| MyGamanBorneo: Eksplorasi Pena & Lensa | Alternatif Gaya Penulisan Bebas Tanpa Batasan |

Monday, 28 March 2011

Kampung Semban: 2# Ekspedisi Bermula

Ekspedisi bermula! - Photo by Uncle Awang
Kami memulakan ekspedisi pada kira-kira jam 11.00 pagi dengan menuruni lereng bukit yang sedikit curam.  Pada saya ini satu permulaan yang nampak mudah!  Bagaimanapun, jangkaan saya meleset kerana hanya dalam beberapa minit kemudian kami bukan sahaja menuruni tetapi juga lebih banyak mendaki lereng-lereng bukit yang curam.

Kurang dari 10 minit berjalan, saya sudah merasakan tekanan pada otot-otot kaki dan bebanan beg yang dipikul di bahu terasa semakin berat.  Percaya atau tidak, dalam tempoh  kurang setengah jam pertama, saya terpaksa berhenti beberapa kali untuk mengambil nafas.  Ini yang dinamakan cabaran!

Perasaan gayat dan lutut agak mengeletar ketika meniti jambatan buluh gantung pertama - Photo by Uncle Awang
Cabaran tidak terhenti di situ, kami seterusnya berhadapan dengan dua jambatan buluh gantung yang masing-masing panjangnya dianggarkan antara 80 meter hingga 100 meter dan ketinggian dua jambatan itu dari permukaan air pula dianggarkan 15 meter hingga 20 meter. 

Perasaan lega terpancar di wajah saya & Uncle Awang setelah selamat menyeberangi jambatan buluh gantung yang pertama - Photo by Deckson STB
Nampaknya meniti jambatan buluh gantung bukanlah mudah, orang luar seperti kami perlu mengambil langkah lebih perlahan dan berhati-hati.  Ada kalanya, lutut terasa seperti jeli semasa berada di tengah-tengah jambatan tetapi hembusan bayu lembut yang menyapa pipi seolah-olah memahami dan memadam semua perasaan gementar yang ada.

Ini merupakan jambatan gantung buluh kedua dan terpanjang yang terpaksa dilalui untuk ke Kampung Sait, Bojong, Rejoi dan Kampung Semban.  Empat kampung terbabit tidak memiliki kemudahan jalan raya walaupun dikatakan telah wujud sejak kira-kira 60 tahun lalu.
Kami tidak menghadapi sebarang kesukaran ketika meniti jambatan buluh gantung kedua walaupun bergerak perlahan, ini kerana aspek keselamatan tetap menjadi keutamaan.  Menurut Uncle Sagen, jambatan ini selamat dilalui oleh dua hingga tiga orang dewasa.  Menariknya, setiap jambatan buluh yang dilalui membuatkan kami semakin mahir menggunkan teknik catwalk

Sampai di simpang Kampung Sait pada jam 12.45 tengahari - Photo by Deckson STB
Hampir sejam berjalan termasuk masa rehat, akhirnya kami tiba di simpang Kampung Sait.  Perjalanan diteruskan dan  kali ini kami lebih banyak mendaki serta menuruni bukit yang ditarah menjadi tangga-tangga kecil yang diletakkan belahan buluh sebagai alas dan sokongan.  Sama seperti di awal perjalanan tadi, saya terpaksa berhenti beberapa kali untuk memulihkan tenaga.   

Tercengang seketika melihat Uncle Sagen berlari menaiki tangga-tangga buluh dengan membawa bekalan air dan makanan kami termasuk membawa beg saya - Photo by Deckson STB
Walaupun agak keletihan tetapi untuk patah semangat masih belum terlintas difikiran pada waktu itu.  Ada satu ketika di mana Uncle Sagen menawarkan diri untuk membawa beg  saya mendaki bukit berikutan pergerakan saya yang semakin perlahan akibat keletihan.

Bertongkatkan kayu tanpa bebanan di bahu.  Ketika ini hanya berbekalkan kekuatan minda - Photo by Deckson STB
Kampung Bojong menjadi stesen rehat seterusnya - Photo by Uncle Awang
Pada jam 2.30 petang, kami tiba di Kampung Bojong dan di sini kami mengambil kesempatan untuk berehat sambil menikmati minuman berkarbonat yang dibeli dari kedai runcit milik penduduk kampung di sini sebelum bergerak semula.

Papan tanda arah ke Kampung Semban di sebelah kiri, sementara simpang ke kanan menuju ke Kampung Rejoi.
Selepas beberapa minit berjalan, kami tiba di papan tanda arah Kampung Semban.  Peringatan! ini cuma papan tanda arah dan bukan bermakna Kampung Semban sudah di depan mata.  Perjalanan mencabar yang perlu diharungi sebenarnya masih bersisa tiga jam lagi sebelum tiba ke destinasi yang dituju.

Laluan yang nampak mudah pada penglihatan mata kasar - Photo by Deckson STB
Sesekali kami berselisih dengan penduduk kampung dan ada kalanya kami terpaksa berhenti bagi memberi laluan kepada penduduk kampung.  Bayangkan, setelah berjam lamanya berjalan meredah hutan, meniti beberapa jambatan buluh, mendaki dan menuruni bukit tetapi kami masih berjaya dipintas oleh penduduk kampung.

Ini merupakan antara laluan yang paling sukar untuk kami sebelum sampai ke pondok rehat.  
Selepas Kampung Bojong, perjalanan kebanyakannya memerlukan kami mendaki.  Bagi mengurangkan perasaan tertekan, saya memfokuskan mata ke bawah kerana ada satu ketika saya merasakan kami terpaksa mendaki sejauh 100 meter untuk sampai ke permukaan yang rata.  Keletihan juga membuatkan kami tidak pernah terfikir untuk menghitung berapa banyak lereng bukit yang telah didaki. Seperti biasa Uncle Sagen jauh mendahului kami dan akan menanti kami di perhentian tertentu.

Sampai ke Kunt Ilau (pondok rehat) pada jam 3.10 petang - Photo by Deckson STB
Perasaan lega seketika apabila akhirnya berjaya juga sampai ke pondok rehat ini pada jam 3.10 petang.  Di sini kami bertemu kembali penduduk Kampung Semban yang berjaya memintas perjalanan kami. Salah seorang daripada mereka merupakan wanita yang sedang sarat mengandung tujuh bulan.  Sungguh menakjubkan!

Pemandangan yang dirakamkan dari pondok rehat - Photo by Deckson STB
40 minit masa rehat yang ada, saya manfaatkan sepenuhnya untuk meregangkan otot-otot sambil menghirup udara segar serta menjamu mata dengan panorama indah di depan mata.  Di kesempatan yang ada juga digunakan untuk beramah-mesra dengan penduduk kampung yang turut sama berehat di situ.
 
Pada jam 3.52 petang, kami bergerak semula.  Kali ini hujan yang turun semakin menyukarkan pergerakan kami.  Kelihatannya, bukan sahaja pohon-pohonan dan sang bayu ingin menyapa kehadiran kami, malah hujan juga tidak mahu ketinggalan menyambut kehadiran kami ke Kampung Semban.  Sebelum meneruskan pendakian, kami berhenti rehat seketika di satu kawasan yang terdapat aliran mata air - Photo from Deckson STB
Perjalanan masih terasa jauh dan seperti tiada penghujungnya sehinggalah kami melihat  bumbung Gereja Kampung Semban yang terselindung di sebalik anak tangga yang tinggi, menandakan anda sudah tiba di Kampung Semban.   - Photo by Deckson STB
Selamat Datang ke Kampung Semban!

Keletihan tapi gembira kerana berjaya mengharungi cabaran yang menduga keupayaan fizikal dan kewarasan minda - Photo by Deckson STB
Kami tiba di rumah Uncle Sagen pada kira-kira tepat jam 5.46 petang dan kehadiran kami disambut oleh isteri beliau Kipin Rawon dengan hidangan pembuka selera iaitu bubur ubi dan kopi panas.  Enam jam perjalanan yang cukup mencabar, itu merupakan satu rekod membanggakan pada saya.  

Sementara, Deckson, 41 dan Uncle Awang, 59 mungkin dapat melakukannya dalam tempoh lima jam tanpa saya.  Lebih menarik lagi, Uncle Sagen  tidak lokek berkongsi pengetahuannya mengenai tumbuh-tumbuhan di hutan di sepanjang perjalanan kami dari empangan Bengoh hingga ke Kampung Semban.

Anda di luar sana yang gemarkan percutian yang mewah dengan cabaran, apa kata anda memilih Kampung Semban untuk dimasukkan dalam kalendar percutian anda.  Adventure, Nature & Culture at Village Above The Clouds.  Nantikan eksplorasi kami di air terjun Susukng dan air terjun Pent yang tidak kurang mencabar pada hari kedua berada di perkampungan terpencil ini.







4 comments:

Zurina J. said... [Reply]

Bestnya jalan²...saya jeles! uhuk²

Jaw @ MyGamanBorNeo said... [Reply]

@Zurina J. walaupun keletihan tapi seronok kerana berjaya mengharungi cabaran.

Zurina J. said... [Reply]

Congrats ya...
lain kali sy pun mau juga...:)

Jaw @ MyGamanBorNeo said... [Reply]

@Zurina J. TQ. Kumpul geng ramai2 & cuba dapatkan pakej percutian yang mewah dgn cabaran di Kg Semban :) Pasti berbaloi owh :)