| MyGamanBorneo: Eksplorasi Pena & Lensa | Alternatif Gaya Penulisan Bebas Tanpa Batasan |

Friday, 1 April 2011

Kampung Semban: 8# Tradisi Yang Bakal Pupus

Gambar kenangan bersama 5 daripada 7 Golden Ring Ladies Kpg Semban
Sama seperti pakej pelancongan inap desa, pakej eko pelancongan empat hari tiga malam di Kampung Semban turut menyajikan persembahan kebudayaan.  Pada malam terakhir kami di sini, acara bermula dengan makan malam beramai-ramai dan seterusnya menyaksikan persembahan tarian oleh "The Golden Ring Lady" diiringi alunan Hletong (alat muzik diperbuat daripada buluh). 

Warisan tradisi yang bakal pupus
Semua ini memahat kenangan berharga kerana saya bukan sahaja berpeluang melihat secara dekat lima wanita berusia di antara 60 hingga 80 tahun yang masih meneruskan tradisi pemakaian  gelang tembaga yang dinamakan luyakng (di tangan) dan lasukng (di betis), tetapi juga berpeluang menari bersama mereka.
Lambang kecantikan suatu ketika dahulu
Mereka ini merupakan lima daripada "The Last 7 Golden Ring Lady" yang hanya ada di Kampung Semban, Padawan, Sarawak.  Pemakaian aksesori ini dikatakan lambang kecantikan sejati wanita etnik embhan suatu ketika dahulu.  Selain itu, pemakaian aksesori gelang tembaga ini juga turut melambangkan status seseorang wanita itu dan mana-mana lelaki yang memperisterikan mereka dikatakan bertuah.

Lambang status
Saya diberitahu, ketika ini hanya seorang sahaja dari tujuh wanita ini yang masih mewarisi kepakaran dalam membuat termasuk memakaikan dan menanggalkan luyakng dan lasukng.  Untuk membentuk luyakng dan lasukng, terlebih dahulu dawai tembaga perlu dipanaskan bagi memudakan ia dililit di atas acuan kayu.  Proses memakaikan luyakng dan lasukng juga dikatakan mengambil masa yang lama dan perlu dilakukan dengan teliti.

Sementara itu, seorang penduduk kampung memberitahu saya bahawa suatu ketika dahulu tidak semua gadis mampu memiliki luyakng dan lasukng kerana harga tembaga yang tinggi.  Jadi, ibu bapa yang mampu memakaikan anak gadis mereka aksesori ini dikatakan sebagai golongan yang berstatus.  Ketika ini menurutnya, harga tembaga masih tinggi iaitu sekitar RM80 hingga RM200 sekilogram.  

Cukup mahal, jadi tidak hairanlah kenapa ada yang sanggup mencuri kepala pili paip tembaga di luar rumah saya. Difahamkan juga, seseorang gadis itu akan memakai aksesori ini seawal usia 12 tahun, bagaimanapun tradisi turun temurun ini tidak diteruskan lagi pada tahun apabila pihak sekolah melarang pemakaiannya di kalangan murid-murid perempuan.

Hanya mereka yang pernah menjejakkan kaki ke Kampung Semban sahaja berpeluang menyimpan koleksi peribadi gambar wanita-wanita yang masih mempertahankan tradisi luyakng dan lasukng yang bakal pupus.







0 comments: