| MyGamanBorneo: Eksplorasi Pena & Lensa | Alternatif Gaya Penulisan Bebas Tanpa Batasan |

Wednesday, 30 March 2011

Kampung Semban: 5# Matahari Terbit Di Gunung Kapang

Kira-kira tujuh jam lena tanpa diulit mimpi dan sesekali dikejutkan oleh rasa sengal pada otot kaki, akhirnya tiba hari di mana kami harus berdepan dengan satu lagi cabaran iaitu mendaki  ke puncak Gunung Kapang pada ketinggian melebihi 1000 meter dari paras laut.

Kelihatan cahaya matahari tersembunyi di sebalik awan
Untuk menyaksikan suasana matahari terbit di lokasi paling tinggi di Gunung Kapang, kami bangun seawal jam 5.00 pagi untuk bersiap dan cukup sekadar membasuh muka ala-ala cerita P.Ramlee sebelum bertolak dari rumah  sekitar jam 5.30 pagi.

Lautan awan umpama gumpalan kapas gebu
Menurut Uncle Sagen, bermula dari rumah beliau, kami akan melakukan sebanyak 1750 langkah untuk tiba di puncak gunung ini.  Jelasnya, pendakian yang akan menyebabkan anda bermandi peluh ini mengambil masa 15 hingga 20 minit sahaja bagi penduduk tempatan, tetapi saya mencatatkan rekod kira-kira 40 minit untuk sampai ke lokasi.  Bukan mudah untuk mendaki dengan hanya berbekalkan cahaya lampu suluh.

Deckson & Uncle Awang, masing-masing sibuk mengambil gambar
Berada di sini untuk merasai sendiri pengalaman melihat matahari terbit perlahan-lahan di sebalik lapisan awan, sukar digambarkan dengan kata-kata.  Ianya lebih cantik daripada apa yang anda lihat di gambar.  Jadi, tidak hairanlah kenapa Kampung Semban mendapat gelaran "Paradise Above The Clouds"

Di puncak Gunung Kapang anda boleh menghubungi sesiapa sahaja menggunakan telefon bimbit
Sayang sekali, kami tidak dapat menyaksikan matahari terbit yang betul-betul bulat kerana terlindung oleh awan.  Tapi berjaya mendaki hingga ke puncak sudah cukup berbaloi dan patut dibanggakan.  

Sekumpulan penduduk kampung yang datang melihat kebun mereka
Kami seterusnya meluangkan masa hampir sejam di atas sana sambil menikmati minuman panas dan berbual-bual dengan penduduk kampung yang datang mengusahakan tanah pertanian mereka berhampiran kawasan view point ini. 

Terserempak dengan penduduk kampung ketika dalam perjalanan balik
Bayangkan, setiap hari mereka mendaki Gunung Kapang untuk bercucuk tanam, saya percaya penduduk di sini tidak akan berhadapan kesukaran sekiranya mereka berhajat untuk menawan puncak Gunung Kinabalu.

Kebun lada di Gunung Kapang
Hairan kenapa mereka sanggup bersusah-payah membuka kebun di kawasan ini, saya kemudianya mengajukan soalan tersebut kepada pemilik tanah.  Saya diberitahu,  hasil tanaman mereka sering di serang penyakit  ketika ditanam di kawasan tanah rendah.  Keadaan ini membuatkan mereka beralih ke kawasan yang lebih tinggi.  Selain lada, mereka juga menanam padi bukit dan tembakau.

Laluan yang dialas dengan belahan-belahan buluh
Perjalanan pulang menuruni lereng-lereng bukit hingga ke rumah Uncle Sagen cuma mengambil masa 10 minit berbanding 40 minit masa naik.

Akhirnya tiba di kawasan kampung - Photo by Deckson STB
Kampung Semban tidak pernah menjanjikan laluan yang rata - Photo by Deckson STB




Pautan | Eksplorasi Pena & Lensa Di Kpg Semban | Sebelum Ekspedisi (1) | Ekspedisi Bermula (2) | Keindahan Air Terjun Susukng & Pent (3) | Panorama Di Kampung Semban (4) | Matahari Terbit Di Gunung Kapang (5) | Tembakau Kampung Semban (6) | Pokok Tapang Tertinggi & Terbesar (7) | Bersama Tradisi Yang Bakal Pupus (8) | Selamat Tinggal Kampung Semban (9) |





0 comments: