| MyGamanBorneo: Eksplorasi Pena & Lensa | Alternatif Gaya Penulisan Bebas Tanpa Batasan |

Tuesday, 22 February 2011

Di mana IMPIAN bertukar menjadi REALITI

 RM1 Juta Untuk Direbut Rakyat Malaysia

Setiap insan pasti akan ada impiannya yang tersendiri. Walau bagaimanapun, apa yang diimpikan belum tentu dapat dicapai. Ada yang mungkin mempunyai masalah dari sudut kewangan, malah ada juga yang tidak tahu bagaimana hala tuju untuk menggapai impian mereka.

Prihatin dengan situasi tersebut, stesen no. 1 Malaysia, TV3 telah berkolaborasi bersama Telekom Malaysia (TM) dan Dana Belia 1Malaysia (DB1M) dalam menerbitkan sebuah program realiti yang unik, ‘Sejuta Impian’ bagi merealisasikan impian rakyat Malaysia.

Bakal disiarkan mulai 15 Mei 2011, program realiti ini menampilkan satu kelainan apabila tidak seperti program realiti yang sedia ada yang kebanyakannya berkaitan dengan pencarian bintang dalam dunia nyanyian, lakonan mahupun tarian.

Istimewanya program 20 episod ini ialah ia menawarkan insentif bernilai RM1 juta sebagai pencetus semangat dan titik permulaan bagi merealisasikan impian dan hasrat murni masyarakat Malaysia.

“Penglibatan kami di dalam projek ini dilihat sebagai salah satu cara menyambut baik saranan kerajaan dalam memikul tanggungjawab sosial yang telah diamanahkan. Dengan kerjasama dan sokongan padu daripada pihak TM dan rakan di DB1M, Sejuta Impian bukan sekadar sebuah program televisyen tetapi merupakan satu platform positif yang menawarkan insentif berguna kepada belia Malaysia untuk merealisasikan impian dan hasrat terpendam mereka selama ini,”kata Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Encik Ahmad Izham Omar.

“Kami sangat teruja dengan program ini. Tanpa mengira latar belakang dan status individu, asalkan impian yang disarankan berkaitan rapat dengan pembangunan, membawa perubahan besar serta memberi kesan kepada komuniti setempat dan masyarakat, anda semua mungkin merupakan di antara individu bertuah yang terpilih untuk menerima habuan yang ditawarkan.”

Menurut Penerbit Eksekutif, Sunil Kumar, wang RM1 juta bukan diberi sepenuhnya pada seorang pemenang saja, namun kesemua peserta yang terpilih berkemungkinan besar mempunyai harapan untuk mencapai impiannya.

“Setiap episod akan ada dalam lebih kurang lima orang peserta di mana mereka akan berdiri di atas sebuah kotak simbolik dan meluahkan impian mereka. Mereka semua mungkin akan menerima RM20 ribu atau RM5 ribu, tapi semuanya tertakluk pada keputusan juri.”

Setiap episod akan dibahagikan kepada tiga elemen iaitu sesi perkenalan antara peserta dengan juri, sesi penerangan dan impian yang ingin ditunaikan dan akhir sekali keputusan juri.

Barisan panel juri yang bakal memikul tugasan berat untuk menilai dan mengubah kehidupan peserta terdiri daripada individu-individu yang mewakili pelbagai aspek dan bidang industri tempatan termasuklah selebriti tersohor, usahawan berjaya, tokoh politik, ahli academia dan ramai lagi.

Bagi mereka yang impikan impian mereka menjadi realiti, jangan lepaskan peluang untuk menghadiri sesi ujibakat yang akan diadakan tidak lama lagi. Ujibakat terbuka kepada warganegara Malaysia yang berusia tidak melebihi 40 tahun. Bagi mereka yang berusia di bawah umur 18 tahun, anda haruslah ditemani oleh ibubapa atau penjaga ketika hadir di lokasi ujibakat.

Pencarian untuk para peserta ‘Sejuta Impian’ akan diadakan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan Johor Bahru pada 5 dan 6 Mac serta Kuantan, Pahang, Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah pada 12 dan 13 Mac.

Lokasi ujibakat di setiap bandar dan kriteria kelayakan peserta akan diumumkan kelak. Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang program ini, anda bolehlah melayari laman web rasmi ‘Sejuta Impian’ di www.tv3.com.my/sejutaimpian.

Sumber:  http://www.gua.com.my/hiburan/berita-hangat/RM1_Juta_Untuk_Direbut_Rakyat_Malaysia.html 




0 comments: