| MyGamanBorneo: Eksplorasi Pena & Lensa | Alternatif Gaya Penulisan Bebas Tanpa Batasan |

Monday, 23 August 2010

Istilah "air kencing syaitan” singgung perasaan banyak pihak

Secawan kopi mengupas pelbagai isu

Usaha kerajaan dalam memupuk semangat 1Malaysia di negara ini sering menjadi antara tajuk penting di media-media elektronik mahu pun di media cetak.  Bagaimanapun, sama ada disedari atau pun tidak, terdapat perkataan atau istilah yang digunakan oleh media sebenarnya sedikit mencalar penerimaan masyarakat terhadap konsep 1Malaysia yang mana ianya memerlukan rakyat bersikap saling menghormati bagi mewujudkan perpaduan di kalangan semua kaum di Malaysia.

Bagi sebahagian besar kaum di Sabah dan Sarawak, penggunaan istilah  seperti “air kencing syaitan” yang sering digunakan oleh media untuk menggambarkan "minuman yang mengandungi alkohol" agak kurang disenangi. Istilah tersebut dilihat agak keterlaluan dan menghina makanan/minuman yang menjadi antara hidangan tradisi pada setiap perayaan Pesta Kaamatan dan Gawai Dayak.

Percaya atau tidak, inilah antara cerita di kedai kopi yang mencuri perhatian saya hari ini.  Sebenarnya, isu ini pernah dibangkitkan oleh salah seorang rakan  di laman web sosial Facebook dan turut mendapat respon. Pada mereka, media hari ini haruslah lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat berbilang kaum di negara ini kerana makanan/minuman yang dianggap haram tetapi boleh dimakan/diminum oleh kaum lain tidak boleh dilabelkan sewenang-wenangnya dengan perkataan sekeji itu.

Isu ini nampak kecil tetapi rupanya dalam diam-diam telah mengguris perasaan banyak pihak.  Daripada riak wajah mereka jelas terpancar perasaan tersinggung kerana mereka merasakan minuman tradisi kaum mereka turut dilabelkan sebagai “air kencing syaitan”. Walau pun sekadar mencuri dengar perbualan mereka, tetapi rasanya ada betulnya juga isu yang mereka persoalkan itu.

Mungkin pengamal media hari ini boleh menggantikan istilah tersebut dengan istilah yang lebih sopan seperti “minuman yang diharamkan” atau “makanan yang diharamkan”.  Bagi saya, apa yang saya dengar hari ini memberi satu  teguran  peribadi dan mesej yang cukup jelas iaitu  hidup saling menghormati dalam masyarakat 1Malaysia harus meliputi pelbagai aspek termasuklah soal makanan dan minuman.




0 comments: