| MyGamanBorneo: Eksplorasi Pena & Lensa | Alternatif Gaya Penulisan Bebas Tanpa Batasan |

Tuesday, 29 March 2011

Kampung Semban: 4# Panorama Di Kpg Semban


Rumah comel dihiasi landskap milik Sagen Adan

Gambar di atas menunjukkan rumah Sagen Adan yang tidak pernah sunyi dari kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara.  Beliau telah mula serius mengusahakan aktiviti eko pelancongan di Kampung Semban sejak 1998 dan pelaksanaan projek empangan Bengoh sedikit sebanyak memberikan impak positif kepada kemasukan lebih ramai pelancong ke sini.  Hal ini secara tidak langsung turut meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk di kampung terpencil ini.

Untuk rekod, projek pembinaan Empangan Bengoh yang bernilai lebih RM300 juta ini dimulakan pada 2007 di kawasan seluas kira-kira 50 kilometer dari pusat bandar raya Kuching.  Apabila siap sepenuhnya kelak, empangan tersebut akan membekalkan air bersih mencukupi kepada penduduk Kuching yang dijangka semakin bertambah bilangannya.

Kampung Sait, Kampung Bojong, Kampung Rejoi dan Kampung Semban merupakan antara kampung yang terjejas berikutan projek itu.  Untuk itu, kerajaan telah menyediakan tapak penempatan semula untuk semua penduduk yang telibat termasuk pembayaran pampasan.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.  Kami difahamkan dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi, lebih 300 keluarga di empat kampung terbabit terpaksa meninggalkan tanah pusaka yang telah diwarisi sejak turun-temurun ini bagi meneruskan hidup di kawasan penempatan baru.


Raja Segala Buah
Raja buah dari Kampung Semban
Terdahulu, kepulangan kami dari air terjun Susukng dan Pent disambut dengan haruman durian, raja segala buah.  Hadiah istimewa untuk Deckson dan Uncle Awang, tapi bagi saya yang bukan penggemar buah ini, cukup sekadar melihat dan mengambil gambar untuk dikongsikan di blog ini.

Selain itu, kami turut dijamu dengan hidangan kopi panas dan bubur barli hasil air tangan isteri Uncle Sagen yang tidak pernah kering tangan bagi memastikan kami mendapat layanan yang terbaik.  Terima kasih untuk aunty Kipin.

Sedang kami sedang asyik berbual mengenai pengalaman sepanjang berada di kampung ini, tiba-tiba seperti ada magnet yang menarik perhatian kami ke arah seorang wanita warga emas yang kelihatannya baru pulang dari kebun. 


 Mereka Adalah Warisan Wanita Terakhir
Salah seorang daripada tujuh wanita yang digelar "Golden Ring Lady"
Aksesori gelang tembaga kemas melingkari lengan dan betis si pemakai ini, suatu ketika dahulu menjadi lambang kemegahan dan kecantikan wanita etnik Embhan.  Mereka ini merupakan antara tujuh wanita terakhir etnik Embhan yang masih memakai luyakng (di lengan) dan lasukng (di betis).  Semua ini hanya dapat anda saksikan di Kampung Semban.

Tawud Luhan, 62, duduk mengupas pinang muda di tepi dapur kayu
Kira-kira jam 6.00 petang, kami dibawa bersiar-siar melihat suasana kampung.  Kami turut singgah di rumah milik seorang lagi "golden ring lady", Tawud Luhan.  Tawud dikatakan pakar dalam membuat, memakaikan dan menanggalkan luyakng dan lasukng.

Penduduk di sini juga masih mengekalkan tradisi memasak di atas dapur kayu walaupun mereka mempunyai dapur gas.  Dapur gas biasanya hanya akan digunakan pada masa-masa tertentu berikutan kesukaran untuk mendapatkan bekalan akibat faktor jarak.


Rumah Padi
Setiap rumah di Kampung Semban memiliki rumah padi masing-masing
Rumah padi, merupakan satu lagi keunikan yang dapat disaksikan di Kampung Semban ini. Bumbung rumah padi ini akan dibuka ketika cuaca panas untuk menjemur padi yang terdapat di dalamnya.  Penduduk di sini menanam padi untuk keperluan sendiri dan ini bermakna mereka tidak pernah membeli bekalan beras dari luar.


Senja Merah Di Banjaran Bungo
Pemandangan banjaran Bungo dari Kampung Semban
Suasana senja di Kampung semban juga cukup mengagumkan kepada sesiapa sahaja yang pertama kali sampai di sini.  Sesekali timbul perasaan seakan tidak percaya bahawa masih wujud perkampungan terpencil yang belum dihubungkan dengan kemudahan jalan raya walaupun dikatakan telah wujud lebih 60 tahun.  Kami juga diberitahu, cara terpantas untuk ke kampung ini adalah dengan menggunakan perkhidmatan helikopter pada kadar sewa RM3,500.00 sejam.


Stor Set Janakuasa Elektrik
Set janakuasa elektrik beroperasi dari jam 6.00 petang hingga 10.00 malam
Di sini, bekalan elektrik agak terhad dan ada di antara penduduk kampung memiliki set janakuasa sendiri.  Kalau tidak silap, ada dua set janakuasa di stor ini yang mana salah sebuah daripadanya seberat 200 kilogram.  Bagaimana mereka membawa set janakuasa seberat itu ke kampung ini? Persoalan inilah yang sering bermain di minda Uncle Awang.

Saya sendiri tidak dapat membayangkan bagaimana mereka memikulnya sambil menuruni dan mendaki lereng-lereng bukit yang curam.  Lebih tidak tercapai oleh akal bila memikirkan bagaimana mereka membawa set janakuasa itu meniti jambatan buluh gantung dengan selamat.  Tapi yang pasti, mereka adalah penduduk Kampung Semban yang sentiasa tabah.

Kami dimaklumkan, set janakuasa tersebut dipikul sendiri oleh penduduk kampung secara gotong-royong menggunakan tenaga lapan orang dewasa bersilih ganti.  Manakala ketika meniti jambatan buluh gantung pula, tenaga empat orang digunakan.


Kebersihan Amalan Bersama
Bersih! tiada secebis sampah yang ditemui
Sepanjang jalan-jalan mengelilingi kampung, satu perkara yang kami perasan iaitu penekanan aspek kebersihan yang menjadi amalan penduduk kampung.  Sedikit mencuit hati bila memikirkan papan tanda besar tertulis"Dilarang Membuang Sampah" di kawasan bandar, tetapi masih ada yang tidak tahu membaca.  Di Kampung Semban, notis seumpama itu tidak diperlukan.


 Baruk / Panggah
Baruk atau Panggah, turut kelihatan gong sepanjang 25 kaki yang dikenali sebagai Sebakng
Baruk ini merupakan tempat untuk menyimpan koleksi tengkorak musuh-musuh dan tempat menjalankan upacara keagamaan untuk menenangkan roh tengkorak-tengkorak musuh. Sekarang ia tidak lagi diamalkan kerana kebanyakan kaum Bidayuh telah beragama Kristian.


 Alunan Muzik Hletong
Untuk pengetahuan, Hletong ini telah ditempah oleh Deckson.
Hampir sejam menghabiskan masa menikmati suasana senja di Kampung Semban, kami seterusnya singgah di rumah Asan Dayeng, 59, pakar membuat alat muzik tradisional masyarakat Bidayuh.  Alat muzik yang diperbuat daripada buluh ini dikenali sebagai Hletong dan dijual pada harga RM35.00 sebuah.

Menurut Asan, dalam sehari dia boleh menyiapkan lapan buah Hletong dan pernah menerima tempahan sebanyak 67 buah sekaligus.  Untuk membuat alat muzik ini, terlebih dahulu buluh  akan dipotong mengikut ukuran yang sesuai sebelum diraut membentuk tali. Hletong yang telah siap akan dijemur sekurang-kurangnya seminggu bagi memastikan ianya cukup kering dan mampu menghasilkan bunyi yang diinginkan.

Hletong menghasilkan bunyi seperti gong tetapi lebih merdu dan halus apabila dimainkan.  Ia juga boleh dimainkan pada bila-bila masa sebagai ganti gong dan tidak perlu mengikut pantang larang gong.

Masa berlalu cukup pantas, tiba masa untuk beredar kerana lebih banyak perkara menarik yang berlaku pada hari ketiga kami di kampung ini.  Nantikan kisah selanjutnya.








3 comments:

Unknown said... [Reply]

Linda..ada dua lagi perkara yang masih di minda saya hingga kini.
#Gadis yg lepas bersalin (dua minggu)berjalan 4-5 jam bersama anak yg baru lahir umur 2minggu.
#Gadis yang sarat mengandung ber ulang alik dgn berjalan kaki 5-6 jam naik/turun bukit hanya untuk medical check-up.

Jaw @ MyGamanBorNeo said... [Reply]

@AWANG ya la ... semua wanita di Kg Semban ni memiliki kelebihan dari sudut stamina yg tidak dimiliki oleh wanita2 di kawasan lain.

apekejadah!! said... [Reply]

terbaik la kampung aku ni...aku memang suka biala ada orang yang ambil perhatian.. thnak 4 u all semua...