: 5# Matahari Terbit Di Gunung Kapang

Kira-kira tujuh jam lena tanpa diulit mimpi dan sesekali dikejutkan oleh rasa sengal pada otot kaki, akhirnya tiba hari di mana kami harus berdepan dengan satu lagi cabaran iaitu mendaki  ke puncak Gunung Kapang pada ketinggian melebihi 1000 meter dari paras laut.

Kelihatan cahaya matahari tersembunyi di sebalik awan
Untuk menyaksikan suasana matahari terbit di lokasi paling tinggi di Gunung Kapang, kami bangun seawal jam 5.00 pagi untuk bersiap dan cukup sekadar membasuh muka ala-ala cerita P.Ramlee sebelum bertolak dari rumah  sekitar jam 5.30 pagi.

Lautan awan umpama gumpalan kapas gebu
Menurut Uncle Sagen, bermula dari rumah beliau, kami akan melakukan sebanyak 1750 langkah untuk tiba di puncak gunung ini.  Jelasnya, pendakian yang akan menyebabkan anda bermandi peluh ini mengambil masa 15 hingga 20 minit sahaja bagi penduduk tempatan, tetapi saya mencatatkan rekod kira-kira 40 minit untuk sampai ke lokasi.  Bukan mudah untuk mendaki dengan hanya berbekalkan cahaya lampu suluh.

Deckson & Uncle Awang, masing-masing sibuk mengambil gambar
Berada di sini untuk merasai sendiri pengalaman melihat matahari terbit perlahan-lahan di sebalik lapisan awan, sukar digambarkan dengan kata-kata.  Ianya lebih cantik daripada apa yang anda lihat di gambar.  Jadi, tidak hairanlah kenapa Kampung Semban mendapat gelaran "Paradise Above The Clouds". 

Di puncak Gunung Kapang anda boleh menghubungi sesiapa sahaja menggunakan telefon bimbit
Sayang sekali, kami tidak dapat menyaksikan matahari terbit yang betul-betul bulat kerana terlindung oleh awan.  Tapi berjaya mendaki hingga ke puncak sudah cukup berbaloi dan patut dibanggakan.  

Sekumpulan penduduk kampung yang datang melihat kebun mereka
Kami seterusnya meluangkan masa hampir sejam di atas sana sambil menikmati minuman panas dan berbual-bual dengan penduduk kampung yang datang mengusahakan tanah pertanian mereka berhampiran kawasan view point ini. 

Terserempak dengan penduduk kampung ketika dalam perjalanan balik
Bayangkan, setiap hari mereka mendaki Gunung Kapang untuk bercucuk tanam, saya percaya penduduk di sini tidak akan berhadapan kesukaran sekiranya mereka berhajat untuk menawan puncak Gunung Kinabalu.

Kebun lada di Gunung Kapang
Hairan kenapa mereka sanggup bersusah-payah membuka kebun di kawasan ini, saya kemudianya mengajukan soalan tersebut kepada pemilik tanah.  Saya diberitahu,  hasil tanaman mereka sering di serang penyakit  ketika ditanam di kawasan tanah rendah.  Keadaan ini membuatkan mereka beralih ke kawasan yang lebih tinggi.  Selain lada, mereka juga menanam padi bukit dan tembakau.

Laluan yang dialas dengan belahan-belahan buluh
Perjalanan pulang menuruni lereng-lereng bukit hingga ke rumah Uncle Sagen cuma mengambil masa 10 minit berbanding 40 minit masa naik.

Akhirnya tiba di kawasan kampung - Photo by Deckson STB
Kampung Semban tidak pernah menjanjikan laluan yang rata - Photo by Deckson STB




Pautan | Eksplorasi Pena & Lensa Di Kpg Semban | Sebelum Ekspedisi (1) | Ekspedisi Bermula (2) | Keindahan Air Terjun Susukng & Pent (3) | Panorama Di Kampung Semban (4) | Matahari Terbit Di Gunung Kapang (5) | Tembakau Kampung Semban (6) | Pokok Tapang Tertinggi & Terbesar (7) | Bersama Tradisi Yang Bakal Pupus (8) | Selamat Tinggal Kampung Semban (9) |